Ketinggian ilmu
ulama Syria Sheikh Said Ramadhan
TUTUR kata dan keperibadian Sheikh Said Ramadhan dikagumi ramai ulama.
"TIDAK tinggal lagi umur bagi aku melainkan beberapa hari yang boleh
dikira. Sesungguhnya aku mencium bau syurga dari belakangnya. Jangan lupa wahai
saudaraku untuk mendoakan aku."
Itu pesanan terakhir Sheikh Muhammad Said Ramadhan Al-Bouti, 84, kepada
ulama terkenal Yemen, Habib Ali al-Jufri yang menghubungi beliau melalui
telefon kira-kira dua minggu sebelum kematiannya akibat serangan nekad pengebom
berani mati.
Kejadian itu berlaku sewaktu beliau sedang mengajar anak-anak muridnya di
Masjid Eman yang terletak di Damsyik, Syria pada 22 Mac lalu. Serangan tersebut
mengakibatkan 42 jemaah terbunuh termasuk beliau.
Ternyata benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Hendaklah kamu
takuti firasat orang mukmin kerana dia melihat dengan pandangan Allah."
Keadaan ini menunjukkan seolah-olah Sheikh Said Ramadhan sudah mengetahui
ajalnya akan tiba yang semua itu merupakan kurniaan Allah kepada hamba
pilihan-Nya.
Apa yang pasti, pemergian Syeikh Said Ramadhan pada malam Jumaat yang mulia
dalam keadaan al-Quran didakap di dadanya, ditangisi jutaan umat Islam di
seluruh dunia termasuk Malaysia.
Reda terima berita
Bagi Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 44, anak murid kepada Sheikh Said
Ramadhan ketika menuntut di Universiti Ulum Islamiyyah di Syria sekitar tahun
1994 hingga 1997, walaupun sedih namun beliau menerima takdir itu dengan reda.
"Secara peribadi saya terkejut mendengar berita pemergian guru kami
dalam tragedi tersebut. Tetapi, saya reda. Sheikh meninggal dalam keadaan
sangat mulia kerana menegakkan agama Allah iaitu ketika mengajar di masjid.
"Antara keistimewaan Sheikh Said Ramadhan ialah beliau seorang mufaqih
Islam. Setiap tutur kata dan pengaruhnya dikagumi dan diambil prihatin oleh
ramai ulama dunia Islam. Beliau juga merupakan syeikh mazhab Syafie terkemuka
pada tahun 1960-an hingga 1970-an," ujar Zulkifli yang merupakan seorang
pendakwah bebas di Malaysia ketika dihubungi Kosmo!.
KETINGGIAN ilmunya membuatkan Sheikh Said Ramadhan sering diundang untuk
menyampaikan syarahan di seluruh dunia.
Tambah Zulkifli, beliau pernah bertanya pada anak Sheikh Said Ramadhan, Dr.
Tawfik Ramadhan berkenaan ayahnya. Ia lantas dibalas dengan kata-kata: "Di
rumah kami ada sebuah bilik khas yang aku tidak pernah melihat ayahku kecuali
dalam tiga keadaan iaitu membaca, menulis dan bersolat (berzikir)."
Ketika di Syria, Zulkifli turut berkesempatan berguru dengan beberapa ulama
selain Sheikh Said Ramadhan iaitu Sheikh Dr. Wahbah Zuhayli, Sheikh Abdul Latif
Marfour dan Sheikh Abdul Rahman Habbannakah. Menurut beliau, guru-gurunya di
Syria terbahagi kepada beberapa kelompok.
"Ada antara mereka bersama kerajaan, menentang kerajaan atau memilih
untuk berdiam diri. Bagi saya, pendirian Sheikh Said Ramadhan terhadap isu di
Syria wajar dihormati kerana beliau lebih memahami keadaan semasa di sana.
"Ia berbeza dengan Mesir. Apa pun, Sheikh Said Ramadhan di akhir hayatnya
bersama dengan perjuangan rakyat," tegas Zulkifli sambil berharap umat
Islam akan berpegang teguh pada pesanan terakhir Sheikh yang meminta mereka
bersatu atas kalimah Lailahaillah Muhammadurrasulullah.
Gelaran profesor
Dilahirkan pada tahun 1929 di sebuah perkampungan Ayn Dewar di utara Syria,
Sheikh Said Ramadhan merupakan ulama Ahlus Sunah Wal Jamaah (ASWJ) yang
bermazhab Syafie terkemuka di negara tersebut.
