Saturday, March 5, 2011

Surah Al-Maa’un ( Pertolongan )

Tujoh ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannnya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Tahukah engkau oramg yang (hendak) mendustakan agama?
2. Iaitu orang yang menengking anak yatim,
3. Dan tidak menggemarkan (manusia) atas memberi makan orang miskin.

Keterangan :

Allah bertanya kepada nabi Muhamammad s.w.a. atau kepada tiap-tiap seorang yang membaca Al-Quran, bahawa sudahkah engkau tahu siapa dia orang yang hendak mendustakan agama, iaitu orang yang mahu kufur kepada agama?

Lalu Allah beri tahu bahawa orang yang mahu mendustakankan agama itu, ialah orang yang menengking dan menunjukkan kekasarannya kepada anak yatim.

Orang yang berlaku kejam, bengis atau benci kepada anak-anak yatim itu, dipandang sebagai orang yang hendak mendustakankan agama. Orang yang menyatakan agama dusta itu tidak lain melainkan kafir.

Jadi menguruskan anak yatim itu bukan satu perkara yang kecil dan pahalanya juga tentu tidak sedikit.

Dan Allah beri tahu lagi bahawa orang yang hendak mendustakan agama itu, ialah orang yang tidak menggembirakan manusia atau tidak mengajak mereka supaya memberi makan dan menolong orang-orang miskin.

Di dalam perintah Tuhan supaya kita mengajak manusia memberi makan orang-orang miskin itu, sudah terkandung perintah supaya kita sendiri lebih dahulu memberi makan dan menolong mereka.

Jadi kita diperintah memberi makan orang miskin dan diperintah juga mengajak orang lain berbuat begitu.

Oleh sebab perkara itu besar kepentingannya maka orang yang tidak mahu mengerjakan itu dipandang sebagai orang yang mahu mendustakan agama.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Orang yang memelihara anak yatim, wajib berlaku halus dan sabar, jangan sampai menyentak, menengking atau menyakitkan hatinya kecuali atas jalan mendidik dan mengajar itupun dengan seikhlas-ikhlasnya bukan dengan kebencian atau kebengisan.

Wajib kita berusaha sedapat-dapatnya pada menolong orang-orang miskin dengan kekuatan sendiri dan mengajak orang lain pada menolong mereka.


4. Maka kecelakaan akan didapati oleh orang-orang yang sembahyang,
5. Yang lalai daripada sembahyangnya,
6. Yang riak,
7. Dan tidak memberi pertolongan.


Keterangan :

Di ayat-ayat yang telah lalu, sudah tersebut siapa dia orang yang hendak mendustakan agama.

Di ayat-ayat ini, Tuhan terangkan sifat-sifat orang sembahyang yang akan dapat kecelakaan iaitu,

1)      Orang yang sembahyang dengan lalai, iaitu dengan tidak memperhatikan maksud sembahyang dan tidak memperhatikan maksud sembahyang dan tidak memperhatikan isi-isi bacaannya, yang mana jika ia perhatikan nescaya tidak ia berlaku kasar kepada anak yatim dan tidak akan membiarkan orang-orang miskin di dalam kesengsaraan kerana di tiap-tiap rakaat itu ia membaca arrah-ma-nir-rahiem sekurang-kurangnya dua kali, bacaan mana tidak patut tidak memberi bekas didalam hatinya kecuali ia sembahyang dengan lalai.

2)      Orang yang sembahyang dengan riak iaitu orang yang beribadat supaya dilihat, dipuji atau disukai orang.

3)      Orang yang sembahyang padahal tidak mahu memberi pertolongan kepada siapa-siapa atau kepada apa-apa urusan yang perlu kepada pertolongannya.


Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Dengan mengerjakan sembahyang itu :

1)      Hendaklah hilang sifat-sifat kekejaman dan kebengisan kita dan hendaklah timbul perangai-perangai baik dan halus seperti sabar, kasihan dan lainnya terhadap anak-anak yatim.

2)      Hendaklah hilang dari kita sifat-sifat bakhil, malu atau malas mengerjakan kebaikan dan sebaliknya hendaklah terganti dengan sifat-sifat pemurah, pengasihan dan rajin mengajak manusia kepada melakukan kebaikan dan kebajikan terhadap orang miskin.

3)      Hendaklah hilang dari kita sifat riak dan terganti dengan sifat-sifat ikhlas di dalam mengerjakan sembahyang, di dalam memelihara anak-anak yatim, tentang menolong dan mengajak manusia kepada menolong orang-orang miskin dan di dalam mengerjakan lain-lain perintah Allah yang berhubung dengan adat dan ibadat.

4)      Dengan mengerjakan sembahyang itu, jika tidak dapat perubahan-perubahan baik seperti yang tersebut maka siksalah yang kita dapat.


( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

No comments:

Post a Comment