Ya Sami ‘ dan Ya Basir
Ya Allah Ya Khalik yang Maha
Menciptakan, sesungguhnya Engkau telah menciptakan hambaMu ini dengan penuh
kesempurnaan dan kesucian fitrahMu. Engkau telah meniupkan ke dalam jiwaku ini
sedikit sifat-sifatMu. Ya Allah agar dengan sifat-sifat itu hambaMu mampu
menzakatkan dan mengeluarkannya kepada manusia yang berada di sekelilingku.
Ya Allah, hambaMu memohon
kepadaMu Ya Mu’id yang Maha Mengembalikan. Kembalikanlah jiwa hamba ini kepada
kesucian dan kesempurnaan fitrahMu. Ya Rahman yang Maha Pemurah, Ya Rahim yang
Maha Mengasihani, bantulah hambaMu ini menaburkan kasih sayang sesama insan
agar dengan kasih sayang ini, kami dapat hidup harmoni dan bahagia serta mampu
membantu sesama kami.
Ya Allah Ya Afuww yang Maha
Pemaaf, bantulah hambaMu ini mengeluarkan sifat pemaaf yang ada di dalam jiwa
ini agarku mampu memaafkan sesama insan. Sesungguhnya hambaMu ini banyak
melakukan kesalahan kepada ahli keluargaku, rakan-rakanku dan insan di
sekelilingku kerana kejahilan hambaMu ini dan sering kali mengikut hawa
nafsuku. Maafkan hambaMu ini Ya Allah Ya Qahhar, bantulah hambaMu ini
menundukkan nafsuku agar ianya sentiasa menjurus ke arah kebaikan dan
kebajikan.
Ya Allah Ya Wahhab yang Maha
Pemberi, bantulah hambaMu ini mengeluarkan sifat pemberi yang ada di dalam jiwa
ini agar hambaMu ini mampu memberi dan menghulurkan bantuan kepada insan-insan
yang memerlukan tanpa mengira sesiapa pun. Ikhlaskan niatku agar setiap
kebajikanku ini Engkau redai dan mendapat ganjaran pahalaMu.
Ya Allah Ya Halim yang Maha
Penyantun, bantulah hambaMu ini menjadi seorang penyantun sesama insan. Ya Allah
Ya Syakur yang Maha Menghargai, bantulah hambaMu ini agar aku mampu menghargai
dan menghormati sesama insan. Ya Allah Ya Latif. Engkau lembutkanlah perkataan
dan perbuatan hambaMu ini agar aku mampu
menjalinkan persahabatan sesama insan di dunia ini. Ya Majid yang Maha Mulia
Budi Pekerti, bantulah hambaMu ini menjadi seorang yang berbudi pekerti mulia.
Ya Jalil yang Maha Tulus dan Jujur, bantulah hambaMu ini agar setiap
perbuatanku. Ya Quddus yang Maha Suci, bantulah hambaMu ini membersihkan
menyucikan hati agar dapat melahirkan segala sifat-sifat baik yang Engkau
kurniakan. Ya Ba’ith yang Maha Membangkitkan Semangat, bantulah hambaMu ini
dalam membangkitkan semangat sesama insan bagi meneruskan perjuangan hidup ini.
Ya Allah hambaMu ini sedar daku
hanyalah hamba kepadaMu yang diwujudkan di dunia ini hanyalah untuk taat dan
patuh kepadaMu dan melaksanakan kebaikan kepada manusia sepertimana taat dan
patuhnya matahari, bulan dan bintang yang tidak pernah mengerti keingkaran dan
kemungkaran. HambaMu ini sedar sesungguhnya, setiap makhluk yang Engkau
ciptakan mempunyai tugas yang Engkau arahkan dan aturkan. Bantulah hambaMu ini
agar daku mampu melaksanakan tugas khalifahMu ini dengan mengeluarkan dan
menzakatkan seluruh sifat-sifat baikMu yang Engkau tiupkan ke dalam jiwa ini.
Aameen.
Dr Wan Masri
Asmaul Husna atas namaMu aku merintih
No comments:
Post a Comment