Muslim yang diberkati Allah;
Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan di atas masjid yang mulia ini,
saya berpesan kepada diri saya dan pada
sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada
Allah swt dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintahNya dan
meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan
keredhaan serta perlindungan Allah swt di dunia dan di akhirat. Bersempena
dengan hari berkabung negara kita pada hari ini, maka mimbar akan menyampaikan
khutbah bertajuk Hakikat Luh Mahfuz.
Muslim yang diberkati Allah;
Sebagai seorang Islam yang berpegang teguh kepada Al-Quran dan Al-Hadis,
kita mempercayai bahawa kehidupan, kematian dan kehidupan selepas mati adalah
peringkat kewujudan yang wajib dilalui oleh semua manusia. Dalam hal ini Allah
swt telah mencatatkannya dalam kitab Luh
Mahfuz sebagai tempat untuk menyimpan segala rahsia yang ada di langit dan di
bumi dari permulaan zaman hingga ke akhir zaman.
Persoalan besar timbul di sini, apakah yang dimaksudkan dengan Luh Mahfuz itu? Secara ringkasnya, ada
ulamak yang menceritakan tentang hakikat Luh Mahfuz. iaitu ianya merupakan kitab
suratan, yang dituliskan qadak dan qadar semua makhluk sebelum dijadikan. Firman Allah swt dalam suratul Hajj ayat 70 yang maksudnya : Bukankah engkau telah mengetahui bahawasanya
Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi. Sesungguhnya yang
demikian itu. ada tertulis dalam kitab Luh Mahfuz. Sesungguhnya hal ini amatlah
mudah bagi Allah.
Dan Firman Allah swt lagi dalam suratul Hadid ayat 22 yang bermaksud: Tidak
ada kesusahan yang ditimpakan ke bumi dan yang menimpa diri kamu melainkan
telah sedia ada di dalam di kitab sebelum kami menjadikannya. Sesungguhnya
mengadakan yang demikan itu adalah mudah bagi Allah swt.
Menurut Ibni Taimiyah dan Imam AlQutubi dalam tafsirannya bahawa yang
dimaksudkan kitab dalam ayat ini ialah Luh
Mahfuz.
Daripada Ibni Mas’ud katanya, bahawa sesungguhnya bila nukfah itu telah mantap dalam rahim, malaikat akan mengambil dan
meletakkannya dalam telapak tangannya sambil
berkata: Tuhanku, apakah untuk diciptakan atau tidak diciptakan?. Jika dijawab, untuk tidak diciptakan iapun
tidak menjadi manusia ia akan lebur menjadi darah. Sebaliknya jika dijawab diciptakan. Malaikat pun berkata, adakah
lelaki ataupun perempuan, sengsara atau bahagia, bagaimana ajalnya,berapa
umurnya, apa peninggalannya, apa rezekinya, dan di bumi manakah ia akan mati.
Allah swt kemudiannya berfirman : Pergilah ke Luh Mahfuz, di sana kau akan mendapat nukfah itu. Dikatakan kepada
nukfah, siapakah Aku siapakah Tuhanmu. Jawabnya, Allah. Ditanyakan pula
siapakah yang memberikan rezeki kepadamu, jawabnya Allah. Lalu diciptakan dia menjadi manusia, hidup bersama-sama keluarga
dan makan rezeki yang dikurniakan kepadanya. Jika datanglah ajalnya, ia akan
meninggal dan dikebumikan di tempat tersebut.
(Riwayat al-Hakim)
Muslim yang dirahmati Allah;
Berdasarkan ketentuan Allah swt di Luh
Mahfuz ini, maka kita sebagai orang Islam mesti yakin dan percaya bahawa
kematian merupakan satu perkara yang telah ditentukan. Bagaimana sihat
seseorang, bagaimana megah kuasa dan kayanya seseorang, bagaimana suasana dan
caranya, namun manusia pasti mati dan meninggalkan dunia fana ini. Malah para
nabi-nabi, rasul-rasul iaitu manusia yang paling dekat dengan Tuhan bahkan
manusia yang menjadi kekasih Allah swt pun tidak dapat lari daripada kematian,
menghadapi alam barzah dan hari penghakiman di Padang Masyhar.
