Showing posts with label Gurindam. Show all posts
Showing posts with label Gurindam. Show all posts

Tuesday, December 26, 2017

Gurindam memelihara kata

Ada pun anggota yang satu itu
Punca banyaknya orang berseteru

Bergerak lidah, gusi dan bibir
Mudahnya terbit kata bergilir

Seandainya dihalusi dengan berfikir
Nescaya perkataan baik yang zahir

Seandainya diikut nafsu dan perasaan
Keluar segala yang tidak keruan

Perkataan yang baik dituntun akal
Perkataan yang cela pengaruh otak dangkal

Dengan niat yang ikhlas
Tutur kata tidak terbatas

Dengan niat bersarang hasad
Terhambur perkataan yang kesat

Sebelum berkata semprnakan selidik
Supaya ketahuan diri cerdik

Berkata tanpa niat nan mulia
Bertumpuk saham untuk ke neraka

Awang Sariyan
Di denai kehidupan

DBP, Kuala Lumpur 2016

Wednesday, June 14, 2017

Guridam menilik diri

Apatah diharapkan jasa orang
Dayunglah perahu meluncur ke seberang

Apatah disesali hal yang sudah terjadi
Iktiarkan segera agar dapat diatasi

Apatah dimarahi orang tidak berbuat apa-apa
Bukankah kita berusaha insya-Allah mendapat pahala

Apatah faedahnyamengata-ngata
Diri sendiri manakah sempurna

Apatah guna meremehkan kerja orang
Hasil kerjanya sendiri bagai telur tembelang

Apatah dibesar-besarkan perkara yang kurang
Tambah dan baikilah tidak perlu menyerang

Apatah ditenung tungau di seberang
Gajah di hadapan mata pelihatan terhalang

 Awang Sariyan
Di denai kehidupan
DBP, Kuala Lumpur 2016

Friday, October 23, 2015

Berkias dan benar

Kau berbicara bahasa berkias
Aku berbicara bahasa benar

Berkias peri cantiknya bahasa
Benar menjauhkan segala onar

Kias makna katanya berbelas-belas
Benar menuju kepada rasa ikhlas

Katamu kias itu menjadi pedoman
Penuh ibarat sarat teladan ajaran

Kataku benar itu menuju kebaikan
Cantik kebajikan berumah kebolehan

Katamu kau menegur penuh berkias
Tidak terus terang ada kata sindiran

Kataku benar itu tepat dan sahih
Tidak salah katanya tetap terpilih

Sebenarnya kita lagi masih sejalan
Bahasa bicara kita tetap
Satu pedoman

Ami Masra
USJ 4, Subang Jaya
BH, 18 Okt 2015

Wednesday, September 2, 2015

Luka di tubuh merdeka

Ketika menatap cermin reality
kita menatap ada luka
di tubuh merdeka
yang dibelenggu peradaban gersang abad ini.

Seperti tusukan sembilu yang pedih
dari hari ke hari
sengsara tubuh merdeka
diguris kesombongan bangsaku
digarit emosi dan tindak melulu
dicalar ideology dan runtunan nafsu
dituris perpecahan angkara siasah
dicakar laku sosial
yang menyiat kulit maruah

kita tidak rela
hanyir darah luka bertakung
bersama air mata sejarah
menitisnya tiada henti

sebelum luka semakin parah
melemahkan sendi kekuatan
bangsaku yang telah lama dilentur sejarah
bangkit segera dengan wajah baru
melenyapkan khilaf merawat kepedihan
kerana saat ini
hanya kesedaran paling dalam
mampu menyembuhkan luka
di tubuh merdeka.

