Wednesday, August 20, 2014

Bicara hati ketika tawaf

Ya Allah Ya Afuww yang Maha Memaafkan. Ya Ghafur yang Maha Pengampun, Ya Tauwab yang Maha Menerima Taubat, ampunilah dosa-dosa hambaMu ini sama ada diriku ini sedar atau tidak sedar, dosa-dosa di atas kejahilanku, keingkaranku dan keterlanjuranku.

Ya Allah Ya Khalik yang Maha Mencipta, Engkaulah yang menciptakan seluruh makhluk di langit dan di bumi. Engkau menciptakan matahari, bulan, bintang dan seluruh cakerawala di angkasa raya dan Engkau jugalah yang menciptakan manusia dan seluruh makhluk di bumi. Seluruh makhluk ciptaanMu sentiasa bertawaf tanda sujud dan patuh kepadaMu, semuanya berjalan di atas landasan dan orbit yang telah Engkau atur, semuanya tunduk kepadaMu Ya Allah Ya Qahhar yang Maha Menundukkan semua makhluk.

Diriku ini bertawaf kepadaMu bersama seluruh makhlukMu kerana kami semua datang dariMu. Ya Allah. Jadikanlah jiwa hambaMu ini sentiasa bertawaf bersama matahari, bulan, bintang, binatang, pokok-pokok dan segala yang ada di sekeliling kami tanda kami semua bersatu di dalam taat, patuh dan sujud kepadaMu. Kekalkan jiwa kami di atas orbit fitrah kejadian kami iaitu orbit Islam, iman dan ihsan. Jadikanlah kami hambaMu yang benar-benar beriman kepada rukun-rukun Islam dan merasa diri diawasi oleh Allah swt melalui penghayatan ihsan.

Aameen.

Dr Wan Masri
Asmaul Husna atas namaMu aku merintih

No comments:

Post a Comment