Friday, May 16, 2014

Kematian satu kepastian

Kelmarin semalam baru berjumpa
Bergurau senda bertegur sapa.

Tetapi kini sudah tiada
Terasa sebak urutlah dada.

Cuba bertanya puncanya mati
Sekadar mendengar rasa simpati.

Cerita biasa kisah mati
Sampai waktu tak perlu dinanti.

Hidup memang lawannya mati
Sampai ketika sudahlah pasti.

Ajal maut di tangan Tuhan
Walau sesaat tidak tertahan.

Malaikat Izrail mengambil nyawa
Sanak saudara berasa kecewa.

Wahai manusia hendaklah sabar
Suratan takdir memberi khabar.

Apabila roh dijemput pergi
Jasad terbujur tak bernyawa lagi.

Kepada Allah kita berserah
Pujuklah hati supaya pasrah.

Kematian dalam pelbagai cara
Menerima berita hati bergelora.

Semalam nampak rancak berborak
Hari ini jenazah sedih diarak.

Jangan diratap jenazah dikapan
Jangan ditangisi kurang sopan.

Kematian adalah perkara biasa
Namun ada jiwa yang terseksa.

Terutama kepada insan tersayang
Disebut nama wajah terbayang.

Sesungguhnya hidup pasti mati
Yang hilang tidak akan berganti.

Yang pergi takkan kembali
Yang ditanam takkan digali.

Jangan menangis usah berduka
Tabahkan hati walaupun terluka.

Ajal maut sudah tersurat
Sudah tercatat tanpa syarat.
 
Tua muda pasti mati
Semoga rohnya Allah berkati.

Jangan bimbang pada kematian
Nyawa dijemput satu kepastian.

Berita sedih enggan diterima
Sayu pilu ditanggung bersama.

Berita kematian segera terhebah
Yang tinggal pula hendaklah tabah.

Harimau mati meninggalkan belang
Manusia mati namanya dijulang.

Wallahu alam.

Mohd Sidek bin Mohd Dollah
Lautan kasih berpantai sayang, 2010

No comments:

Post a Comment