Sunday, March 17, 2013

Cermin


Cermin besar seorang pemimpin
tidak boleh mengecil atau sumbing
masih banyak kerja perlu dilakukan
masih banyak tugas perlu diselesaikan
yang terbaik teruskan pembaharuan.

Laksana memacu kenderaan
cermin hadapan itu bawa pedoman
sekali-sekala lihat apa di belakang
tanpa perlu memalingkan kepala
kerana dikejar ke depan itu masa
cermin kanan itu banyak riwayat
buat diri melihat siapa taat
jadi pengikut tanpa berhitung tempat
cermin kiri pun ada imbangan peribadi
di situ buat kita tahu lalu mengawasi
takut diekori pengganggu berani mati
di lorong tepi sering bertaruh nyawa
rela celaka sedia ditimpa bencana

Apabila malang tidak berbau
kecundang ketua tidak tentu
tanpa batas waktu
hikmah yang tunggu

Di cermin dinding mahligai itu
ada beza rupa dan wajahmu
di mana hati di situ kalbu.

A.Aziz Deraman
Kuala Lumpur, 2 Jan 2006
Mahligai Kencana, DBP

No comments:

Post a Comment