SEPANG – Saya
hampiri jenazah dan katakan pada mereka, hari ini saya akan bawa kamu pulang ke tempat asal kamu.
Itulah kata-kata menyayat hati diucapkan Datuk Kapten Missman Leham,
juruterbang MAS yang bertanggungjawab membawa pulang 20 jenazah mangsa MH17,
Jumaat lalu. Penerbangan khas MH6129 yang ditunggu seluruh rakyat Malaysia itu
nyata perjalanan penuh emosi buat Missman apabila beliau hampir menitiskan air
mata sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mereka (sebahagian mangsa)
kawan-kawan kami dan penerbangan ini cukup berbeza. Namun dari awal lagi saya
sudah berdoa agar semuanya dipermudahkan. Alhamdulillah saya dan rakan-rakan
juruterbang lain dapat lakukan tanggungjawab ini, katanya ketika diminta berkongsi pengalaman
membawa pesawat khas itu. Missman dibantu oleh Kapten Bakri Othman dan Kapten
Zaim Khalid serta pegawai penerbangan, Yap Yoon Kong untuk membawa jenazah MH17
dari Lapangan Terbang Schiphol, Amterdam, Belanda.
Walaupun sebelum ini beliau
pernah membawa pulang jenazah tetapi tugas kali ini dianggap paling berat
sepanjang 33 tahun berkhidmat di syarikat penerbangan negara itu. Saya dipilih
MAS untuk terbangkan pesawat ini kerana mereka mahukan seorang juruterbang
senior. Saya amat berbesar hati kerana dapat beri khidmat serta penghormatan
terakhir kepada rakan-rakan yang terkorban serta penumpang MH17, katanya yang juga Ketua Juruterbang bagi
Keselamatan Penerbangan Faktor Manusia dan Operasi MAS.
Berkongsi detik-detik perjalanan selama 12 jam itu, Missman berkata,
seluruh dunia umpama memahami tugas berat disandang pasukan juruterbang MH6129
apabila setiap
ruang udara yang dilalui diberi laluan mudah.
Keadaan kali ini agak
berbeza, seolah-olah trafik udara memberi penghormatan kepada kita. Terutama
ketika melalui ruang udara Iran, mereka selalunya akan bertanya nombor rasmi
kemasukan kita (entry number).Tetapi kali ini dari jauh lagi mereka telah beri
kebenaran untuk pesawat kita melintas. Maknanya kita boleh terbang tanpa
halangan, katanya yang
ditemui selepas menghadiri Istiada Penghormatan Jenazah Tragedi Pesawat MH17
bagi kumpulan kedua, semalam.
Missman berkata, beliau dan juruterbang lain turut mengadakan tahlil
sepanjang perjalanan. Katanya, ketika hampir mendarat beliau dan juruterbang
lain sekali lagi mendekati jenazah dan berkata : Kami
sudah bawa anda pulang ke pangkuan orang tersayang.
Menurut Mussman, hatinya sebak di saat pesawat itu berhenti di hadapan
Kompleks Bunga Raya, KLIA apabila melihat ahli keluarga mangsa telah menanti
ketibaan mereka. Walaupun sudah dimaklumkan ada istiadat penerimaan jenazah itu,
namun saya tidak sangka sama sekali acaranya begitu besar dan penuh
penghormatan. Sekali lagi saya panjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana dapat
membawa pulang kesemua jenazah ini dengan selamat, katanya.
Jumaat lalu, seluruh negara berkabung sebagai tanda penghormatan terakhir apabila 20 daripada 43 mangsa tragedi
di MH17 warga Malaysia dibawa pulang ke tanah air. Semalam, tiga lagi jenazah
mangsa nahas MH17 dibawa pulang menerusi pesawat komersil MH19 yang tiba di
KLIA jam 6.54 pagi.
Wallahu a’lam.
Perjalanan bawa pulang
jenazah penuh emosi
Sinar Harian
25 Ogos 2014
No comments:
Post a Comment