1. Khalifah Abu Abu Bakar As-Siddiq ( 11–13 H/632-634M )
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam atas semua rasul-rasulNya. Wahai kaum muslimin yang hadir! Aku telah diangkat menjadi khalifah pada hal aku tidaklah lebih baik dari tuan-tuan.
Kalau aku berbuat kebajikan bantulah aku, tetapi kalau aku menyeleweng dari jalan Allah luruskanlah aku. Kebenaran adalah amanah dan kedustaan adalah khianat. Orang yang lemah (tertindas) di antara kamu adalah kuat pada pandangan aku sehingga kuserahkan kepadanya hak-haknya. Dan orang-orang yang perkasa di antara kamu adalah lemah pada pandangan aku sehinggalah aku dapat mengambil hak daripadanya. Insya-Allah.
Janganlah tuan-tuan meninggalkan jihad sebab Allah menimpakan kehinaan kepada kaum yang tidak berjihad. Taatlah kepada perintah aku selagi aku tetap mentaati Allah dan rasulNya. Tetapi apabila aku menderhakai Allah tidaklah lagi kamu perlu taat kepada aku. Tunaikanlah sembahyang kamu semoga Allah akan memberikan rahmat kepada kamu.
2. Khalifah Umar Al-Khattab ( 13-23H / 634-644M )
Segala puji bagi Allah swt dan selawat dan kesejahteraan ke atas junjungan besar nabi Muhammad saw. Saudara-saudaraku sekalian, adalah bandingan kaum Arab ini seperti seekor unta jinak yang diberi tali. Unta ini akan menurut kepada siapa yang memandunya. Insya-Allah, saya akan membawa kamu ke jalan yang benar. Jika kamu dapati saya bersalah, iaitu tidak menurut perintah Allah dan rasulNya maka hendaklah kamu betulkan saya…
3. Khalifah Usman bin Affan (23-35H / 644-655M)
Wahai sekalian manusia, bahawasanya kamu berada di dalam suatu benteng dan kehidupan kamu dalam usia yang sangat terbatas. Di dalam tempoh yang singkat itu maka kamu akan menemui ajal kamu. Ketahuilah bahawa dunia ini penuh dengan tipu daya. Maka janganlah kamu tertipu oleh kemewahan hidup dan tipu daya dunia. Ambillah contoh dari orang-orang terdahulu daripada kamu dan berusahalah dengan penuh kesabaran sepanjang waktu.
4. Khalifah Ali bin Abi Talib (35-40H / 661-656M)
Wahai kaum muslimin yang hadir! Sesungguhnya Allah telah menurunkan al-Quran yang di dalamnya ada petunjuk bagi segala kebaikan. Maka ambillah kebaikan itu. Allah mengharamkan sesuatu dan menghalalkan sesuatu, kerjakanlah yang halal dan tinggalkan yang haram.
Sesuatu pekerjaan hendaklah dikerjakan dengan jujur. Orang-orang Islam ialah orang yang selalu menjaga lidahnya dan anggotanya dari mencaci dan mengambil hak orang lain.
Sekarang bersiaplah kamu kepada sesuatu yang amat penting iaitu mati dan mati itu di hadapan kamu. Dan takutlah kamu kepada Allah dan jangan kamu derhaka kepadaNya. Apabila kamu melihat kebaikan maka kerjakanlah dan apabila kamu melihat kejahatan maka tinggalkanlah….
Wallahu a’alam.
( Mengenal Islam )
No comments:
Post a Comment