Sunday, May 25, 2014

Senyum dan senyumlah

Jika menerima senyuman tawar
Cubalah cari ubat penawar.

Jika menerima senyuman sinis
Terasa tawar tidak manis.

Jika menerima senyuman geram
Jangan sampai iman karam.

Jika menerima senyuman kucing
Niat dihati hendak memancing.

Jika menerima senyuman berbunga
Jangan sampai mulut menganga.

Jika menerima senyuman kambing
Sindiran halus untuk membimbing.

Jika menerima senyuman harimau
Kata orang hari-hari mahu.

Jika menerima senyuman hampa
Rasa kecewa sukar dilupa.

Jika menerima senyuman kuda
Tersipu-sipu jangan mengada-ada.

Jika menerima senyuman singa
Jangan sampai terpinga-pinga.

Jika menerima senyuman serigala
Serangan datang pada bila-bila.

Jika menerima senyuman buaya
Itu tandanya mengundang bahaya.

Jika menerima senyuman sebelah
Ada rahsia tersirat helah.

Jika menerima senyuman mesra
Bertanya khabar seronok gembira.

Jika menerima senyuman kasih
Baik hati suci bersih.

Jika menerima senyuman sayang
Kasih bersemi dating melayang.

Jika menerima senyuman manja
Nama disebut sering dipuji dipuja.

Jika menerima senyuman simpati
Hulurkan bantuan seikhlas hati.

Jika menerima senyuman ikhlas
Budi disemai tak mengharap balas.

Senyuman simpul tanda gembira
Amalan mulia sihat sejahtera.

Senyuman manis indah mesra
Bisikan hati cetusan suara.

Senyuman itu sumber rezeki
Jutaan ringgit boleh dimiiki.

Senyuman separuh daripada iman
Hidup bahagia rukun aman.

Senyuman itu pemikat hati
Berbudi bahasa amat bererti.

Senyuman manis salam diberi
Haruman kasih wajah berseri.

Senyuman saying penyeri muka
Setulus hati seronok suka.

Senyuman diukir semanis madu
Apabila berpisah terasa rindu.

Cantiknya kain kerana sulaman
Manisnya wajah kerana senyuman.

Wajah ceria senyuman mesra
Semoga bahagia sihat sejahtera.

Wallahu alam.

Mohd Sidek bin Mohd Dollah
Lautan kasih berpantai sayang, 2010

No comments:

Post a Comment