Beliau berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Syariah Islamiah di
Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1955. Sekitar tahun 1960-an, Sheikh Said
Ramadhan pernah menjadi tenaga pengajar sebelum dilantik sebagai Dekan di
Fakulti Syariah, Universiti Damascus, Syria.
Beliau kemudian melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD)
dalam jurusan Undang-Undang Islam juga di Universiti Al-Azhar.
Semasa hayatnya, beliau masih bergelar profesor di Universiti Damascus dan
bergiat aktif dalam persidangan serta seminar di peringkat antarabangsa. Beliau
juga telah menulis tidak kurang daripada 40 buah buku dalam pelbagai bidang
termasuk kesusasteraan, falsafah, sosiologi dan keagamaan.
Ketinggian ilmunya terserlah dalam kuliah-kuliah dan ceramah yang
disampaikan di serata Syria. Sebagai seorang ahli akademik, beliau juga
menganggotai Majlis Tertinggi Akademi Oxford, England dan penyelidik di Royal
Society of the Islamic Civilisation yang berpusat di Amman, Jordan. Antara buku
beliau yang terkenal adalah kitab Fiqh Sirah yang menjadi rujukan umat Islam di
seluruh dunia.
Sementara itu, pelajar jurusan Ijazah Takhassus Qiraat Shoubra di Maahad
Qiraat Al-Azhar, Mesir, Haniff Abu Talib, 24, turut melahirkan rasa sedih di
atas pemergian Syeikh Said Ramadhan.
"Kita membesar dengan kitab Fiqh Sirahnya. Takziah kepada seluruh umat
Islam kerana kehilangan sebuah permata ummah. Beliau merupakan ulama yang telah
mengarang banyak kitab dan kebanyakannya menjadi rujukan utama umat
Islam," ungkap Haniff yang turut dipaparkan pada laman sosial Facebook
miliknya.
Menurut Haniff, ulama bukanlah maksum dan mereka mempunyai ijtihad sendiri.
Tetapi, inilah yang menyebabkan fitnah ke atas Sheikh Said Ramadhan apabila
beliau membela rejim Bashar al-Assad.
Kunjungan ke
Malaysia
"Ia berlaku lantaran kejahilan golongan awam terhadap ijtihad
seseorang ulama. Apa pun, ingatlah jasa beliau yang telah meninggalkan banyak
ilmunya pada kita," luah anak muda kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan
ini.
Pada tahun 2010, Sheikh Said Ramadhan pernah berkunjung ke Malaysia melalui
inisiatif yang dianjurkan oleh Persatuan Ulama Malaysia (PUM). Sepanjang berada
di Malaysia, beliau sempat menghadiri pelbagai majlis ilmu dan memberi ceramah
yang diterjemahkan oleh Zulkifli.
Ini termasuklah mengadakan syarahan perdana di Masjid Sultan Salahuddin
Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, Wacana Ilmiah: Islamic & Extremism di
Institut Kajian Rantau Asia Barat (Ikrab), Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM), kuliah di Masjid Al-Azhar Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan
program Aplikasi Fiqh Sirah dalam Realiti Semasa di Institut Kefahaman Islam
Malaysia (IKIM).
Dalam pada itu, salah seorang ulama Syria, Sheikh Muhammad Abul Huda
al-Yaqoubi berkata, Allah telah mengurniakan pengakhiran hayatnya dengan
kebaikan dan kemuliaan syahid.
"Sesungguhnya pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat umat
Islam seluruhnya. Beliau merupakan seorang mujaddid dalam pemikiran dan akidah.
Beliau adalah seorang alim rabbani yang berjuang membela Islam dan ASWJ
berdekad lamanya di mimbar Damsyik dan kuliah syariah," jelas Sheikh
Muhammad Abul Huda.
Beberapa hari sebelum dijemput pulang menghadap Ilahi, Sheikh Said Ramadhan
juga pernah berkata: "Setiap apa yang berlaku padaku atau yang menuduhku
daripada ijtihadku, maka aku harap ia tidak terlepas daripada ganjaran ijtihad
(yang betul mendapat dua ganjaran dan yang tidak mendapat satu ganjaran)."
Jenazah beliau telah disembahyangkan oleh ribuan pengikutnya dan
dikebumikan di sebelah makam Salahuddin al-Ayubi yang terletak berdekatan
dengan Masjid Ummaiyyah di Damsyik, Syria.
Wallaahu a’lam.
Kosmo! Online .
27 Mac 2013
No comments:
Post a Comment