Saturday, March 22, 2014

Kritik diri sendiri

Berani mengkritik diri sendiri
Hidup bermotivasi muhasabah diri.

Jangan jadi bangau oh bangau
Tidak sedar mulut masuk langau.

Gemar menuduh orang luar
Insaflah diri bukan main-main.

Kuman di seberang lautan nampak
Mengata orang diri yang melepak.

Gajah di depan mata tidak Nampak
Jalan terus hingga tersepak.

Betulkan segera segala kesilapan
Biar bersinar daripada kegelapan.

Cuba atasi segala kelemahan
Biar terhindar daripada tohmahan.

Cuba tangani segala kekurangan
Pertahankan diri daripada serangan.

Cuba baiki segala kesalahan
Biar muafakat daripada perbalahan.

Kritiklah diri untuk membina
Bukan mengutuk atau menghina.

Ada kelebihan ada kekurangan
Yang penting ke arah kecemerlangan.
 
Biar sendiri yang mengata
Daripada orang yang bercerita.

Cermin diri keunggulan peribadi
Sopan santun beramal berbudi.

Jika tersilap mengaku salah
Minta maaf biar beralah.

Tidak riak angkuh bangga
Orang lain pasti rasa lega.

Biar kita merendah diri
Orang lain tidak akan lari.

Jangan asyik bercerita diri sendiri
Orang dengar benci pandang kiri.

Jangan cepat kecil hati
Tegur nasihat tanda simpati.

Jangan melatah jangan marah
Senyum sahaja jangan naik darah.

Jangan pentingkan diri sendiri
Kurangkan minta banyakkan beri.

Biar ikut resmi padi
Semakin bertakwa terus berbudi.

Biar ikut resmi sena
Semakin rendang semakin berguna.

Biar kita menyesal dahulu
Jangan dikesal perkara berlalu.

Jangan sampai menyesal kemudian
Terbakar diri bagaikan dian.

Orang marah tandanya sayang
Sabar tabah jangan lupa sembahyang.

Jangan sampai lemah semangat
Dugaan hidup hendaklah beringat.

Kawal diri jagalah perasaan
Jangan megah dengan kekuasaan.

Hendaklah bersyukur dan bertakwa
Suratan takdir jangan kecewa.

Rela mengkritik diri sendiri
Teguhkan azam hidup berdikari.

Jangan bimbang apabila dikritik
Hendaklah tenang setiap detik.

Wallahu alam.

Mohd Sidek bin Mohd Dollah
Lautan kasih berpantai sayang, 2010

No comments:

Post a Comment