Thursday, August 23, 2012

Allah menarik ilmu dengan kematian ulama

Dari Abdullah ibn ‘Amru ibn Al-‘As ra katanya : Saya dengar Rasulullah saw bersabda : Bahawasanya Allah tidak menarik ilmu dengan mencabutnya dari manusia tetapi Allah menarik ilmu dengan mematikan ulama hingga apabila tidak ada lagi orang alim, manusia akan mengambil orang-orang jahil sebagai ketua, maka mereka ditanya, merekapun memberi fatwa tanpa ilmu, maka sesatlah mereka dan menyesatkan pula.

( Sepakat dalam riwayat ).
           
Keterangan :

Hadis ini menerangkan bahawa jika manusia tidak mahu menerima ajaran Allah, maka Allah akan mencabut ilmu itu. Tidak ada gunanya ilmu Allah swt itu berada di kalangan manusia jika manusia tidak mahu menurutnya. Atau ilmu hanya digunakan untuk kepentingan hawa nafsu semata-mata.

Oleh itu Allah akan menarik ilmu yang ada pada manusia itu. Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu yang boleh membawa manusia beriman dan mengakui kebesaran Allah serta menjalankan peraturanNya. Jika manusia merasakan bahawa mereka tidak perlu kepada ilmu tersebut, maka Allah akan menariknya kembali kerana ilmu yang ada pada manusia adalah pemberianNya. Allah sentiasa mengajar mereka apa sahaja yang tidak diketahuinya ( surah Al-‘Alaq : ayat:5 ).

Dijelaskan juga bahawa Allah swt tidak menarik ilmu itu dengan mencabutnya dari manusia, walaupun Allah berkuasa melakukan apa sahaja. Allah menarik ilmu dari manusia ialah dengan mematikan ulama, iaitu ulama yang jujur dan ikhlas kerana Allah. Mereka dimatikan untuk menjadi ingatan kepada manusia agar apabila seorang dari orang-orang alim meninggal dunia, mereka harus sedar bahawa di sebalik kematian itu ada erti yang amat dalam bagi kehidupan seluruhnya. Matinya seorang ulama bererti hilanglah sebahagian dari tenaga untuk menyampaikan ilmu itu kepada manusia.

Apabila semua mati, maka tidaklah ada lagi orang yang dapat memberikan pimpinan kepada masyarakat. Manusia perlukan pimpinan seterusnya. Orang-orang jahil pun diangkat menjadi ketua.  Ketua-ketua ini memimpin berdasarkan apa yang mereka ketahui. Pelbagai pertanyaan masyarakat akan diberikan fatwa dengan kejahilan pemimpin. Maka jadilah sesat dan mereka menyesatkan orang lain pula. Pemimpin tanpa ilmu , ia sendiri sesat dan apabila memberi fatwa dengan keadaan itu secara langsung menyesatkan orang lain.

Inilah gambaran kehidupan manusia dan hubungannya dengan peranan ulama-ulama dalam memberikan pimpinan kepada masyarakat. Ulama di sini ialah mereka yang mengetahui dengan mendalam terutama ilmu-ilmu yang membawa kepada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah juga ilmu-ilmu yang dipelajari dan dikuasai dengan berpandukan al-Quran dan sunnah RasulNya.

Kesimpulan :

1. Jika manusia tidak menggunakan ilmunya bagi menurut ajaran Allah maka Allah akan menarik ilmu yang ada pada manusia.
2. Allah menarik ilmu ialah dengan mematikan ulama.
3. Ulama menurut pandangan Islam, mempunyai peranan yang besar dalam memberikan pimpinan kepada masyarakat.
4. Kematian ulama menyebabkan hilangnya tenaga bagi menghayati ilmu Allah swt, maka manusia akan kehilangan pimpinan. Dengan itu mereka akan mengambil orang-orang jahil menjadi pemimpin.
5. Orang-orang yang jahil itu adalah sesat dan apabila mereka menjadi pemimpin , mereka akan menyesatkan pula.

Wallahu a’alam.

( Mengenal Islam)

No comments:

Post a Comment