Wednesday, January 4, 2012

SALAMAH BIN DINAR ( Bahagian 1 )

Masyhur dengan panggilan Abu Hazim al-A’raj

“ Tidak pernah saya melihat seseorang yang hikmah bermain di bibirnya seperti Abu Hazim.”
 ( Abdul Rahman bin Zaid )

Pada tahun ke-97 Hijrah, Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik berhasrat untuk berangkat ke tanah suci bagi menyahut seruan ‘Bapa Para Nabi’, Ibrahim a.s.. Rombongannya bergerak pantas menyusuri laluan Damsyik, ibu kota Bani Umayyah ke Kota Madinah al-Munawwarah.

Jiwanya terasa rindu untuk mendirikan sembahyang di Raudhah yang suci dan rindu untuk mengucapkan salam kepada Nabi Muhammad s.w.a.

Rombongan khalifah ini turut diiringi oleh para qari, ahli hadis, ahli fikah, ulama, pembesar dan panglima tentera. Apabila sampai di Madinah al-Munawwarah, Sulaiman disambut oleh para pemimpin dan tokoh-tokoh ilmuan di Madinah untuk bersalaman dan menyambutnya. Walau bagaimanapun, Salamah bin Dinar, seorang hakim di Madinah dan ilmuan yang berpengaruh serta seorang imam (pemimpin masyarakat) yang dihormati, tidak ada bersama orang-orang yang menziarahi dan menyambut khalifah.

Setelah selesai menyambut kesemua tetamu, Sulaiman bin Abdul Malik berkata kepada hadirin : “ Jiwa ini akan berkarat, sama seperti besi jika tidak ada sesiapa yang mengingatkannya dari semasa kesemasa dan tiada siapa yang menggilap karatnya.”

“ Benar, wahai Amirul Mukminin.” Jawab para hadirin.

“ Apakah tidak ada di Madinah ini sesiapa yang sempat menemui para sahabat Rasulullah s.a.w. dan boleh menasihatkan kita?” Tanya Sulaiman.

Ada, wahai Amirul Mukminin. Di sini ada Abu Hazim al-A’raj.” Jawab para hadirin. “ Siapakah Abu Hazim al-A’raj?” Mereka pun menjelaskan : “ Salamah bin Dinar, ulama dan imam di Madinah. Dia salah seorang tabiin yang sempat bertemu beberapa orang sahabat.”

” Panggillah dia ke sini dan jemputlah dia dengan baik,” arah Sulaiman kepada mereka.

Tanpa berlengah lagi, mereka pun menjunjung perintah dan pergi menjemputnya. Apabila Salamah tiba, Sulaiman menyambut dan mempersilakannya duduk berhampiran dengannya.
Apabila beliau sudah duduk, Sulaiman berkata kepadanya sambil menegur tindakannya:  ” Kenapa hambar sahaja, wahai Abu Hazim?”

” Apakah yang hambar, wahai Amirul Mukminin?” balas Salamah yang tidak mengerti apa sebenarnya yang hendak diperkatakannya.

” Semua orang menziarahi saya tetapi engkau tidak!!.”

” Hubungan hambar hanya selepas saling kenal-mengenali. Sedangkan engkau tidak pernah mengenali saya sebelum ini dan saya juga tidak pernah melihat engkau. Apakah yang hambar daripada tindakan saya ini?” jawab Salamah.

Sulaiman yang terpegun mendengar jawapan Salamah, berpaling kepada hadirin dan berkata : ” Alasan sheikh ini tepat sekali dan khalifah telah tersilap kerana menegurnya.”

Sulaiman kemudian memandang Abu Hazim dan berkata : Di dalam diri saya ada banyak perkara yang ingin saya luahkan kepada engkau, wahai Abu Hazim.”

”Katakanlah wahai Amirul Mukminin, mudah-mudahan Allah akan membantu,” balas Salamah lembut.

Sulaiman pun memulakan soalannya : ” Wahai Abu Hazim, kenapa kita takutkan mati?”

” Sebab kita terlalu membangunkan dunia dan kita musnahkan akhirat kita. Jadi kita tidak suka untuk keluar dari dunia yang kita bangunkan ke akhirat  yang kita telah musnahkan, ” jawab Salamah dengan jelas.

” Benar,” jawab Sulaiman mengiakan kata-kata sheikh itu. ” Wahai Abu Hazim, apakah mungkin kita dapat tahu nasib kita di hadapan Allah kelak?” Sulaiman menyambung soalannya.

” Bandingkan amalanmu dengan kandungan Kitab Allah Taala, nescaya engkau akan tahu nasibmu.”

Sulaiman yang kelihatan begitu tertarik dengan kata-kata Salamah bertanya lagi: ” Di manakah saya akan temuinya dalam Kitab Allah Taala?”

” Engkau akan temuinya dalam firman Allah :

” (Gunanya catatan malaikat-malaikat itu ialah untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang salah) – kerana sesungguhnya orang-orang yang berbakti ( dengan taat dan amal kebajikan), tetapi berada di dalam syurga yang penuh nikmat; Dan sesunguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat di dalam neraka yang menjulang-julang .” [ maksud Al-Infitar : 13 – 14]

Sumber : Abdul Rahman Ra’fat al-Basha.(2003). 37 Kisah kehidupan Tabi’in Jilid 2. Kuala Lumpur : Pustaka Salam : 249 - 251

No comments:

Post a Comment