STPM: Kebanyakan negeri catat keputusan baik
KUALA LUMPUR - Kebanyakan negeri
mencatatkan keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia
(STPM) 2012 yang diumumkan hari ini, dan ada di antara sekolah yang mencatatkan
pencapaian kelulusan 100 peratus.
Di KEDAH, sebanyak 11 sekolah
mencatatkan keputusan 100 peratus kelulusan dengan lima daripadanya adalah
sekolah kategori luar bandar manakala enam sekolah kategori bandar.
Pengarah Pelajaran negeri Mansor
Lat dalam kenyataannya berkata 22 daripada 4,214 calon memperoleh Purata Nilai
Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dengan dua daripadanya mencapai keputusan cemerlang
Gred A dalam lima mata pelajaran yang diambil.
Di KELANTAN, sebanyak 14 sekolah
mencatat keputusan 100 peratus kelulusan dengan empat pelajar dipilih sebagai
pelajar terbaik peringkat kebangsaan berbanding hanya seorang pada tahun 2011.
Pengarah Jabatan Pelajaran negeri
Hussain Awang berkata peratus kelulusan keseluruhan calon STPM pada 2012 ialah
95.12 peratus atau 5,399 calon berbanding 95.99 peratus atau 5,838 calon pada
tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, katanya jumlah
calon yang mendapat lima prinsipal berkurangan kepada 1,248 orang atau 24.53
peratus berbanding 1,310 orang atau 24.45 peratus pada 2011.
Di JOHOR, sebanyak 34 sekolah
mencapai 100 peratus kelulusan berbanding 30 sekolah pada 2011 dengan seramai
5,127 daripada 5,311 (96.54 peratus) calon lulus penuh atau sekurang-kurangnya
mendapat satu prinsipal.
Pengarah Jabatan Pelajaran negeri
Mohd Nor A. Ghani berkata sekolah yang mencapai peratus keputusan tertinggi di
peringkat empat dan lima prinsipal adalah
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Bandar Penawar, Kota Tinggi (90.91
peratus); SMK Jementah, Segamat (86.67 peratus); dan SMK (Perempuan) Sultan
Ibrahim, Johor Baharu
(79.49 peratus).
Peratusan calon yang memperoleh
PNGK 3.00 hingga 3.49 pada 2012 adalah seramai 983 orang (18.51 peratus)
berbanding 908 orang (19.06 peratus) pada 2011., katanya dan menurutnya 16
sekolah mengekalkan pencapaian 100 peratus lulus penuh.
Di TERENGGANU, keputusan STPM yang
diumumkan itu menyaksikan dua pelajar negeri tersebut terpilih sebagai beberapa
calon terbaik negara.
Timbalan Pengarah Jabatan
Pelajaran negeri Hashim Mohd Zin berkata seramai 2,861 orang calon (96.01
peratus) telah mencapai lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.
"Pencapaian ini adalah yang
terbaik berbanding dua tahun lalu dan yang lebih membanggakan setelah dua
pelajar kita terpilih buat pertama kali sebagai calon terbaik negara,"
katanya dalam sidang media.
Sementara di MELAKA, calon lulus
penuh STPM 2012 mencatatkan peningkatan sebanyak 1.17 peratus dengan jumlah
1,198 pelajar berbanding 1,151 pada 2011.
Pengarah Jabatan Pelajaran Melaka
Kasim Mohamad berkata daripada jumlah tersebut, seramai 644 calon berjaya
memperoleh empat prinsipal iaitu peningkatan 2.6 peratus berbanding tahun
sebelumnya.
"Dari segi kualiti, seramai
14 calon memperoleh PNGK 4.0 dan 425 calon memperoleh PNGK 3.0 dan ke
atas," katanya kepada pemberita.
Katanya secara keseluruhan,
keputusan STPM di negeri itu merupakan yang terbaik dalam tempoh lima tahun daripada segi
gred purata negeri (GNP) iaitu meningkat 0.05 mata kepada 2.5 berbanding 2.45
pada 2011.
Di PAHANG, pencapaian kelulusan penuh
keputusan STPM di negeri itu meningkat sebanyak 2.69 peratus iaitu 96.51
peratus berbanding 93.82 peratus tahun 2011.
Timbalan Pengarah Pelajaran
negeri Rosdi Ismail berkata, peratus pencapaian lulus daripada 2,435 pelajar
itu berjaya mengatasi pencapaian peringkat nasional bagi kelulusan penuh 94.44
peratus.
Bagi PNGK yang mendapat keputusan
tertinggi iaitu 4.0 turut meningkat daripada 11 calon pada 2011 kepada 30 calon
tahun lepas, katanya.
