Friday, August 22, 2014

Hari ini kita berkabung

Tiada kata dalam bicara
tiada merdu pada lagu
tiada tinta dalam tulisan
tiada nyala pada warna
kerana hari ini seperti semalam
seperti minggu lalu
seperti bulan lalu
persis 17 Julai yang sendu
langit Malaysia jadi mendung
kala merpati putih MH17
gugur dari cakerawala?
bersama 298 jiwa
yang meruntuhkan
seluruh nafas kita
dan segenap kemanusiaan.

Hari ini jasad sudah disempurnakan
jenazah siap dibaringkan
dalam keranda berlitup
Jalur Gemilang
kafilah telah berangkat
lahad sedang menanti
pengebumian yang lama tertunda
mari kita kejapkan tekad
pada tanah perkuburan itu
hanya saudara, taulan
atas nama negara yang sama itu
atas makna insan yang serupa itu
hanya mereka kita semadikan
dan bukannya harapan keadilan
jua citra keamanan
kerana kemanusiaan tak akan
bahkan tak boleh dikebumikan.



Hari ini, kita berkabung
berhimpun atas nama kemanusiaan
hari esok, kita menyambung
keadilan untuk  merpati puteh kita
MH17  dan 298 jiwa
yang meninggalkan kita
di bawah langit Malaysia
yang mendung.

Nazmi Yaakob
Kuala Lumpur
Berita Harian,
22 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment