Wednesday, March 13, 2013

Puisi Permata Budi (25)


Dengan teguh kukuh  kami genggam amanah

Dengan teguh kukuh kami genggam amanah
kami tak akan memungkiri dan mengkhianati
keadilan akan kami tunaikan
kebenaran akan kami tegakkan
kejujuran akan kami buktikan
kenesraan akan kami suburkan
kesejahteraan akan kami sempurnakan
dengan penuh rela kami berbakti
berjiwa tabah cekal memagar peribadi.

Dengan teguh kukuh kami genggam ikrar
kami tak akan lemas oleh cabaran
kami tak akan tunduk oleh ugutan
kai tak akan menyerah oleh paksaan
kami tak akan cemarkan erti kejujuran
kerana kami penegak keadilan dan kebenaran
sama berjuang memartabatkan bangsa
menjunjung kedaulatan raja dan negara.

Dengan teguh kukuh kami bersumpah setia
biar kami rebah gugur di bumi berdarah
kami tetap tidak akan berpaling tadah
kekejaman tetap akan kami hapuskan
keganasan tetap akan kami hancurkan
pencerobohan tetap akan kami tumpaskan
dengan jiwa raga kami mempertahakan pertiwi
menunaikan amanah dengan tabah dan berani.

Dengan teguh kukuh kami bersatu padu
melindungi negara ini  daripada musuh dan seteru
pengkianatan tak akan kami biarkan
petualang tak akan kami bebaskan
penderhaka adalah musuh kami
penjajahan kami tak relakan berulang lagi
kami sedia berkorban dengan darah dan nyawa
rela gugur menabur bakti  mempertahankan negara
bumi bertuah pusaka warisan bangsa.


Ahmad Sarju
15 April 2005

No comments:

Post a Comment