Manusia itu tidur lena,
apabila kematian tiba baru dia terjaga daripada tidurnya. Demikianlah orang
yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam tertidur dan akan terkejut bila
kematian datang secara mendadak. Titipan pesanan saidina Ali Abi Talib ini, saya kongsikan sebagai mukadimah
perkongsian inti pati Islam Itu Indah oleh Pahrol Mohd Juoi minggu lalu yang
bersiaran setiap Rabu jam 10.15 pagi di radio IKIMfm.
Kata-kata itu sungguh mendalam dan tersirat maknanya. Rupa-rupanya apabila
seseorang itu mati kelak, barulah hakikat kehidupan ini tersingkap
sejelas-jelasnya. Ketika itu barulah si mati dapat melihat hidup dengan jelas
dan tepat. Ironinya, saban hari bangun dari tidur, doa dipanjatkan tanda syukur
dikurnia sehari lagi usia. Diberi usia bererti dikurnia peluang, kesempatan dan
harapan. Bagi yang taat, hidup adalah peluang, kesempatan dan harapan untuk
mencambah lebih banyak ketaatan. Meminjam semangat hukama Buat baik sehingga letih buat maksiat. Sesungguhnya berbuat baik
itu tiada penghujungnya.
Peluang bertaubat
Bagi mereka suka melakukan maksiat, kesempatan hidup sebagai peluang untuk
mengaku kesalahan dan bertaubat. Allah terus beri hidup pada yang berdosa, tapi
hakikatnya itulah peluang untuk bertaubat dari dosa yang dilakukan.
Maha Suci Allah, usia yang Allah berikan pada kita sebenarnya satu rahmat
bukan sa pada mereka yang taat, tetapi juga buat mereka yang dalam maksiat.
Al-Quran menerusi Surah Al Hajj ayat 47 Allah berfirman mafhumNya: Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad)
menyegerakan kedatangan azab, pada hal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri
janjiNya; dan (katakanlah kepada mereka): sesungguhnya satu hari dari hari-hari
azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung.
Sebagai perbandingan, satu hari di akhirat adalah bersamaan dengan 1000
tahun di dunia. Ini bermakna jika usia kita seperti junjungan mulia nabi
Muhammad saw iaitu 63 tahun, maka ia bersamaan dengan satu jam
setengah sahaja hidup di akhirat.
Dengan pengiraan ringkas itu terasa hidup ini terlu singkat. Allah
mengingatkan kita menerusi surah Yunus ayat 45 mafhumNya: Dan (ingatkan) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak),
dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia
melainkan sekadar satu saat saja dari siang hari.
Mereka akan berkenal-kenalan
sesama sendiri. Sesunguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari
menemui Allah untuk menerimabalasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan
mencari untung ketika hidup di dunia).
Sungguh tepat seperti yang dinukilkan Imam as-Shafie mengenai keanehan
melihat masa yang berlalu terlalu laju tetapi lebih aneh lagi melihat manusia
yang lalai. Melihat kepada kehidupan, ia umpama memasuki dewan peperiksaan.
Segala macam perasaan hadir sebelum, semasa dan selepas peperiksaan
berlangsung. Rasa gusar berbaur resah bercampur gentar menjadikan diri terus
waspada, hat-hati dan sifat mencuba yang tidak pernah kenal erti kalah dan
mengalah hadir dengan latih tubi yang jitu dan padu.
Dengan hanya berbekalkan satu jam setengah segala usaha dicurah untuk
menjawab soalan yang datang daripada Allah berupa ujian kehidupan. Hanya yang
membezakan adalah kertas soalan di dewan peperiksaan adalah sama untuk semua
calon peperiksaan dengan peruntukkan masa yang sama dan ditetapkan.
Kertas ujian milik Allah ini miliki soalan yang berbeza. Ada kertas ujian
kesakitan, kaya, miskin, lambat, jodoh, suami atau isteri curang dan
sebagainya. Masa yang diperuntukkan juga berbeza antara seorang dengan yang
lain. Panjang atau singkatnya masa ujian, sukar mahupun mudah kertas ujian yang
diberikan manfaatkan sebaiknya untuk berjaya dengan cemerlang.
Kesal masa diisi dengan dosa
Imam Al-Ghazali menerusi Ihya’ Ulumiddin menyatakan bahawa ada orang yang
menyesal bukan saja kerana masa itu diisi dengan dosa, tetapi masa yang tidak
diisi dengan apa-apa pun bakal menjadi penyesalan yang amat sangat. Dibayangkan
umpama kotak masa yang akan hadir ketika di Padang Mahsyar. Apabila kita
membuka kotak masa yang pertama penuh dengan pahala. Alhamdulillah, pastinya
kita yang diidam dan didambakan membuat hati menjadi lapang. Akan menjadi
dukacita, jika satu kotak yang hadir penuh dengan dosa kita. Nauzubilla, sudah pasti kita akan menyesal
tidak terhingga. Dan bayangkan, jika satu lagi kotak adalah kotak kosong, itu
pun menurut Imam Al-Ghazali akan dikesalkan oleh kita.
Dan (sungguh ngeri)
sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan
kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu).
Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya
(akan segala yang kami ingkari (dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia
supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin. (Surah as-Sajadah ayat 12). Penyesalan
yang amat amat besar bagi penghuni akhirat sehinggakan jika diberi peluang dan
ruang untuk kembali ke dunia mereka akan manfaatkannya walau berkesempatan
untuk mengungkapkan Subhanallah.
Di akhirat kelak kita akan diperlihatkan kehebatan Subhanallah sahaja sudah sebesar Bukit Uhud. Dan jika kita mampu
melihat kehebatan itu sekarang sudah pasti bibir kitatidak lekang dari
bertasbih tanpa ada sesaat pun yang akan dibazirkan.
Orang tua berpesan menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak
berguna. Keyakinan pada waktu itu sudah terlambat dan tidak memberi apa-apa
kesan kerana sesungguhnya nikmat hidup hanya akan dinikmati apabila kita mati
kelak. Jadi bersiaplah untuk akhirat kita ketika di dunia ini. Hidup di dunia
untuk akhirat.
Hukama mengatakan perjalanan menuju kematian bermula sebaik saja kita
dilahirkan. Hari ini dan hari seterusnya hanya sisa umur saja.Manfaatkan sisa
umum kita bukan sekadar kerja keras tetapi kerja cerdas.Wujudkan kesedaran
untuk kita manfaatkan masa yang bersisa dengan memanjangkan amal kita daripada
modal usia yang Allah berikan seoptimumnya.
Ingatlah, orang yang hebat dalam masa satu jam dia dapat menghasilkan
banyak pahala, tetapi orang yang malang dalam kehidupan yang yang panjang
sedikit pahala pun tidak diperoleh kerana sifat yang dinamakan lalai. Moga kita
semua tehindar dari sifat lalai ini. Insya-Allah.
Norhayati Paradi
BH 27 Ogos 2014
No comments:
Post a Comment