Friday, May 30, 2014

Living with the flow

Semua orang ada alasan. Hilangkan alasan menerusi prinsip-prinsip berikut:

1. Memperbetulkan dunia dalaman dan tindakan kita, insya-Allah dunia luaran dan tindak balas daripada orang lain akan bertambah baik.

2. Menghormati semua makhluk dan seluruh kehidupan di dunia ini tidak kira kehidupan manusia atau haiwan. Ini bermaksud kita menghormati orang lain tanpa mengira pangkat, rupa atau kedudukan.

3. Jujur dan ikhlas. Berbuat baik dengan orang atau buat sesuatu bukan kerana ingin mendapat balasan. Apa yang penting, kita mesti mendapat balasan daripada Allah swt.

4. Sentiasa lemah lembut. Kelembutan datang daripada nilai roh kita.

5. Sentiasa niatkan pada setiap hari: Bagaimana cara terbaik untuk saya memberi khidmat kepada orang lain dan bagaimana ia bermanfaat kepada diri saya dan orang lain juga.

Kejar kejayaan, kelar alasan

Langkah utama ialah kenal pasti kelebihan dan kekurangan diri, kemudian buat perancangan dan jelas dengan matlamat utama.

Sentiasalah meningkatkan motivasi diri dengan keyakinan bahawa kejayaan sudah terjamin selagi usaha tidak berhenti. Semua ini akan mendorong anda untuk mengelak daripada sebarang alasan seterusnya mengekalkan anda bersama azam dan keinginan.

Tetapi ingat, apa jua yang kita inginkan mestilah didorong oleh keinginan untuk mendapat reda dan keberkatan daripada Allah swt. Dalam erti kata lain perkara yang hendak dilakukan itu mestilah baik dan besar manfaatnya untuk diri kita dan orang lain.

Seterusnya tetapkan tujuan hidup. Namun pastikan  kita memahami tentang kenapa kita hendak perkara itu dan akhir sekali letakkan goal (matlamat) dalam kehidupan kita.

Apabila ingin melakukan sesuatu tetapi masih mengatakan tidak boleh atau susahnya, itu semua alasan. Ini tandanya kita mempunyai banyak ego. Oleh itu, kita perlu hidup daripada dalaman diri iaitu melalui tahu apa yang kita mahukan dan melakukannya untuk mendapat reda Allah, bukannya penghargaan manusia. Begitu juga paradigma yang perlu lakukan iaitu berhenti daripada memberi alasan dan ingat prinsip living with flow iaitu menghormati semua orang, ikhlas, lemah lembut dan sentiasa memberi perkhidmatan. Dengannya kita hidup tanpa alasan lagi.

Wallahu ’alam.

Prof Dr. Muhaya Hj Mohamad
Al-Ustaz
Volume 1/ Isu no 3 , 2012

No comments:

Post a Comment