Sunday, March 10, 2013

Isu pelaksanaan Pendidikan S&T (2)


Di samping itu, guru masih menggunakan pendekatan tradisional, tidak mahir menggunakan pendekatan inkuiri atau penyiasatan bagi menggalakkan penguasaan kemahiran berfikir aras tinggi, pembelajaran kontekstual kurang diberi penekanan untuk murid menyedari kepentingan sains dalam kehidupan mereka, dan tidak memanfaatkan kemudahan teknologi pengajaran terkini (KPM,2011; MPN,2011).

Selain daripada itu, kebanyakkan guru dikenal pasti kurang melaksanakan pendekatan pengajaran yang kreatif dan inovatif serta masih berfokuskan peperiksaan (KPM, 2011). Penekanan terhadap kemahiran proses sains, penerokaan sains melalui pendekatan inkuiri, aktiviti serta amali kurang dilakukan oleh guru. Guru juga dilihat kurang berupaya untuk menghasilkan bahan bantu mengajar yang boleh menarik minat murid untuk mempelajari ilmu dan kemahiran (MPN,2011).

Kekurangan P&P yang dibincangkan menyebabkan murid berasakan bahawa pembelajaran sains membosankan, terlalu akademik, tidak menarik dan tidak seronok, serta sukar untuk difahami. Hal ini menyebabkan murid kurang berminat melanjutkan pengajian dalam bidang S&T.

Kelemahan ini menjadi lebih kritikal apabila pentaksiran yang dilaksanakan terlalu berfokus kepada pencapaian  kognitif melalui peperiksaan berpusat tetapi kurang memberikan tumpuan kepada pentaksiran penguasaan kemahiran dan nilai yang sepatutnya dimiliki oleh murid. Tambahan pula, penguasaan kemahiran saintifik dalam murid hanya dinilai melalui Pentaksiran Kerja Amali (PEKA) Sains. PEKA dibangunkan untuk mengukur kemahiran saintifik yang terdiri daripada kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif sains. Malalui PEKA, kemahiran proses sains ditaksir melalui Ujian Bertulis di peringkat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), PMR dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kertas soalan berbentuk Amali Bertulis di peringkat SPM digunakan untuk menentusahkan murid telah menguasai kemahiran mengeksperimen. Walau bagaimanapun, perkara yang diukur terhad kepada kemahiran proses sains sahaja manakala kemahiran manipulatif sains ditafsir sepenuhnya semasa guru menjalankan aktiviti atau mengendalikan eksperimen di makmal sekolah.

Sepanjang pelaksanaan PEKA Sains mulai tahun 2004, Lembaga Peperiksaan telah menjalankan pemantauan di sekolah dan mendapati bahawa kemahiran manipulatif dalam kalangan murid semakin berkurangan. Keadaan ini dibuktikan melalui laporan penguasaan murid dalam melaksanakan tugasan yang melibatkan reka bentuk eksperimen dalam Ujian Bertulis. Laporan ini juga menunjukkan bahawa P&P yang dilaksanakan oleh guru tidak berupaya membantu murid menguasai kemahiran manipulatif seperti yang dikehendaki dalam kurikulum sains. Kelemahan ini berlaku mungkin disebabkan oleh P&P yang tidak secara hands-on dilakukan oleh murid dan berpusatkan guru.

Kualiti P&P juga turut dipengaruhi oleh prasarana sekolah yang tidak menepati piawaian  dan keperluan sebenar pelaksanaan kurikulum seperti kelas, makmal, bilik dan taman sains (KPM,2012; UNESCO,2012). Dalam konteks S&T, guru  didapati masih belum menggunakan makmal secara optimum untuk P&P sains disebabkan oleh masalah kelengkapan makmal (KPM,2012).

Kajian berkenaan juga mendapati makmal kurang digunakan kerana kekurangan alat dan bahan, ketidaksempurnaan keadaan makmal, dan tidak mendapat sokongan daripada pembantu makmal yag didapati tidak mahir mengurus makmal. Umumnya, kelengkapan makmal dan kelas amat kritikal diperlukan oleh guru untuk mereka melaksanakan pembelajaran sains lebih secara hands-on dan berpusatkan murid serta berfokuskan pendekatan inkuiri dan kontekstual. Pendekatan pembelajaran sedemikian sememangnya dihasratkan dalam kurikulum namun, tidak menjadi realiti di peringkat pelaksanaan disebabkan oleh kekangan yang dinyatakan. Fenomena ini dikhuatiri menyebabkan modal insan yang dilahirkan tidak kreatif dan inovatif malah tidak dapat memenuhi keperluan industri.

Laporan strategi mencapai Dasar 60:40 aliran Sains/Teknikal:Sastera
KPM 2012, ms 26-28

No comments:

Post a Comment