Nazim Mohd Subari
Endau, Johor
Mingguan Malaysia
23 Ogos 2015

Wednesday, April 22, 2015

Gurindam Hidup

Kalau mahu jauh penyakit
Tutur sedikit kerja membukit

Kalau mahu disayang orang
Hasad dengki elok dihalang

Kalau mahu diri dihormati
Jangan sombong bila dinasihati

Kalau sudah orang budiman
Nama dipuja musuh dan taulan

Kalau orang penuh jasa
Namanya disebut di dalam doa

Kalau mudah menyerah kalah
Bangsa mudah kehilangan tanah

Kalau mahu tunjuk muafakat
Musuh dipujuk teman didekat

Kalau diri suka dipuji
Itu tandanya orang mengeji

Jangan cepat lupa janji
Kawan baik habis lari

Hidup jangan bakhil dan takbur
Nama sendiri mudah terkubur

Kalau benci orang mengeji
Sebelum bertindak buatlah uji

Jika bangsa ingin maju
Jangan pandir diajak berguru

Kalau bangsa mahu perkasa
Jangan berhelah memutar kata

Kalau mahu hidup selamat
Harta si miskin jangan dilesap

Dr. Muhammad b Salleh

Saturday, February 21, 2015

Penyakit tuduh menuduh


(Membela nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam)

Senang sekali kau tuduh orang lain Wahhabi
padahal dirimu sendiri pun belum benar-benar sunni

Bila ada orang yang ingin hapuskan bidaah
kau kata mereka berselindung sebagai ahli sunnah

Muncul insan yang hendak membersihkan Islam
mereka pula yang kau tuduh macam-macam

Kau terlalu marah ketika peribadi nabi dicerca
tapi kau bantah ketika ada yang mahu ikut ajarannya

Senang sekali kau tuduh orang itu ini
tapi tak pernah pula kau selidiki dengan teliti

Kau memang bercita-cita untuk masuk syurga
tapi akal pikiranmu tidak pernah kau buka

Pesuruh Allah yang ketika mauled kau dengar sirahnya
tidak pernah baginda menuduh orang sesedap rasa

Rupanya dalam dirimu ada penyakit tuduh-tuduh
yang nampaknya payah sekali mahu sembuh

Aku bukan berniat untuk membela sesiapa
tapi aku terlalu cintakan Muhammad kekasihNya.

Aku tahu, aku juga bakal kau tuduh yang bukan
kuserahkan pada Allah jua yang akan menentukan.

Salman Sulaiman
Teratak Seni Machang
5 Apr 200
Majalah i
Bil.59 Sep 2007

Friday, September 26, 2014

Gurindam Mengidam Kuasa

Kalau benar mengidam kuasa
hendaklah wajar tingkah dan cara.

Kalau kuasa hendak digenggam
kebaikan orang jangan dihentam.

Kalau kuasa hati berkenan
jasa orang dinafi jangan.

Kalau kuasa hendak diraih
amalkan budaya berterima kasih.

Impian berkuasa lekat di hati
hapuskan segala hasad dan dengki.

Kalau kuasa pilihan yang syumul
ikutlah cara yang paling betul.

Kalau kuasa mahu diburu
hindari prasangka jauhi cemburu.

Kalau kuasa impian utama
belajarlah sentiasa hidup bersama.

Kalau kuasa ingin dirampas
jangan berasa hendak menindas.

Kalau kuasa mahu diperjuang
baiklah sentiasa menolong orang.

Kalau kuasa dimahukan sungguh
buangkan sombong lemparkan ego.

Kehebatan kuasa ingin dilakar
aib orang jangan diselongkar.

Keinginan berkuasa sekiranya hadir
jangan suka mempersenda menyindir.

Kalau kuasa menjadi keutamaan
tingkatkan takwa kukuhkan iman.

Kalau kuasa diimpi dicita
jauhi matlamat menghalalkan cara.

MOHD KASIM MAHMUD
PPJ Kota Tinggi.
21 Februari 2008

Tuesday, August 19, 2014

Gurindam kebenaran

Kalau kebenaran cuba disembunyi
Lambat-laun cerita berbunyi

Kalau kebenaran cuba disangkal
Akhirnya terbukti ceteknya akal

Kalau kebenaran cuba disanggah
Sesama sendiri sudahnya bercanggah

Kalau kebenaran cuba dipalsu
Nescaya peragu tak akan membisu

Kalau kebenaran cuba dinafi
Banyak tanggapan akan dihadapi

Kalau kebenaran cuba dibohongi
Tersingkap peribadi takkan disenangi

Kalau kebenaran cuba dicemari
Akhirnya mengaibkan diri sendiri

Kalau kebenaran cuba dibunuh
Kering terus kepercayaan yang penuh.

Nazim Subari
Mersing Johor
Mingguan Malaysia
17 Ogos 2014

Friday, May 30, 2014

Lautan kasih berpantai sayang

Wajah ceria senyuman mesra
Semoga bahagia sihat sehahtera.

Sopan santun berbudi bahasa
Aman tenteram hidup selesa.

Bisikan hati cetusan suara
Senang bergaul mudah bicara.

Hajat diluah niat dicurah
Sama pasrah kita berserah.

Seribu harapan sejuta impian
Lenyap kerinduan hilang kesepian.

Indah dipandang cantik dilihat
Fizikal cergas badan sihat.

Ucapan salam terima kasih
Semurni hati suci bersih.

Cinta bersemi kasih bertaut
Sebelum ajal berpantang maut.

Kekal di hati teguh di sanubari
Jadi kenangan sepanjang hari.

Di sini menunggu di sana menanti
Tabah sabar seikhlas hati.

Seuntai kasih sejambak budi
Cantik menawan elok peribadi.

Selayang sayang semulia peribadi
Buat tatapan kenangan abadi.

Lautan kasih berpantai saying
Malam termimpi siang terbayang.

Tangan dihulur jari digenggam
Sungguh mesra bagai digam.

Mencuit hati tersenyum ketawa
Tidak hampa pantang kecewa.

Bertentang mata berpandang muka
Jelingan manja seronok suka.

Dijunjung langit dipijak bumi
Sayang tersemai kasih bersemi.

Budi diingat jasa dikenang
Air mata kasih jatuh berlinang.

Bersyukur selalu dan tawakal
Tekun berusaha gigih cekal.

Muda berlalu tua mendekat
Ke alam barzakh semakin dekat.

Usah berhasad jangan berdengki
Sesama kita mencari rezeki.
 
Lidah menyebut mulut berkata
Mohon ampun maaf dipinta.

Manusia kedil insan biasa
Tidak terelak noda dan dosa.

Tolong menolong bantu membantu
Berganding bahu hidup bersatu.

Sanggup berkongsi rela berkorban
Amalan mulia bukannya beban.

Sedia menyumbang sudi menderma
Hidup bermuafakat bekerjasama.

Amanah jujur tulus ikhlas
Menaruh simpati berasa belas.

Elakkan kontroversi tingkatkan prestasi
Sentiasa bermotivasi dan visi.

Hadapi cabaran tempuhi dugaan
Segala pujian sebagai penghargaan.

Bertawakal beramal sepanjang hayat
Mendapat berkat beroleh hidayat.

Wallahu alam.

Mohd Sidek bin Mohd Dollah
Lautan kasih berpantai sayang, 2010

Sunday, May 25, 2014

Senyum dan senyumlah

Jika menerima senyuman tawar
Cubalah cari ubat penawar.

Jika menerima senyuman sinis
Terasa tawar tidak manis.

Jika menerima senyuman geram
Jangan sampai iman karam.

Jika menerima senyuman kucing
Niat dihati hendak memancing.

Jika menerima senyuman berbunga
Jangan sampai mulut menganga.

Jika menerima senyuman kambing
Sindiran halus untuk membimbing.

Jika menerima senyuman harimau
Kata orang hari-hari mahu.

Jika menerima senyuman hampa
Rasa kecewa sukar dilupa.

Jika menerima senyuman kuda
Tersipu-sipu jangan mengada-ada.

Jika menerima senyuman singa
Jangan sampai terpinga-pinga.

Jika menerima senyuman serigala
Serangan datang pada bila-bila.

Jika menerima senyuman buaya
Itu tandanya mengundang bahaya.

Jika menerima senyuman sebelah
Ada rahsia tersirat helah.

Jika menerima senyuman mesra
Bertanya khabar seronok gembira.

Jika menerima senyuman kasih
Baik hati suci bersih.

Jika menerima senyuman sayang
Kasih bersemi dating melayang.

Jika menerima senyuman manja
Nama disebut sering dipuji dipuja.

Jika menerima senyuman simpati
Hulurkan bantuan seikhlas hati.

Jika menerima senyuman ikhlas
Budi disemai tak mengharap balas.

Senyuman simpul tanda gembira
Amalan mulia sihat sejahtera.

Senyuman manis indah mesra
Bisikan hati cetusan suara.

Senyuman itu sumber rezeki
Jutaan ringgit boleh dimiiki.

Senyuman separuh daripada iman
Hidup bahagia rukun aman.

Senyuman itu pemikat hati
Berbudi bahasa amat bererti.

Senyuman manis salam diberi
Haruman kasih wajah berseri.

Senyuman saying penyeri muka
Setulus hati seronok suka.

Senyuman diukir semanis madu
Apabila berpisah terasa rindu.

Cantiknya kain kerana sulaman
Manisnya wajah kerana senyuman.

Wajah ceria senyuman mesra
Semoga bahagia sihat sejahtera.

Wallahu alam.

Mohd Sidek bin Mohd Dollah
Lautan kasih berpantai sayang, 2010

Saturday, May 24, 2014

Kalau kita hendak


Kalau kita hendak maju
Ada matlamat arah dituju.

Kalau kita hendak berjaya
Mesti berusaha sedaya upaya.

Kalau kita hendak pandai
Jangan jadi macam keldai.

Kalau kita hendak cerdik
Tekun belajar rajin sedikit.

Kalau kita hendak sihat
Perlu bersenam kurang rehat.

Kalau kita hendak mencuba
Jangan kisah rugi dan laba.

Kalau kita hendak senang
Hati baik fikiran tenang.

Kalau kita hendak ceria
Senyum selalu jaga deria.

Kalau kita hendak kaya
Bekerja keras usah berfoya-foya.

Kalau kita hendak marah
Kawal diri jangan naik darah.

Kalau kita hendak berkawan
Jujur setia jangan jadi lawan.

Kalau kita hendak cantik
Bersolek berdandan alis lentik.

Kalau kita hendak tampan
Pakaian kemas lagak sopan.

Kalau kita hendak selamat
Waspada beringat jimat cermat.

Kalau kita hendak membantu
Tangan dihulur pohonlah restu.

Kalau kita hendak bekerja
Mesti rajin sebagai pekerja.

Kalau kita hendak ponteng
Bos tegur jangan melenting.

Kalau kita hendak cuti
Jika terlebih potong gaji nanti.

Kalau kita hendak cuti sakit
Betul sakit bukan sakit sedikit.

Kalau kita hendak mengumpat
Pahala tiada dosa yang dapat.

Kalau kita hendak mengata
Memang mudah mereka cerita.

Kalau kita hendak makan
Jangan sampai kenyang sakan.

Kalau kita hendak susah
Sendiri tanggung orang tak kisah.

Kalau kita hendak bercakap
Biar betul bukti lengkap.

Kalau kita hendak menderma
Tulus ikhlas rela bekerjasama.

Kalau kita hendak beriman
Bersihkan hati bahagia aman.

Kalau kita hendak sesuatu
Bijak bertindak betulkan nawaitu.

Kalau kita hendak solat
Segera tunaikan jangan terkulat-kulat.

Kalau kita hendak taubat
Amat elok sebelum terlambat.

Kalau kita hendak cemerlang
Jangan suka curi tulang.

Kalau kita hendak mahir
Rajin berlatih bakat dizahir.

Wallahu alam.

Mohd Sidek bin Mohd Dollah
Lautan kasih berpantai sayang, 2010

Friday, May 16, 2014

Kematian satu kepastian

Kelmarin semalam baru berjumpa
Bergurau senda bertegur sapa.

Tetapi kini sudah tiada
Terasa sebak urutlah dada.

Cuba bertanya puncanya mati
Sekadar mendengar rasa simpati.

Cerita biasa kisah mati
Sampai waktu tak perlu dinanti.

Hidup memang lawannya mati
Sampai ketika sudahlah pasti.

Ajal maut di tangan Tuhan
Walau sesaat tidak tertahan.

