Monday, March 4, 2013

Syair di hati seorang bapa


Pada suatu ketika datang seorang lelaki kepada rasulullah saw, mengadu tentang bapanya yang telah mencuri hartanya. Pergilah, dan bawalah bersama bapamu ke mari, kata rasulullah sw. Di saat lelaki itu pergi, malaikat Jibrail datang menemui  rasulullah dan berkata: Wahai Muhammad, Tuhanmu mengucapkan salam kepadamu dan berfirman : Jika bapa pemuda itu tadi tiba maka tanyakanlah kepadanya apa yang telah diucapkan di dalam hatinya yang tidak terdengar oleh kedua-dua telinganya.

Setelah berkata demikian malaikat Jibrail pun berlalu pergi. Tidak lama kemudian , datanglah lelaki tadi bersama bapanya. Kemudian rasulullah saw bertanya kepada bapa lelaki yang mengadukan tadi. Mengapa anakmu mengadu bahawa engkau mencuri hartanya?, lalu dijawab oleh bapa lelaki tersebut.

Ya rasulullah, tanyakanlah kepadanya, harta itu aku dermakan kepada siapa. Harta itu aku dermakan kepada seorang bibinya atau untuk diriku sendiri?. Biarkanlah aku untuk tidak membahas mengenai perkara ini, tetapi ceritakanlah kepadaku apa yang kau ucapkan dalam hatimu yang tidak didengari oleh kedua-dua telingamu?, tanya rasulullah sebagaimana yang telah diajarkan oleh malaikat Jibrail.

Demi Allah wahai rasulullah, Allah semakin membuatkan aku yakin kepadamu. Aku memang telah mengucapkan sesuatu dalam hatiku yang tidak didengari oleh kedua-dua telingaku, jawabnya.

Sampaikanlah, aku akan mendengarnya, jawab rasulullah. Tanpa diduga, bapa lelaki tersebut terus membacakan sebuah syair yang ditujukan khas kepada anaknya:

Ketika engkau lahir aku memberikanmu makan
hingga engkau tumbuh besar
Aku selalu menjagamu
engkau diberi minum daripada jerih payahku

Jika malam hari engkau ditimpa sakit
Maka sepanjang  malam aku tidak tidur
berjaga memikirkan penyakitmu
hingga tubuhku tidak bermaya kerana mengantuk.

Seakan-akan aku yang sakit, bukan kau
air mataku pun mengalir deras
dan jiwaku  bimbang kau akan mati
padahal Dia tahu, bahawa ajal akan tiba sesuai masanya

Saat engkau mencapai usia dewasa
saat di mana aku mengharapkan dirimu
kau balas diriku dengan kekejaman dan kekerasan

Seakan-akan engkau pemberi nikmat dan dermawan
andai saja ketika tidak dapat kau penuhi hakku
sebagai ayah
kau perlakukan aku sebagai tetangga
yang hidup berdampingan.

Mendengarkan syair yang dibacakan bapa lelaki tersebut, rasulullah pun menitiskan air mata dan berkata kepada anak tersebut : Dirimu dan hartamu adalah milik ayahmu.

Mendengar kata-kata rasulullah, lelaki itu terus tertunduk malu dan berasa kesal dengan perbuatannya. Lelaki itu akhirnya mengerti betapa besar curahan kasih sayang bapanya terhadap dirinya. Lantas diikhlaskan segala hartanya yang diambil oleh bapanya.

Wallaahu a’lam.

Majalah Iman
Bil 9 2012

No comments:

Post a Comment