Burung-burung Ramadhan
adalah burung-burung hijrah
semusim hinggap di laman kita
kini mengepak sayap syurgawi
kembali ke benua Firdaus.
meninggalkan laman kita
ada yang belum sempat
merakam keindahannya
bulu lembut warna ketulusan
runcing patuh pengorbanan
kukuh kaki berbulu kesabaran
ekor kembang cantik keinsafan
tajam mata bagai abid
merenung kezuhudan.
Hanya sang pencipta
burung-burung Ramadhan
sebak sendu bergumam bimbang
menatap pemergian
rindu dendam menanti kunjungan
pada musim hadapan.
M.Arif
Padang Mokan, Kelantan
Mingguan Malaysia
3 Ogos 2014
No comments:
Post a Comment