Malaikat Izrail mengambil nyawa
Sanak saudara berasa kecewa.

Wahai manusia hendaklah sabar
Suratan takdir memberi khabar.

Apabila roh dijemput pergi
Jasad terbujur tak bernyawa lagi.

Kepada Allah kita berserah
Pujuklah hati supaya pasrah.

Kematian dalam pelbagai cara
Menerima berita hati bergelora.

Semalam nampak rancak berborak
Hari ini jenazah sedih diarak.

Jangan diratap jenazah dikapan
Jangan ditangisi kurang sopan.

Kematian adalah perkara biasa
Namun ada jiwa yang terseksa.

Terutama kepada insan tersayang
Disebut nama wajah terbayang.

Sesungguhnya hidup pasti mati
Yang hilang tidak akan berganti.

Yang pergi takkan kembali
Yang ditanam takkan digali.

Jangan menangis usah berduka
Tabahkan hati walaupun terluka.

Ajal maut sudah tersurat
Sudah tercatat tanpa syarat.
 
Tua muda pasti mati
Semoga rohnya Allah berkati.

Jangan bimbang pada kematian
Nyawa dijemput satu kepastian.

Berita sedih enggan diterima
Sayu pilu ditanggung bersama.

Berita kematian segera terhebah
Yang tinggal pula hendaklah tabah.

Harimau mati meninggalkan belang
Manusia mati namanya dijulang.

Wallahu alam.

Mohd Sidek bin Mohd Dollah
Lautan kasih berpantai sayang, 2010

Wednesday, May 14, 2014

Gurindam pelajar

Jika anda jadi pelajar
Jangan malas hendak belajar.
 
Jika anda menuntut ilmu
Jangan sekali berasa jemu.

Jika rajin mengulang kaji
Mudah jawab apa diuji.

Jika anda henda berlatih
Mesti tahan penat letih.

Jangan asyik berangan-angan
Tekun gigih jadi pegangan

Jika berusaha sambil lewa
Tidak hairan kalau kecewa.

Jika belajar tidak jemu
Banyak ilmu akan ditemu

Apa gunanya banyak bercakap
Jika kerja tidak cekap.

Jika suka ponteng sekolah
Ilmu tidak dapat tentu rugilah.

Berusaha dengan bersungguh-sungguh
Jangan suka tangguh-tangguh.

Jika tak mahu dengar nasihat
Apabila besar jadi jahat

Jika tulisan terang dan bersih
Hati pemeriksa saying dan kasih.

Banyak membaca fikiran kaya
Rajin berusaha pasti berjaya.

Jika tulisan tak boleh dibaca
Mata pemeriksa akan berkaca.

Masa itu emas dan wang
Walaupun sedikit jangan dibuang.

Jangan nanti esok lusa
Masa beredar tanpa dirasa.

Jika leka sering bersuka
Tidak hairan datang celaka.

Jika rajin membaca buku
Otak cergas tidak beku.

Jangan mudah putus asa
Semua harapan hancur binasa.

Jika anda berkerja kuat
Banyak perkara boleh dibuat.

Budi bahasa amat berharga
Tingkah laku wajib dijaga.

Sudah tahu belajar lagi
Banyak untuk tiada rugi.

Wallahu alam.

Mohd Sidek b Mohd Dollah
Gurindam jiwa mengusik hati,2012

Saturday, May 10, 2014

Siapalah guru

Guru ibarat sang mentari
Hilang dicari hadirnya ceria jati diri.

Guru ibarat lampu elektrik
Mengajar mendidik tanpa serik.

Guru ibarat segores cahaya
Memberi sinar hidup berjaya.

Guru ibarat setitik peluh mencium bumi
Bakti dicurah sewajarnya dikagumi.

Guru ibarat emas berlian
Nama harum jadi pujian.

Guru ibarat sesudu gula
Kemanisannya diingati sampai bila-bila.

Guru ibarat setitik air di lautan
Sabar gigih membina kekuatan.

Guru ibarat sang bulan
Tempat merujuk menjadi taulan.

