Saturday, August 9, 2014

Memerdekakan jiwa yang terpenjara dengan menjadi hamba (1)

Ya Malik

Ya Allah Ya Malik Tuhan yang Maha Memiliki segala apa yang ada di antara langit dan bumi hatta diriku, suami mahupun isteriku, anak-anakku, ibu bapaku, kawan-kawanku dan jiran tetanggaku. Aku sedar Ya Allah, aku hanya ciptaanMu, Kau ciptakan dari tanah yang hina dan kemudian kau pinjamkan kepadaku ilmuMu, hartaMu, wang ringgitMu, rumahMu, keretaMu seta suami mahupun isteri, anak-anak, kawan-kawan yang mana semuanya adalah ciptaanMu sebagai amanah dan pinjaman agar aku dapat mengabdikan diri kepadaMu dan juga melaksanakan amanah khalifahMu di dunia ini. Ampunkanlah aku Ya Ghaffar kerana selama ini, aku sering lupa asal usulku Ya Allah, aku lupa aku dicipta dari tanah dan tiada apa-apa kecuali apa yang diamanahkan dan dianugerahkan olehMu Ya Allah. Ampunkanlah aku Ya Allah Ya Afuww kerana aku sering mengaku semuanya itu milikku, sedangkan semuanya itu hakMu semata-mata Ya Allah.

Ya Allah Ya Azhiim Ya Quddus, Tuhan yang Maha Agung dan Maha Suci aku sering kali mengucap Lailahaillallah yang membawa erti Tiada Tuhan yang layak di sembah melainkan Engkau Ya Allah. Namun aku sedar ianya hanya di bibirku sahaja, ianya tidak mampuku ucapkan dengan hatiku kerana sesungguhnya dalam hati ini masih banyak lagi tuhan-tuhan lain selain Engkau Ya Allah Ya Wadud.

Ampuni, ampunilah, ampunilah Ya Allah segala dosa-dosa aku selama ini kerana bertuhankan lain selain daripadaMu Ya Allah. Sesungguhnya jiwaku menjadi hamba nafsu, hamba dunia dan hamba manusia Ya Allah segala dosa-dosa aku selama ini kerana bertuhankan lain selain daripadaMu Ya Allah. Sesungguhnya jiwaku menjadi hamba nafsu, hamba dunia dan hamba manusia Ya Allah. Jiwaku tersepit, terpenjara dan menderita kerana mengabdikan dan menghambakan diri kepada makhlukMu yang lemah dan tidak kekal. Ya Allah. Selama ini jiwaku dikurung, tidak bebas melakukan apa yang jiwaku inginkan iaitu mengabdikan diri semata-mata kepadaMu Ya Allah. Aku sering melakukan sesuatu untuk manusia dan mengharapkan ganjaran dan pujian manusia tetapi sebaliknya aku hanya mendapat kekecewaan dan penderitaan. Sesungguhnya kasih dan cinta manusia itu tidak kekal, tidak abadi dan tidak suci.

Aameen.

Dr Wan Masri
Asmaul Husna atas namaMu aku merintih

No comments:

Post a Comment