Firman Allah swt dalam suratul Nisaa ayat 78 yang maksudnya : Di mana sahaja kamu berada pasti mati mendatangi kamu sekalipun kamu
bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat.
Setiap manusia pasti mati kerana mati bermakna manusia kembali kepada asal kejadiannya.
Ia berasal dari tanah maka pastilah ia akan kembali menjadi tanah agar menjadi
peringatan kepada manusia. Persoalan mati adalah suatu kejadian yang paling
hebat, suatu kejadian yang tidak dapat dielakkan. Bila seseorang itu mati, ia dikatakan kiamat
kecil baginya. Ia dikatakan kiamat kecil berlaku pada diri manusia, kerana
jasadnya menjadi busuk, dimakan cacing, tulang belulang menjadi hancur lebur,
kembali menjadi tanah dan ruh telah keluar dari badan manusia. Ruhlah yang
menyebabkan kita hidup, boleh mendengar, melihat, berakal, merasai dan
berfikir.
Muslim yang dirahmati Allah;
Mimbar yang mulia ini ingin mengatakan, bahawa menerima kematian sebagai satu ketentuan Allah
swt mengandungi banyak hikmah. Antaranya ialah pertama, dapat memperkukuhkan
keimanan dan menimbulkan rasa takwa yang mendalam untuk menjunjung perintah
Allah swt dan meninggalkan segala laranganNya. Ibni AlQayyim berkata : Allah
swt menjadikan pusingan alam ini sebanyak tiga pusingan iaitu alam dunia, alam
barzah dan alam akhirat yang kekal abadi. Pada setiap alam ini, ada hukumnya
yang tersendiri. Percayalah bahawa, Allah swt menentukan sesuatu kejadian itu
dengan penuh kebijaksanaan dan hikmah.
Memetik kata-kata hikmah yang pernah dilontarkan oleh Junaid AlBaldadi
bahawa bala dan bencana adalah pelita bagi orang yang arif, menyedarkan orang
murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lalai. Tidak seorang
pun mendapat manisnya iman, sebelum ia ditimpa ujian dengan redha dan bersabar.
Kedua, dapat menambahkan keteguhan hati dan kesabaran. Mereka yang memiliki
keteguhan hati dan kesabaran yang tinggi tidak akan berputus asa, Tindakannya
selalu tenang tanpa terburu-buru ataupun bimbang kerana mereka sedar bahawa
segala ketentuan perjalanan hidup ini hak mutlak Allah swt.
Renungilah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Abu
Hurairah ra bahawa rasulullah saw
bersabda yang bermaksud: Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa diri seorang
muslim, samaada yang berupa kesusahan , penderitaan, kesedihan dan kedukaan
ataupun penyakit bahkan kerana sepotong duri yang mencucuk kakinya yakni
anggotanya melainkan dihapuskan oleh Allah swt dengan itu sebahagian daripada kesalahannya.
Ketiga, lahir perasaan tanggungjawab, hendak membimbing diri dan keluarga
supaya bersungguh-sungguh beramal dan berbuat kebajikan dalam menuntut
keredhaan Allah swt serta timbul rasa kasih sayang serta mahabbah sesama
manusia khususnya keluarga, jiran dan masyarakat setempat. Percayalah bahawa,
kita sebagai manusia diikat dengan satu perasaan kasih sayang. Oleh sebab
itulah setiap kali kita ditimpa musibah kematian maka hati kita tercuit dengan
kesedihan dan kepiluan.
