Tuesday, August 5, 2014

Menyerah diri untuk diaturkan agenda hidup

Ya Bari’

Ya Allah Ya Bari’, sesungguhnya Engkau yang Maha Mengatur urusan manusia dan mengatur agenda makhlukMu. Aturan dan agendaMu maha hebat dan tiada tolok bandingannya. Aku sedar bahawa aku hanya seorang hamba yang tidak mampu mengatur urusan dan agenda.

Agendaku sering silap dan mempunyai pelbagai kelemahan. Oleh itu Ya Allah Ya Bari’, hambaMu ini menyerahkan seluruh jiwa dan raga kepadaMu untuk Engkau aturkan dan aku rela mengikut agendaMu. Ya Bari’. Perintahkanlah apa sahaja untukku lakukan, aku berazam untuk mengorbankan aps sahaja yang ada pada diriku ini demi mengikuti perintahMu.

Ya Allah Ya Hadi yang Maha Pemberi Petunjuk, setelah Engkau aturkan segalanya, berilah aku petunjuk apa yang harus aku lakukan bagi mengikut semua agendaMu. Bantulah aku dengan kekuatanMu Ya Aziz, Ya Qawiyyu Ya Matin agar aku merasa kuat dan bakarkanlah semangatku. Ya Ba’ith agar aku tidak merasa penat dan sentiasa bersemangat.

Bantulah daku Ya Aliim,  Ya Hakim, Ya Rasyid dengan ilmuMu agar aku mampu melaksanakan sesuatu agendaMu dengan penuh berilmu, berhikmah dan cerdas. Bukalah juga bagiku segala pintu kemudahan dengan sifat Ya FatahMu, bantulah aku dengan sedikit rezekiMu Ya Razzak, kekayaanMu Ya Ghanniyu dan sifat memberi kekayaan Ya Mughni agar aku melaksanakan semua tugas yang Engkau berikan dengan sebaik mungkin.

Ya Allah Ya Quddus Ya Jalil, sucikanlah jiwaku dari sebarang penyakit, bisikan syaitan dan kecintaan kepada dunia dan manusia kerana ianya pasti akan menganggu tugas yang sedang aku laksanakan.

Aameen.

Dr Wan Masri
Asmaul Husna atas namaMu aku merintih

No comments:

Post a Comment