Friday, March 11, 2011

Surah Al-Qaari’ah ( Penggegar )

Sebelas ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Penggegar!
2. Apakah menggegar itu?
3. Dan sudahkah engkau tahu apa (yang dikatakan) penggegar itu?
4. (Iaitu) di hari yang adalah manusia seperti rama-rama yang bertebaran.
5. Dan adalah gunung-gunung itu seperti bulu yang dihamburkan.

Keterangan :

Al-Qariah itu ertinya sesuatu yang mengetuk, maksudnya di sini kejadian-kejadian di hari Qiamat kerana kejadian-kejadian di hari itu amat mengoyang dan menggoncangkan hati manusia.

Oleh sebab itulah disalin dengan erti menggegar lantaran penggegar itu ertinya sesuatu yang mengetuk atau menggoyang dengan keras.

Dengan tiga ayat itu, seolah-olah Tuhan berkata :

Hai manusia!. Hendaklah kamu bersedia untuk kejadian-kejadian hebat yang akan menggegar hati-hati kamu. Kejadian-kejadian mana akan berlaku hari Qiamat yang menyebabkan manusia bingung, tidak ketentuan, menyerbu siapa sahaja yang dirasainya akan menolong mereka, sebagaimana rama-rama menyerbu terang dan api laku bertebaran dengan tidak hasilmaksudnya di hari mana gunung-gunung akan pecah dan hancur berterbangan sebagaimana dihamburkan bulu-bulu yang halus di udara.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

  1. Terlalu besar bahaya, huru-hara dan kesusahan di hari itu. Lantaran itulah Allah ulangkan perkataan Al-Qari’ah itu tiga kali dengan tidak menerangkan apa dia Al-Qari’ah itu hanya dengan menunjukkan masa kejadiannya ialah di hari kiamat.
  1. Satu daripada tanda-tanda permulaan hari kiamat ialah bahawa manusia yang ada di muka bumi ini akan bertebaran dan bertaburan, di sana dan di sini dengan tidak berketentuan dan tidak bertujuan.
  1. Sekalian apa yang ada di atas bumi, akan rusak hancur, binasa, menjadi abu yang berterbangan.
6. Oleh sebab itu, barang siapa berat timbangannya,
7. Maka ia itu di dalam kehidupan yang sentosa,
8. Dan adapun orang yang ringan timbangannya,
9. Maka tempat kembalinya itu ialah jurang yang dalam!
10. Dan sudahkah engkau tahu apa dia?
11. (Iaitu) api yang amat panas.

Keterangan :

Maksudnya bahawa barangsiapa amal baiknya lebih berat daripada amal jahatnya maka ia akan duduk di surga di dalam kehidupan yang sentosa dan barang siapa amal jahatnya lebih banyak daripada amal baiknya maka jurang yang dalamlah tempat kembalinya.

Lalu Allah adakan pertanyaan: Sudahkah engkau ketahui apa yang dinamakan jurang yang dalam itu? Kemudian Allah terangkan sendiri bahawa jurang yang dalam itu ialah api neraka yang amat panas.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Amal-amal soleh yang kita kerjakan itu, sungguhpun pahalanya berlipat-lipat ganda tetapi belum tentu diterima dari kita lantara amal itu perlu kepada cara-cara yang betul dan perlu kepada ikhlas.

Adapun amal thalih (jahab) yang kita kerjakan, sungguhpun balasannya tidak diganda-gandakan tetapi diterima dan ditulis dosanya atas kita dengan tidak dipandang cara dan ikhlas kita pada mengerjakannya.

Oleh sebab itu, hendaklah kita kerjakan amal yang soleh sebanyak-banyaknya dan hendaklah kita jauhi amal yang thalih sejauh-jauhnya supaya neraca amal kita yang baik akan lebih berat walaupun sedikit.

 ( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

No comments:

Post a Comment