Tuesday, March 22, 2011

Surah Al-Balad ( Negeri )

Dua puluh ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Perhatikanlah sungguh-sungguh negeri ini
2. Padahal engkau jadi barang halal di negeri ini
3. Dan (perhatikanlah) satu benih dan sesuatu yang diperanakkannya
4. Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia di dalam kepayahan

Keterangan :

Laa uqsimu itu erti lafaznya : ’ Aku tidak bersumpah’ tetapi sudah biasa dipakai oleh orang-orang Arab bagi sumpah yang sungguh-sungguh. Jadi ertinya : Aku bersumpah bersungguh-sungguh’. Oleh sebab sumpah-sumpah di dalam Al-Quran itu maksudnya menyuruh memperhatikan – sebagaimana sudah kami terangkan beberapa kali maka perkataan laa uqsimu itu kami ertikan dengan ’ Perhatikanlah sungguh-sungguh ”

” Negeri ini ’ maksudya negeri Mekah.

’ Engkau jadi barang halal di negeri ini ’ maksudnya engkau diganggu dan disakiti orang dengan semahu-mahunya sebagai satu benda yang halal orang menggunakannya.

’ Perhatikan satu benih dan sesuatu yang diperanakkannya’ itu, maksudnya perhatikan sesuatu kejadian dan asalnya seperti kejadian manusia, binatang dan seperti kejadian pohon-pohon dan lain-lainnya.

’ Kami jadikan manusia di dalam kepayahan ’ itu maksudnya bahawa kejadian manusia dari mula-mula dikandung oleh ibunya hingga dilahirkan dia, tahu berjalan, besar, teguh dan kuat itu semua di dalam kepayahan atas dirinya dan diri ibu bapak atau pemeliharanya.

Allah memerintah Nabi kita saw supaya memperhatikan negeri Mekah dan benih sesuatu itu maksudnya hendak memberi pengajaran bahawa sesudah nabi Muhammad melalui beberapa kesusahan, kepayahan, halangan dan rintangan iaitu sesudah disusahkan, disiksa, dihina dan dibuat semahu-mahunya oleh ahli Mekah maka nabi Muhammad akan jadi pemerintah negeri dan kaum itu sebagaimana satu benih atau bibit bagi sesuatu kejadian dari pohon dan barang-barang yang bernyawa tidak akan sampai kesempurnaan melainkan sesudah melalui beberapa hal dan keadaan-keadaan yang dinamakan kesusahan, kepayahan, halangan atau rintangan.

Lantas Tuhan sambung dengan perkataan : ” Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia di dalam kepayahan”, iaitu manusia tidak akan sampai kepada keadaan kesempurnaannya melainkan sesudah melalui beberapa hal yang serupa tersebut di atas.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Jangan kita keluh-kesah, kecil hati, putus asa di dalam mengerjakan, mengejar atau mencari sesuatu yang kita makdudkan walaupun dirintangi dan dihalangi oleh seteguh-teguh halangan dan sebesar-besar rintangan kerana telah menjadi sunnah Allah yang umum bahawa tiap-tiap satu kesempurnaan tidak akan datang sebelum digiliri oleh beberapa hal dan keadaan-keadaan yang boleh dinamakan kesusahan, kepayahan, rintangan dan halangan.

5. Adakah ia sangka bahawa tidak ada siapa yang berkuasa atasnya?
6. Ia berkata : Aku telah belanjakan harta tidak sedikit!
7. Adakah ia sangka bahawa tidak ada siapa-siapa yang melihat dia?.

Keterangan :

Lantaran sudah sempurna kejadiannya, sudah kuat tubuhnya, sudah teguh keadaannya itu patutkah manusia menyangka bahawa tidak ada siapa-siapa yang terkuasa atasnya?

Lupakah ia kepada Tuhan yang menjadikan dia di dalam keadaan sempurna, kuat, teguh dan...................itu?

Dan patutkah ia belanjakan hartanya di jalan-jalan yang disukai oleh hawa nafsunya tetapi apabila ada yang minta derma untuk keperluan di jalan Allah ia berkata : Aku sudah belanjakan hartaku tidak sedikit?

Apakah ia menyangka tidak ada siapa-siapa yang tahu tentang apa ia telah belanjakan hartanya yang banyak itu?

Lupakah ia kepada Tuhan yang menjadikan dia dan memberi kekayaan kepadanya dan yang tahu hingga gerak-gerik hatinya?.

.Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Janganlah kita takabbur dengan sebab bertubuh kuat, berkeadaan teguh, berkekayaan cukup kerana takabbur itu hanya patut menjadi sifat bagi Tuhan yang memberi kekuatan, keteguhan, kekayaan itu dan sebagainya.

Walau berapa pun kita belanjakan harta kita kalau tidak di jalan Allah tidak dinamakan kita menderma

Hendaknya kita berderma dengan ikhlas kerana Allah dan di jalan Allah kerana Tuhan mengetahui bukan sahaja di jalan apa yang kita sudah belanjakan harta kita  bahkan Ia mengetahui di jalan apa kita akan belanjakannya.

8. Bukankah Kami telah jadikan baginya dua mata,
9. Dan satu lidah dan dua bibir,
10. Dan Kami telah tunjukkan baginya dua jalan?
11. Tetapi tidak ia menempuh jalan yang payah itu,
12. Sudahkah engkau tahu apa dia jalan yang payah itu?
13. (Iaitu) merdekakan hamba,
14. Atau memberi makan di hari kelaparan,
15. Kepada anak yatim sekeluarga
16. Atau kepada orang miskin yang sangat kepayahan
17. Kemudian (tidak) ia jadi dari golongan mereka yang beriman dan berpesan-pesan
     pada (mengerjakan ) kesabaran dan berpesan-pesan pada mengasihani.
18. Mereka ini ialah orang-orang pihak kanan,
19. Dan mereka yang tidak percaya kepada perintah-perintah Kami itu, ialah orang-
      orang celaka,
20. Mereka ini akan ditutup rapat di neraka,

Keterangan :

Maksudnya bukankah Kami telah jadikan bagi manusia itu dua mata, lidah, dua bibir dan Kami telah tunjukkan baginya dua jalan : pertama jalan yang mudah iaitu jalan masiat dan kedua jalan yang payah iaitu jalan berbakti dan kebaikan tetapi manusia itu tidak suka menempuh jalan payah iaitu tidak suka mengerjakan bakti dan kebaikan yang biasanya payah dan berat bukan lantaran apa-aps melainkan lantaran memang sudah biasa bahawa kebaikan itu payah dan kejahatan itu mudah.

Sudahkah engkau tahu apa yang dimaksudkan oleh Tuhan di sini dengan perkataan ’jalan yang payah’ itu?

Iaitu menerdekakan hamba milik atau beri makan anak yatim yang sekeluarga atau orang miskin yang sangat payah, di hari kelaparan atau di hari kesusahan makanan.

Dan tidak juga manusia itu mahu masuk di dalam golongan orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan satu dengan lainnya pada menjalankan kesabaran iaitu sabar di dalam mengerjakan perintah Allah dan menjauhi laranganNya dan berpesan-pesan satu kepada yang lain supaya mengasihi anak yatim atau orang-orang yang di dalam kesusahan umum.

Manusia yang mahu menempuh jalan yang payah iaitu mereka yang mahu merdekakan hamba dan mahu beri makan anak yatim dan orang miskin di hari kesusahan dan kelaparan dan mereka yang beriman serta berpesan-pesan pada menjalankan kesabaran dan kasihan itulah orang-orang yang dipihak kanan iaitu orang-orang yang terselamat daripada siksa Allah di hari kiamat.
Adapun mereka yang kufur tidak mahu percaya kepada perintah-perintah Kami itu ialah orang-orang yang celaka dan akan ditutup rapat di dalam api neraka sebagai balasan bagi kekufurannya.

.Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Hendaklsh kita gunakan tiap-tiap anggota kita pada mengerjakan kebaikan dan bakti kepada Allah serta kita jauhkan diri daripada berbuat maksiat kepadaNya.

Tuhan tunjukkan kepada kita dua jalan itu bukan buat dikerjakan tetapi buat dipilih dan diambil jalan yang baik serta dijauhkan jalan yang jahat.

Menerdekakan hamba, memberi makan anak yatim dan orang miskin itu sebesar-besar amal yang patut kita kerjakan sekuat-kuat kita dan sedapat-dapatnya.

Hendaklah kita berkerja dengan segenap ikhtiar pada menghasilkan jalan buat menyampaikan kita kepada darjat golongan manusia yang dipihak kanan itu dan hendaklah kita jauhkan diri daripada tiap-tiap jalan yang akan menjadikan kita orang yang celaka.

 ( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

No comments:

Post a Comment