Monday, March 14, 2011

Surah Al-Bayyinah ( Bukti )

Lapan ayat – turun di Madinah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Orang-orang kafir, dari ahli kitab dan musyrikien, tidak sadar hingga datang bukti
    itu kepada mereka,
2. (Iaitu) seorang Rasul dari Allah yang membaca lembaran-lembaran suci,
3. Yang ada padanya (isi) kitab-kitab yang lurus,
4. Dan tidak bercerai-berai orang-orang (kafir) yang diberi kitab itu, melainkan
    sesudah datang kepada mereka bukti itu,
5. Padahal tidak diperintah melainkan supaya mereka menyembah Allah dengan
    mengikhlaskan agama keranaNya, dengan menjauhi kesesatan dan (supaya)
   mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat kerana yang demikian itulah
   (perintah-perintah) agama (dikitab-kitab) yang lurus itu.

Keterangan :

Kafir-kafir kitabi dan musrikin itu tidak sedar daripada kelalaian dan kesesatan mereka melainkan sesudah datang kepada mereka keterangan yang tak dapat dibantah itu, iaitu sesudah datang Muhammad Rasulullah yang membacakan kepada mereka Al-Quran yang berisi lembaran-lembaran yang suci, yang di dalamnya berisi perintah-perintah dan maksud kitab-kitab agama yang lurus-lurus yang diturunkan kepada nabi-nabi yang dahulu-dahulu dan kafir-kafir Kitabi itu tidak bercerai-berai, sebahagian menyalahkan sebahagian, melainkan sesudah datang Nabi yang mulia itu.

Kerana sebelum datang nabi Muhammad, mereka itu sekalian bersama-sama menunggu-nunggu kedatangan Nabi akhir zaman, tetapi setelah datang Nabi itu, maka sebahagian daripada mereka membenarkan, lalu masuk Islam dan sebahagian lagi tidak membenarkan.

Yang demikian itu tidak lain melainkan lantaran nabi Muhammad itu bukan keturunan daripada kaum Bani Israil, padahal lembaran-lembaran Al-Quran itu tidak berisi melainkan perintah-perintah menyuruh mereka menyembah dan menurut perintah-perintah Allah dengan tulus ikhlas serta menjauhi syirik dan kufur dan menyuruh mereka menetapi pekerjaan sembahyang dan mengeluarkan zakat kerana yang demikian itulah dan isi maksud kitab-kitab agama yang lurus yang diturunkan oleh Allah kepada nabi-nabi dan rasul-rasul yang dahulu kala.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Di tiap-tiap satu urusan, sebelum datang keterangan memang biasanya kelihatan manusia seperti bersatu kerana lalai di dalam keadaan keliru dan sesat. Di waktu datang keterangan maka orang-orang yang kelihatan bersatu akan berpecah-belah.

Kitab-kitab yang terbit di akhir, ghalibnya mengandungi pokok-pokok pengajaran dan maksud yang terkandung di kitab-kitab yang dahulu daripadanya.

Selalu manusia mengaku mahu menerima kebenaran tetapi setelah kebenaran ada di hadapannya, sedikit sekali yang menerima haq itu.

Maksud agama Allah yang dahulu  dan sekarang tidak lain melainkan menyuruh manusia mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, beribadat dan menjalankan perintah-perintah Allah dengan ikhlas semata-mata kerananya.

6. Sesungguhnya orang-orang yang kafir , dari ahli Kitab dan musyrikien itu
    (tempatnya) di neraka jahanam yang mereka akan kekal padanya. Mereka itu ialah
    sejahat-jahat makhluk.
7. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan pekerjaan yang baik-
    baik, mereka itu ialah sebaik-baik makhluk.
8. Balasan mereka, di sisi Tuhan mereka, ialah surga tempat ketetapan yang mengalir
    padanya sungai-sungai yang mereka akan kekal padanya selama-lamanya. Allah
   redha kepada mereka dan mereka redha kepadaNya. Yang demikian itu untuk orang
   yang takut kepada Tuhannya.

Keterangan :

Sesungguhnya orang-orang kafir Kitabi dan kafir musrik yang tidak mahu beriman kepada nabi Muhammad saw itu ialah sejahat-jahat makhluk dan akan masuk neraka serta kekal di dalamnya.

Adapun orang yang beriman dan beramal baik serta takut kepada Allah ialah sebaik-baik makhluk. Maka akan diganjar dengan surga yang ada padanya sungai-sungai, yang mereka akan kekal di dalamnya lantaran diredhai oleh Allah dan mereka juga redha dan puas dengan pemberian-pemberian Allah itu.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Yang menolak kebenaran itu ialah sejahat-jahat makhluk yang patut dapat sekalian macam penghinaan.

Janganlah kita menolak kebenaran yang ditunjukkan kepada kita walaupun darimana datangnya.

Yang menerima kebenaran serta mengerjakannya itu ialah sebaik-baik dan semulia-mulia manusia yang patut mendapat sekalian macam ganjaran dan kehormatan.

( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

No comments:

Post a Comment