Katanya, prestasi keseluruhan sekolah
menunjukkan 20 buah sekolah daripada 49 buah sekolah berjaya mencapai prestasi
kelulusan penuh 100 peratus manakala 26 buah sekolah lagi berjaya mencapai
kelulusan penuh melebihi 90 peratus.
Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Pelajaran
negeri Kalsom Khalid berkata seramai 13 orang pelajar, tiga daripada jurusan
sains dan bakinya jurusan sastera memperoleh PNGK 4.00.
"Terdapat seramai 1,394
orang calon atau 94.9 peratus lulus
sekurang- kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal.
Daripada jumlah itu sebanyak 23
lulus 5 prinsipal, 679 lulus 4 prinsipal, 318 lulus 3 prinsipal, 215 lulus 2
prinsipal dan 159 lulus 1 prinsipal," katanya dalam kenyataan.
Di SARAWAK, seramai 5,216 orang atau
92.82 peratus calon sekolah layak mendapat sijil STPM 2012 berbanding 5,210
calon (90.96 peratus) pada 2011.
Seramai 6,017 calon telah
menduduki peperiksaan tersebut di Sarawak pada 2012 iaitu 5,668 orang atau
94.20 peratus merupakan calon sekolah menengah kebangsaan, sementara 349 orang
(5.80 peratus) adalah calon persendirian.
Namun begitu, di PULAU PINANG,
keputusan STPM menunjukkan penurunan sebanyak 0.04 peratus menjadikannya 2.53
peratus berbanding tahun 2011 iaitu 2.57 peratus.
Bagaimanapun, Pengarah Pelajaran
Negeri Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata Pulau Pinang mengatasi peratusan
kebangsaan sebanyak 1.71 peratus apabila peratusan calon yang layak mendapat
sijil STPM ialah 96.15 peratus berbanding peratusan kebangsaan (94.44 peratus).
Di PERAK, Pengarah Jabatan Pelajaran
negeri Muhamat Roli Hassan berkata pencapaian lulus penuh 100 peratus
menunjukkan penurunan sebanyak 0.80 peratus berbanding pada tahun 2011 iaitu
95.81 peratus.
"Sebanyak 4,376 calon
daripada jumlah keseluruhan 4,606 merekodkan kelulusan penuh. Daripada jumlah
itu sebanyak 188 calon lulus lima
prinsipal serta 2,152 lulus empat prinsipal," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata sebanyak 51
pelajar memperoleh PNGK 4.0 dengan peningkatan sebanyak 0.07 peratus berbanding
tahun 2011 manakala sebanyak 1,171 pelajar mendapat PNGK antara 3.0 dan 4.0.
Di SABAH, seramai 5,376 orang calon
atau 89.41 peratus mendapat lulus penuh berbanding 88.76 peratus pada tahun
2011.
Ketika mengumumkan keputusan STPM
Sabah di SMK Tansau di sini, Pengarah Pelajaran negeri Jame Alip berkata ini menunjukkan peningkatan
pencapaian peratus lulus negeri meningkat sebanyak 0.65 peratus.
Beliau berkata antara sekolah
mencapai 100 peratus lulus ialah SMK Likas Kota Kinabalu, SMJK Tiong Hua,
Sandakan, SMK Perempuan Likas, Kota Kinabalu, Sekolah Tinggi Kota Agamam Mohd
Ali, Ranau, SMK Kunak, Kunak, SM.Sung Siew, Sandakan, SMK Merotai, Tawau, SMK
Segaliud, Sandakan dan SMK Weston, Beaufort.
Sementara itu, Nurul Jannah
Sulaiman dari SMK Perempuan Likas muncul pelajar terbaik negeri Sabah bagi
Aliran Kemanusiaan dengan PNGK 4.00 dengan mendapat Gred A bagi semua subjek
dan Gred A- bagi Pengajian Perniagaan.
Hong Joway dari SM La Salle
muncul pelajar terbaik Aliran Sains dengan PNGK 3.92 dengan mendapat Gred A
bagi semua subjek. - Bernama
sinarharian.com.my
18 Mac 2013
Tahniah saya rakamkan, semoga kejayaan hari ini akan menjadi motivasi
untuk terus maju di masa hadapan. Tidak lupa kepada semua calon STPM yang menerima keputusan semalam,
panjatkanlah syukur dengan kejayaan yang cemerlang dan teruskan usaha jika
keputusan sebaliknya. Apa yang penting kecemerlangan dalam hidup perlu
diteruskan dan kejayaan hakiki ialah apabila kita berjaya memanfaatkan diri
kita untuk kebaikan orang lain.Yang
paling bermakna jika kejayaan itu diiringi pula dengan kejayaan di akhirat,
Insya-ALLaH.
No comments:
Post a Comment