5,793 calon
SPM 2012 peroleh semua A
PUTRAJAYA - Seramai 15,793 calon Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran
yang diduduki, peningkatan 0.13 peratus berbanding 15,079 calon pada 2011. Ketua
Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud berkata seramai 13,721 daripada
calon itu merupakan calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang
meningkat daripada 12,970 calon tahun sebelumnya, dan 2,072 calon lagi ialah
calon sekolah bukan KPM, yang mengalami penurunan berbanding 2,109 tahun
sebelumnya.
"Di samping itu, seramai 481 calon iaitu
438 calon sekolah KPM dan 43 calon sekolah bukan KPM berjaya memperoleh gred A+
iaitu Cemerlang Tertinggi bagi semua mata pelajaran yang diduduki,"
katanya semasa mengumumkan Analisis Keputusan SPM 2012 di sini hari ini.
Abd
Ghafar berkata seramai 844 calon berkeperluan khas menduduki peperiksaan SPM
tahun lalu berbanding 662 calon pada tahun sebelumnya, iaitu pertambahan
sebanyak 27.5 peratus.
Beliau berkata daripada jumlah itu tiga calon
rabun dan dua calon lain-lain jenis kecacatan (Attention Deficit Disorder dan
High Spectrum Autism) mendapat sekurang-kurangnya gred A- (Cemerlang) dalam
semua mata pelajaran yang diduduki.
"Kejayaan lima calon berkeperluan khas ini
menunjukkan bahawa semua calon, tanpa mengira kekurangan mereka, berpeluang
untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM," katanya.
Bagaimanapun katanya, pencapaian keseluruhan
calon turun sebanyak 0.04 mata berdasarkan indeks Gred Purata Nasional (GPN)
yang mencatatkan 5.08 mata berbanding 5.04 mata tahun sebelumnya.
Beliau berkata penurunan itu disebabkan
bilangan mata pelajaran yang prestasinya menurun melebihi bilangan mata
pelajaran yang prestasinya meningkat.
"Penurunan ini tidak begitu signifikan,
kerana ia masih di bawah 0.05 mata. Bagaimanapun saya sudah mengarahkan dibuat
kajian mengenainya dan penambahbaikan
dibuat pada masa akan datang," katanya.
Abd Ghafar berkata berdasarkan GPN juga,
pencapaian calon bandar menurun sebanyak 0.16 mata kepada 4.83 mata berbanding
4.67 mata tahun sebelumnya, manakala
pencapaian calon luar bandar juga menurun 0.05 mata kepada 5.44 mata berbanding
5.39 mata tahun sebelumnya.
Penurunan pencapaian calon luar bandar yang
lebih kecil menyebabkan jurang pencapaian calon bandar dan luar bandar mengecil
kepada 0.61 mata, berbanding 0.72 mata tahun sebelumnya, katanya.
Abd Ghafar berkata berdasarkan Gred Purata Mata
Pelajaran (GPMP), prestasi 51 mata pelajaran meningkat, 54 mata pelajaran menurun dan tiga
mata pelajaran kekal berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata dua daripada mata pelajaran yang
meningkat
ialah mata pelajaran teras iaitu Matematik yang meningkat 0.30 mata dan Pendidikan Moral
yang meningkat 0.21 mata.
"Prestasi mata pelajaran
teras lain iaitu Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah, Sains dan Bahasa Inggeris
pula menurun.
Bagaimanapun seramai 229,009 atau 51.1 peratus calon yang menduduki Bahasa
Inggeris (1119) SPM berjaya memperoleh Sijil GCE O-Level," katanya.
Abd Ghafar berkata bagi mata
pelajaran elektif, 49 daripada 101 mata pelajaran menunjukkan peningkatan
prestasi termasuk mata pelajaran elektif sains seperti Matematik Tambahan dan Kimia serta Biologi
yang mencatat peningkatan signifikan sebanyak 0.33 mata, juga beberapa mata
pelajaran elektif teknikal seperti Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Reka Cipta, Teknologi
Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).
Mata pelajaran Prinsip Perakaunan
juga menunjukkan peningkatan prestasi sebanyak 0.10 mata, dan daripada 78,612
calon yang menduduki Prinsip Perakaunan, seramai 48,193 atau 61.3 peratus layak
menerima Sijil LCCI daripada Education Development International (EDI), United
Kingdom," katanya.
Seramai 472,541 calon mendaftar
untuk menduduki SPM 2012, pertambahan 0.8 peratus berbanding 468,808 calon
tahun sebelumnya. Daripada jumlah itu, 415,530 merupakan calon sekolah KPM.
Peperiksaan bertulis SPM 2012
dijalankan dari 5 Nov hingga 6 Dis tahun lalu, di 3,590 pusat peperiksaan,
melibatkan 30,239 petugas dan 22,930 pemeriksa.
KPM turut menggunakan khidmat
pakar pentaksiran dari luar negara termasuk daripada Cambridge International
Examinations (CIE), United Kingdom, National Institute for Educational
Measurement (Cito), Belanda dan Education Development International (EDI),
United Kingdom, bagi memastikan peperiksaan itu mendapat pengiktirafan
antarabangsa. – Bernama
Sinarharian
22 Mac 2013
No comments:
Post a Comment