Permata 58 :
Daripada Muaz bin Jabal ra, katanya hai
rasulullah saw ceritakan kepadaku suatu amalan yang akan memasukkan aku ke
dalam syurga dan menjauhkanku daripada neraka. Rasulullah saw bersabda:
Sesungguhnya kamu telah
bertanya tentang sesuatu yang agung. Sesungguhnya ia adalah mudah bagi sesiapa
yang dimudahkan oleh Allah swt. Kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukanNya
dengan sesuatu, kamu mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di
bulan Ramadhan dan menunaikan haji.
Kemudian baginda berkata; Mahukah
kamu kiranya aku tunjukkan kepadamu pintu-pintu kebaikan? Puasa itu benteng
(pemelihara), sedekah menghapuskan kesalahan sepertimana air memadamkan api dan
sembahyang seseorang lelaki di tengah malam, kemudian baginda membaca firman
Allah swt yang bermaksud: Mereka
merenggangkan diri dari tempat tidur (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan
sembahyang tahajud dan amal-amal soleh), mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan
mereka dengan perasan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin
mendermakan sebahagian daripada apa yang kami berikan kepada mereka. Maka tidak
ada seseorangpun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan
untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan
menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal salih yang mereka kerjakan.
Kemudian baginda bersabda lagi: Mahukah
kamu kiranya aku ceritakan kepadamu tentang kepala segala urusan, tunggak dan
kemuncaknya?, Aku menjawab: Sudah
tentu wahai rasulullah. Sabda baginda : Kepala
segala urusan ialah Islam, tunggaknya ialah sembahyang dan kemuncaknya adalah
jihad.
Kemudian baginda bersabda lagi : Mahukah
kamu kiranya aku memberitahu kepadamu anak kunci kepada semua perkara
tersebut?. Aku menjawab : Sudah tentu
wahai rasulullah. Lalu
baginda memegang lidahnya seraya bersabda: Kamu
mesti menjaga ini! Aku
bertanya: Wahai Nabi Allah Adakah kita
akan dibalas (dipersoalkan) dengan apa yang kita pertuturkan?. Baginda
menjawab: Celakalah kamu! Tidak ada yang
menghumbankan manusia ke dalam neraka di atas muka mereka – dalam riwayat
lain disebutkan di atas hidung mereka – melainkan
hasil tuaian ini adalah lidah mereka. (Riwayat al-Tirmizi)
Mutiara hikmah :
a) Solat di malam hari adalah keindahan di siang hari, senang melakukan
kebaikan kepada sesama manusia adalah bahagian dari kesucian nurani dan
menunggu jalan keluar dengan penuh sabar adalah ibadat.
b) Ketika bersujud, bisikkan semua urusan anda kepadaNya, kerana Dia Maha
Mengetahui yang tersamar dan tersembunyi. Dan jangan anda perdengarkan kepada
orang-orang di sekitar, sebab cinta itu memiliki rahsia, sementara orang tidak
sama ada yang tidak suka dan ada pula yang membantu.
Wallaahu a’lam.
Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
No comments:
Post a Comment