Guru ibarat intan permata
Sinarnya terselah merata-rata.

Guru ibarat lilin membakar diri
Terkorban cair tanpa disedari.

Guru ibarat sebutir bintang berkelipan
Tegur nasihatnya demi masa hadapan.

Guru ibarat ibu bapa
Sayang sekali pengorbanannya sering dilupa.

Guru ibarat tongkat si buta
Beban berat masih dinista.

Guru ibarat sebuah pelita
Cahayanya samar sering dicaci dikata.

Guru ibarat duri berbisa
Pelajar berasa tidak selesa.

Guru ibarat panglima perang
Kehandalannya menjadi tunggak menyerang.

Guru ibarat sebutir garam
Kemasinannya penawar kehidupan suram.

Guru ibarat raja, pelajar umpama rakyat
Mencorak kata, menyimpul frasa, terbina ayat.

Wallahu alam.

Mohd Sidek b Mohd Dollah
Gurindam jiwa mengusik hati,2012

Friday, May 9, 2014

Guru sejati

Guru sejati muhasabah diri
Bijak bertindak dan berdikari.

Guru sejati senyum mesra
Sentiasa menggunakan budi bicara.

Senyuman dipapar menawan hati
Tutur katanya penuh bererti.

Guru sejati tekun bekerja
Ada wawasan semangat waja.

Guru sejati guru berkualiti
Gigih mengajar sepenuh hati.

Guru sejati berhati murni
Sihat sejahtera hidup harmoni.

Tidak mudah berkata tidak
Sentiasa berusaha terus bertindak.

Jika menghadapi sebarang masalah
Guru sejati tak pernah mengalah.

Rela berkorban apa sahaja
Kurang bercakap banyak bekerja.

Guru sejati baik hati
Berasa belas menaruh simpati.

Guru sejati bijak berbicara
Hidup berbakti jadilah juara.

Guru sejati umpama lebah
Menebar ilmu sabar tabah.

Guru sejati bergelar pendidik
Pelajar diasuh bijak cerdik.
 
Membina, membentuk insan berakhlak
Gigih membimbing tak pernah jelak.

Semoga berjaya di dunia di akhirati insan
Kedua-duanya penting diambil berat.

Guru sejati jujur dan ikhlas
Bakti disemai tak minta dibalas.

Tegur nasihat untuk kebaikan
Mengasuh, mendidik demi kebajikan.

Marahnya sayang bencinya kasih
Mulutnya manis hatinya bersih.

Guru sejati utamakan kecemerlangan
Pelajar bergaya kea rah kegemilangan.

Guru sejati sentiasa proaktif
Tenang tenteram berfikiran positif.

Guru sejati memanusiakan manusia
Demi keamanan bukan sia-sia.

Guru sejati guru bestari
Hidup bermotivasi jati diri.

Guru sejati berbudi bahasa
Berkhidmat demi nusa dan bangsa.

Wallahu alam.

Mohd Sidek b Mohd Dollah
Gurindam jiwa mengusik hati,2012

Saturday, March 22, 2014

Kritik diri sendiri

Berani mengkritik diri sendiri
Hidup bermotivasi muhasabah diri.

Jangan jadi bangau oh bangau
Tidak sedar mulut masuk langau.

Gemar menuduh orang luar
Insaflah diri bukan main-main.

Kuman di seberang lautan nampak
Mengata orang diri yang melepak.

Gajah di depan mata tidak Nampak
Jalan terus hingga tersepak.

Betulkan segera segala kesilapan
Biar bersinar daripada kegelapan.

Cuba atasi segala kelemahan
Biar terhindar daripada tohmahan.

Cuba tangani segala kekurangan
Pertahankan diri daripada serangan.

Cuba baiki segala kesalahan
Biar muafakat daripada perbalahan.

Kritiklah diri untuk membina
Bukan mengutuk atau menghina.

Ada kelebihan ada kekurangan
Yang penting ke arah kecemerlangan.
 
Biar sendiri yang mengata
Daripada orang yang bercerita.

Cermin diri keunggulan peribadi
Sopan santun beramal berbudi.

Jika tersilap mengaku salah
Minta maaf biar beralah.

Tidak riak angkuh bangga
Orang lain pasti rasa lega.

Biar kita merendah diri
Orang lain tidak akan lari.

Jangan asyik bercerita diri sendiri
Orang dengar benci pandang kiri.

Jangan cepat kecil hati
Tegur nasihat tanda simpati.

Jangan melatah jangan marah
Senyum sahaja jangan naik darah.

Jangan pentingkan diri sendiri
Kurangkan minta banyakkan beri.

Biar ikut resmi padi
Semakin bertakwa terus berbudi.

Biar ikut resmi sena
Semakin rendang semakin berguna.

Biar kita menyesal dahulu
Jangan dikesal perkara berlalu.

Jangan sampai menyesal kemudian
Terbakar diri bagaikan dian.

Orang marah tandanya sayang
Sabar tabah jangan lupa sembahyang.

Jangan sampai lemah semangat
Dugaan hidup hendaklah beringat.

Kawal diri jagalah perasaan
Jangan megah dengan kekuasaan.

Hendaklah bersyukur dan bertakwa
Suratan takdir jangan kecewa.

Rela mengkritik diri sendiri
Teguhkan azam hidup berdikari.

Jangan bimbang apabila dikritik
Hendaklah tenang setiap detik.

Wallahu alam.

Mohd Sidek bin Mohd Dollah
Lautan kasih berpantai sayang, 2010

Sunday, March 16, 2014

Jalan-jalan


Jalan-jalan cari rezeki
Selagi usia masih berbaki.

Jalan-jalan cari rezeki
Gerakkan tangan langkahkan kaki.

Jalan-jalan cari peluang
Ada masa jangan dibuang.

Jalan-jalan cari makan
Jangan lupa sayur dan ikan.
 
Jalan-jalan cari duit
Hendaklah sabar walaupun menguit.

Jalan-jalan cari wang
Tetapkan fikiran jangan merewang.

Jalan-jalan cari ilmu
Banyak pengetahuan akan ditemu.

Jalan-jalan cari ilham
Hidayah Tuhan mudah faham.

Jalan-jalan cari inspirasi
Pengalaman hidup sumber motivasi.

Jalan-jalan cari kawan
Jangan sampai jadi lawan.

Jalan-jalan cari buku
Rajin membaca hendaklah teku.

Jalan-jalan cari majalah
Jangan cuba cari masalah.

Jalan-jalan cari suratkhabar
Jumpa kawan bertanya khabar.

Jalan-jalan sambil bersenaman
Wajah ceria murahkan senyuman.

Jalan-jalan tepi pantai
Bermain ombak sambil bersantai.

Jalan-jalan tepi tasik
Bergurau senda usik-mengusik.

Jalan-jalan ke perpustakaan
Buat rujukan tanpa kelekaan,

Jalan-jalan makan angin
Ada wang ke mana sahaja teringin.

Jalan-jalan cari pengalaman
Jadi kenangan sepanjang zaman.

Jalan-jalan lihat pemandangan
Beroleh ketenangan luas pandangan.

Jalan-jalan tengok orang
Ada yang lebih ada yang kurang.

Jalan-jalan tengok sekitar
Carei pengalaman jangan gentar.

Jalan-jalan cari peluh
Badan sihat jangan mengeluh.

Jalan-jalan tengok pokok
Lebih baik daripada merokok.

Jalan-jalan tengok burung
Jika di rumah asyik berkurung.

Jalan-jalan cari buah
Ada harga diri jaga maruah.

Jalan-jalan tengok bunga
Jangan sampai tersanga-sanga.

Jalan-jalan cari tandas
Awas terutama makanan pedas.

Jalan-jalan balik kampung
Bawa buah tangan jangan lopong.

Jalan-jalan keliling bandar
Pembangunan pesat tanpa sedar.

Jalan-jalan keliling taman
Suasana tenteram udara nyaman.

Jalan-jalan cari jalan
Jangan sampai sesat jalan.

Wallahu alam.

Mohd Sidek bin Mohd Dollah
Lautan kasih berpantai sayang, 2010