Tuesday, March 12, 2013

Puisi Permata Budi (24)


Alpa dan terduga

Sering kali kita alpa dan terduga
bencana yang menerjah
getir yang merentap
ketika langiti-langit tidak menurunkan mutiara
sungai tidak mengalir dari rimba
tasik dan kolam turut kering
kita terpenjara oleh duka
angin resah yang menerpa.

Sebenarnya segala yang berlaku
mengenalkan kita erti kesabaran
mendidik kita erti ketabahan
mematangkan kedewasaan berfikir
menjalin keakraban antara jiran
untuk memahirkan diri dari kesukaran.

Seharusnya kita bijak memintas resah
dan tangkas mematahkan gelisah
kerana yang menimpa sekadar ujian
bumi kita bukanlah dataran yang kontang
bumi kita bukanlah padang yang gersang
menukar rumput menjadi lalang
mengubah ladang menjadi kerikil tajam.

Semua warga harus memiliki
minda yang bestari
rohani yang jauhari
ketahanan yang sejati
bijak dan berhemat
cekal dan cermat
menatang air di bumi keramat.

Kita seharusnya berjiwa murni
halus menyusur jejak
lembut menapak bimbang
semoga kita tak terus alpa
menjadi penawar duka
ketika air tidak turun dari angkasa.

Ahmad Sarju
April 2005

No comments:

Post a Comment