Monday, March 7, 2011

Surah Al-Fiel ( Gajah )


Lima ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannnya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Tidakkah engkau tahu bagaimana Tuhanmu telah berbuat kepada orang-orang
     yang mempunyai gajah-gajah?
2. Bukankah daya-upaya mereka itu Ia telah jadikan sia-sia,
3. Dan Ia telah kirim untuk (membinasakan) mereka itu burung yang berduyun-duyun,
4. Yang melempar mereka dengan batu dari azab,
5. Lalu Ia jadikan mereka seperti daun yang dimakan ulat?

Keterangan :

Menurut riwayat-riwayat yang sahih, bahawa pada tahun diperanakkan nabi kita s.w.a, datang seorang pahlawan bangsa Habasyi yang jadi wali (gabnor) bagi kerajaan Habasyah di Yaman bernama Abrahah, hendak merubuhkan Ka’bah supaya orang-orang Arab naik haji ke gereja yang ia telah sediakan di Yaman. Maka berangkatlah ia dengan tenteranya berserta gajah-gajah peperangan. Setelah sampai di satu tempat yang berhampiran dengan Mekah, ia beri tahu kepada ahli Mekah bahawa kedatangannnya itu bukan kerana hendak berperang tetapi kerana hendak merubuhkan Ka’bah sahaja. Di waktu itu orang-orang Mekah lari ke gunung-gunung kerana hendak menantikan perbuatan yang akan dilakukan oleh Abrahah.

Di hari kedua – sebelum ia merubuhkan Ka’bah tenteranya terkena penyakit cacar yang telalu hebat yang belum pernah terjadi di tanah Arab hingga gugur daging-daging dari badan-badan mereka dan Abrahah juga kena penyakit itu dan gugur daging-dagingnya berserta jari-jarinya hingga mati dengan itu.

Jadi burung-burung yang dikirim oleh Allah itu ialah hama-hama atau mikrob-mikrob kerana yang dinamakan burung itu ialah tiap-tiap yang terbang mahupun besar atau kecil, dapat dilihat atau tidak dan yang dimaksudkan dengan batu dari azab itu ialah benih penyakit cacar tersebut.

Ringkasan dan maksudnya :

Walaupun orang-orang telah gunakan sebagai tempat berhala, tetapi Ka’bah itu tetap rumah Allah, rumah yang mula-mula didirikan untuk menyembah Tuhan dengan sebenar-benarnya dan Tuhan telah kehendaki rumah itu jadi kiblat bagi Nabi akhir zaman dan umatnya. Kerana itu, maka Allah sia-siakan usaha orang-orang yang membawa tentera dan gajah-gajah peperangan untuk merubuhkan dan menghapuskan rumah itu dan Allah telah kirim berduyun-duyun hama yang membawa penyakit cacar atas mereka hingga binasa dan hancur luluh mereka seoalah-olah daun-daun kayu yang dimakan ulat.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

  1. Walau bagaimanapun manusia berikhtiar akan menghilangkan syiar-syiar dan tempat-tempat orang beribadat kepada Allah, tidak akan hasil, bahkan kecelakaannya akan kembali kepadanya sendiri.
  1. Janganlah kita bermegah atau bersombong diri dengan sebab mempunyai kekuatan atau kekayaan kerana tentera yang begitu banyak dan gagah berserta gajah-gajah peperangan yang begitu besar-besar, dihancurkan oleh Allah dengan binatang-binatang (hama-hama) yang begitu kecil-kecil yang tak dapat dilihat dengan mata biasa.
  1. Orang yang zalim itu Allah akan binasakan dengan cara yang tidak disangka-sangka.
  1. Al-Quran telah isyaratkan satu daripada ilmu-ilmu kedoktoran yang halus yang orang dunia tidak mengetahui dia melainkan sesudah ada teropong-teropong halus yang dinamakan mikroskop.

 ( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

No comments:

Post a Comment