Friday, August 15, 2014

Rayuan ke IPT dibuka hingga 21 Ogos

Petaling Jaya: Semua calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Asasi dan Matrikulasi, yang gagal mendapat sebarang tawaran penempatan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) boleh membuat rayuan sehingga 21 Ogos ini.

Pengarah Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar Kementerian Pendidikan, Mazula Sabudin, berkata daripada 74 071 permohonan hanya 67 388 atau 90 peratus layak mendapat tempat apabila melepasi syarat am universiti dan syarat khas program pengajian, membabitkan 28 494 calon aliran sains dan 38 894 aliran sastera.

Aplikasi e-rayuan

Bagaimanapun hanya 37 467 calon iaitu 21 800 bagi aliran sains dan 15 667 lagi sastera mendapat tawaran daripada 20 IPTA. Calon yang layak tetapi gagal mendapat sebarang tawaran, boleh membuat rayuan menerusi aplikasi e-rayuan.

Keputusan bagi rayuan dijangka dapat diketahui seawal 15 September ini, katanya ketika ditemui di Sri Pentas, selepas muncul pada program terbitan TV3, semalam. Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah IPTA kementerian, Datin Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.

Mengulas punca calon berkelayakan tetapi tidak mendapat tempat di IPTA, Mazula menjelaskan, kejayaan calon terbabit bergantung kepada susunan merit dan pemilihan program pengajian masing-masing di IPTA.
 
Beliau berkata, pihaknya menggunapakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum untuk menentukan nilai merit calon tanpa mengira agama, bangsa, keturunan, negeri dan tempat tinggal.

Persaingan tinggi

Jika merit calon tidak begitu tinggi dan memohon pula program pengajian kompetitif (perubatan, farmasi dan pergigian), berkemungkinan besar mereka tidak terpilih untuk ditawarkan program pilihan itu.

Begitu juga jika calon yang hanya memilih IPTA yang popular, calon terbabit akan menghadapi persaingan tinggi dan akhirnya gagal mendapat sebarang tawaran.

Dalam senario sekarang, pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 tidak menjamin bahawa seseorang calon boleh mendapat program yang dipilih terutama program yang sangat kompetitif, katanya.

Wallahu a’lam

Berita Harian
15 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment