Thursday, March 6, 2014

Dari Akar hingga Buahnya ( 2 )

Integriti bagaikan pokok yang berdiri teguh di hutan. Akarnya dalam, menunjangi yakni menyokong batang pokok yang besar lagi tinggi yang mempunyai rimbunan dedaun menghijau sebagai mahkotanya. Ia berbunga bersama buah-buahan yang merimbun, dengan warna cantik berkilat, ranum dan sedia menaburkan biji benihnya. Unggas dan haiwan lain mencari tempat bertenggek yang selesa di dahannya yang selamat.

Di kaki langit, sang pohon bertarung dengan sang ribut yang sembrono. Sang angin mencabarnya, tetapi menghilang sekelip mata, putus asa sebab bertembung dengan keutuhan dan ketinggian sang pohon. Pokok itu kekal berdiri, seraya matahari terbenam ke bumi. Malam dan siang silih berganti, tiada apa dapat menewaskan pokok ini.

Insan yang berintegriti berdiri teguh umpama pokok ini. Bertunjangkan nilai-nilai murni, insan ini tidak akan tunduk kepada desakan dunia. Sifat-sifat yang dipupuk dengan prinsip-prinsip mulia, dan keyakinan untuk melakukan perkara yang betul menjadikan mereka stabil dan selamat dalam apa jua keadaan sukar yang datang melanda. Mereka menghasilkan buah terbaik dalam semua aspek kehidupan mereka. Mereka mempengaruhi keluarga, komuniti dan masyarakat dengan tindakan-tindakan berteladan. Buah yang baik menyebarkan benih intergriti, maka bertunaslah pucuk-pucuk baru yang serupa sifatnya.

Wallahu alam.

Institut Integriti Malaysia
Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment