Wednesday, January 18, 2012

Anugerah terbaik

Kata Imam al-Ghazali : Umpama orang yang mengerjakan sembahyang dengan rupanya yang luaran sahaja tapi lalai daripada hakikatnya yang batin, diumpamakan sebagai satu orang yang telah menghadiahkan kepada raja yang amat besar darjatnya, seorang yang telah mati yang tiada roh lagi. Manakala orang yang mengurangkan dalam mengerjakan rupa zahir sembahyang itu, diumpamakan seorang yang menghadiahkan kepada raja, seorang yang terpotong anggota dan tiada dua matanya. Kedua-dua hadiah ini ditelentangkan di hadapan raja itu untuk dihadiahkan kepadanya. Sudah tentulah raja tersebut amat murka dan marah kepada mereka kerana perbuatan itu menghinakan kemuliaan kerajaanya dan meringankan tanggungjawab terhadap kerajaannya.

Kemudian katanya lagi : Fikirkanlah kepada diri kamu yang menghadiahkan sembahyang kepada Tuhan kamu, janganlah sampai jadi begitu. Takutlah kamu daripada berbuat demikian, kerana perbuatan sebegini pasti mendapat siksaan daripada Allah. Ketahuilah bahawa kadar nikmat Allah yang amat dianugerahkan kepada sekalian hambaNYa, adalah sembahyang lima waktu seperti yang disebut di dalam hadis nabi, rasulullah saw bersabda :

Tiada anugerah yang terlebih baik kepada seseorang hamba di dunia ini daripada diizinkan bersembahyang sebanyak dua rakaat.

Di dalam sembahyang itu, dia dapat bersunyian bersama Tuhannya, mengasingkan diri serta bersekedudukan denganNya dan memutuskan diri kepadaNya. Di dalamnya, segala dinding dan tabir yang menyelubungi hati-hati mereka diangkat dan didedah padanya segala hakikat dan rahsia dan terpancar padanya berbagai cahaya dan padanya berlaku munajat hamba dengan TuhanNya serta jernih hati dan jelas rahsianya. Ini adalah hubungan antara hamba dengan Tuhannya Azza wa Jalla........wallahu’alam

( Munyatul Musolli; Sheikh Daud Abdullah al-Fathoni )

Ya Allah, Ya Tuhanku berilah aku petunjuk-Mu kepada akhlak yang mulia yang tidak ada seorangpun yang akan memberi petunjuk kepada akhlak yang mulia tersebut selain Engkau, dan palingkanlah dariku akhlak yang buruk, tidak ada seorang pun yang dapat memalingkannya dariku selain Engkau.......ameen Ya Rabb.

No comments:

Post a Comment