Diriwayatkan daripada Usamah b Zaid rahu katanya kami sedang berada di sisi
rasulullah saw, ketika salah seorang dari puteri baginda menyuruh seseorang untuk
memanggil baginda dan memberitahu bahawa anak lelaki puteri baginda itu berada
dalam keadaan nazak, lalu rasulullah saw kepada orang suruhan itu : Kembalilah kepadanya, dan katakanlah bahawa yang diambil oleh Allah itu adalah
milikNya dan siapa yang diberi oleh Allah juga milikNya, segala sesuatu di
sisinya akan berakhir. Mintalah supaya beliau bersabar dan berserah kepada
Allah.
Orang suruhan itu kemudian kembali mengadap rasulullah saw dengan berkata dia berjanji akan menunaikan pesanan itu. Kemudian
rasulullah saw berdiri diikuti oleh Saad b Ubaidah dan Muaz b Jabbar rahu lalu
diangkat kepada rasulullah saw dan diserahkan anak dari puteri baginda yang
nafasnya masih tersekat-sekat seolah-olah ia berada dalam suatu qibbah yakni
bekas air yang lusuh. Kedua-dua mata rasulullah saw mulai berlinangan. Saad
bertanya : Apakah ertinya ini wahai rasulullah?.
Rasulullah saw lalu bersabda: Ini adalah
rahmat, yakni belas kasihan yang diletakkan oleh Allah swt di hati hamba-hambaNya.
Sesungguhnya Allah mengasihi hamba-hambaNya yang mempunyai rasa belas kasihan. (Riwayat Muslim)
Kita perlu mencontohi sikap waras Abu Bakar AlSidiqq rahu ketika berhadapan
dengan kewafatan nabi saw.Beliau memujuk saidina Umar rahu yang masih terkejut
dengan pemergian nabi saw seraya berkata:
Ketahuilah yang menyembah Muhammad
saw, maka sesungguhnya Muhammad telah
wafat. Sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah sentiasa hidup tidak akan
mati.
Muslim yang dirahmati Allah;
Sebagaimana yang kita ketahui, hari ini 22hb Ogos 2014 pihak kerajaan kita
telah mengisytiharkan Hari Berkabung Negara sebagai penghormatan berikutan
ketibaan jenazah warga Malaysia mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 di Timur Ukraine.
Oleh itu mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa hendaklah bendera
Malaysia dikibarkan separuh tiang di
seluruh negara. Marilah sama-sama kita melaksanakan solat jenazah secara ghaib
di tempat masing-masing. Marilah sama-sama kita mendoakan kesejahteraan kepada
saudara mara dan sahabat handai kita yang telah pergi meninggalkan kita dalam
tragedy MH17. Kita mendoakan semuga roh mereka dan rahmat dan kasih sayang
Allah swt . Kepada seluruh kaum keluarga mangsa tragedy MH17 kita ucapkan
takziah. Kita juga mendoakan kekuatan dan ketabahan kepada seluruh rakyat
Malaysia khususnya kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedy ini. Kita
doakan semuga agar negara dijauhkan dari segala mala petaka dan kehancuran,
dikekalkan nikmat keamanan, tanamkanlah rasa kasih sayang di antara rakyat yang
berbilang kaum,kukuhkan perpaduan di kalangan mereka semuga sentiasa hidup aman damai,
menikmati kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan sepanjang zaman.
Sesungguhnya setiap yang hidup itu mesti akan mati. Walau pun di mana jua
kita berada, sama ada di darat, laut atau pun di udara.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah kita sama-sama kita merenungi
Firman Allah swt dalam suratul Luqman ayat 34 yang bermaksud : Sesungguhnya di
sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat dan Dialah juga yang menurunkan
hujan dan yang mengetahui tentang apa yang ada dalam rahim yakni ibu mengandung
dan tiada seorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok.
Dan tiada dapat diketahui oleh seseorang itu bumi negeri manakah ia akan mati.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Meliputi pengetahuanNya.
Wallahu a’lam.
Tan Sri Dato’ Shaikh Ismail b Muhammad al-Hafiz
Masjid Putrajaya
22 Ogos 2014