Saturday, March 19, 2011

Surah Adl-Dluhaa ( Waktu Diuha )

Sebelas ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Perhatikanlah dluhaa,
2. Dan malam, apabila sepi!
3. Tuhanmu tidak membuangmu dan tidak marah!
4. Dan sesungguhnya kesudahan itu lebih baik bagimu daripada permulaan;
5. Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberi kepadamu hingga engkau suka,

Keterangan :

Menurut riwayat-riwayat yang sahih bahawa sebab turun surah ini kerana Nabi kita pernah keputusan wahyu iaitu wahyu dari Allah berhenti beberapa bulan.

Hal ini membingungkan dan menyusahkan hatinya hingga ia menyangka Allah swt membuang dia dan marah kepadanya dan dengan sebab itu terkadang ia hendak membuang diri dari atas gunung. Maka di dalam keadaan begitu ia terima wahyu surah yang tersebut.

Maksudnya : Ya Muhammad, perhatikanlah! Sebagaimana ada siang yang begitu terang benderang ada pula malam yang begitu senyap sepi.

Maka wahyu yang Tuhanmu beri kepadamu pun demikian juga iaitu di beri sebentar dan diberhentikan sebentar. Dengan itu janganlah engkau ertikan bahawa Tuhan telah buangmu atau marah kepadamu.

Janganlah engkau sasah hati kerana bahawa hal keadaanmu yang akan datang nanti lebih baik bagimu daripada keadaanmu yang sudah-sudah dan nanti engkau dapat pemberian dan kurnia dari Allah yang akan menyenangkan hatimu.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Umumnyasekalian urusan yang mempunyai lawannya tidak akan tetap atas satu hal saja sebagaimana ada gelap mengiringi terang begitu juga akan ada terang mengiringi gelap.

Kerana itu kalau kita kena kesusahan janganlah kita bersusah hati kerana kesusahan itu tentu akan diiringi oleh kesenangan tetapi hendaklah kita jaga-jaga dan gunakan dia di tempatnya yang diperintahkan oleh Tuhan yang memberinya kerana tidak lama lagi ia akan berpindah pula meninggalkan kita.

Kalau kita benar dan ikhlas dalam pekerjaan kita untuk agama Allah janganlah kita khuatir walau bagaimana pun besar halangan dan rintangan yang akan menghalangi dan merintanginya kerana buahnya di akhir kelak lebih baik daripada buahnya yang kita harap-harap di permulaan kita mengerjakannya.

Dan begitu juga kita akan terima dari Allah ganjaran yang memuaskan hati.

6. Bukankah Allah dapati engkau itu yatim lalu Ia pelihara?
7. Dan Ia dapati engkau itu bingung, lau Ia pimpin?
8. Dan Ia dapati engkau itu miski, lalu Ia beri kecukupan?
9. Oleh sebab itu, anak yatim janganlah engkau hinakan.
10. Dan orang yang bertanya, janganlah engkau tengking.
11. Dan nikmat Tuhanmu hendaklah engkau dermakan.

Keterangan :

Sebagaimana di ayat-ayat yang dahulu, Tuhan telah tunjukkan tamsil bagi perubahan sesuatu keadaan dengan ibarat : ada siang, ada malam, ada senang, ada susah maka di sini Tuhan tunjukkan bahawa keadaan yang seperti itu pernah ada pada dirimu (Muhammad) iaitu : di waktu dahulu, engkau jadi satu anak yatim lalu Tuhanmu peliharamu dan selamatkanmu daripada sekalian bencana.

Dahulu dari ini, engkau bingung tak tahu agama dan tak tahu bagaimana jalan bagi melepaskan manusia daripada kesesatan yang mereka kerjakan lalu Tuhan tunjukkan jalan bagimu dengan mengirim wahyu dan jadikanmu Rasul.

Dahulu dari ini, engkau miskin, tidak mampu, tidak mempunyai apa-apa lalu Tuhan jadikanmu seorang yang berdagang dengan harta Khadijah hingga engkau dapat kesenangan dan kecukupan.

Oleh sebab Tuhan telah peliharamu di waktu engkau jadi anak yatim maka janganlah sekali-kali engkau berlaku kasar kepada anak-anak yatim.

Oleh sebab Tuhan telah pimpinmu ke jalan yang lurus di waktu engkau bingung, tak tahu jalan  maka jangalah engksu tengking atau berlaku bengis kepada orang-orang bodoh yang datang bertanya kepadamu.

Oleh sebab Tuhan telah beri kecukupan kepadamu di waktu engkau miskin dan susah maka hendaklah engkau dermakan nikmat Tuhan yang ada padamu itu untuk menolong orang-orang yang di dalam kesusahan dan kepapaan.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Dapat dikata, bahawa tiap-tiap seorang daripada kita sudah rasakan zaman kelemahan lallu dapat pertolongan dan sudah rasakan zaman kebodohan lalu dapat pimpinan  dan sudah rasakan zaman kekurangan lalu dapat kecukupan.

Oleh sebab itu, maka hendaklah kita berlaku baik kepada anak-anak yatim dan kepada makhluk-makhluk yang lemah supaya girang hati mereka sebagaimana kita merasa gembira di waktu dapat pertolongan; dan kita hendaklah mengajar dan memimpin orang-orang yang bodoh supaya suka hati mereka lantaran terlepas daripada kesesatan, sebagaimana kita merasa keriaan hati waktu dapat pengetahuan; dan hendaklah kita mendermakan hak kemampuan kita atas orang-orang yang kerkeperluan supaya lapang hati mereka sebagaimana kita rasakan kelapangan hati di waktu mendapat pertolongan yang melepaskan kita dari pada kesempitan dan kepapaan.

 ( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

No comments:

Post a Comment