Ramadan yang dinanti-nanti
Marilah kita ucapkan ‘Ahlan wa sahlan Ya Ramadan’. Selamat datang wahai Ramadan, bulan yang penuh dengan kerahmatan, keampunan dan keberkatan.
Rasulullah dan para sahabat menunggu-nunggu kehadiran bulan Ramadan. Demikian juga dengan Salaf al-Saleh. Mereka amat merindui Ramadan bahkan mereka menanti-nanti ketibaan Ramadan sejak bulan Safar lagi. Jika Ramadan bukan bulan yang amat istimewa sudah tentu mereka tidak akan menanti-nanti kedatangannya.
Terlalu banyak tawaran yang ditawarkan oleh Allah dalam bulan Ramadan. Pahala berganda dan keampunan Allah terbuka luas. Ubadah bin Samit ra meriwayatkan bahawa pada suatu hari ketika Ramadan hampir tiba Rasulullah saw bersabda:
Telah datang kepadamu bulan Ramadan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu.
(HR Tabrani)
Inilah tawaran yang cukup hebat disebabkan bulan Ramadan yang mulia ini. Bulan yang membawa sejuta rahmat, keampunan dan mudahnya doa dimakbulkan serta berbagai-bagai lagi tawaran Allah sempena Ramadan. Justeru, sekiranya manusia tahu akan kelebihan Ramadan ini, sudah tentulah mereka akan mengharapkan sepanjang tahun adalah Ramadan.
Inilah bulan untuk mengaut keuntungan pahala yang berlipat ganda sebagai bekalan di akhirat nanti, bulan untuk meningkatkan lagi amal ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah. Amat malang jika kedatangan bulan Ramadan tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya atau dipersia-siakan.
Oleh itu jauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa. Jagalah penglihatan. Pendengaran dan peliharalah lidah daripada melakukan perkara-perkara keji dan haram. Perbaikilah akhlak dan tingkah laku di bulan Ramadan. Hormatilah bulan Ramadan seperti kita menghormati tetamu yang mulia.Jangan cemarkan kesucian bulan Ramadan seperti tidak berpuasa atau makan dikhalayak ramai. Ingatlah, jika sehari kita meninggalkan puasa di bulan Ramadan, kita tidak dapat menebusnya kembali walaupun berpuasa sepanjang tahun.
Sempena dengan kedatangan Ramadan pada tahun ini, marillah kita merebut peluang keemasan ini dengan menjadikan seluruh kehidupan kita sebagai ibadat kerana ganjaran pahala dan upahnya amat besar. Kalaulah kita diumpamakan sebagai seorang pekerja dan ditawarkan dengan upahnya yang lumayan, sudah tentu pekerja itu tidak akan melepaskan peluang yang ada. Dia pasti akan bekerja bersungguh-sungguh. Oleh itu , jadilah pekerja yang beruntung.
Mudah-mudahan Allah menyirami hati kita dengan nur hidayah sehingga menjadikan hati-hati kita amat merindui dan mencintai Ramadan. Jika belum terdetik sedikitpun perasaan itu di dalam hati kita, maka mohonlah kepada Allah dengan keberkatan Ramadan supaya Allah pancarkan nur hidayahNya untuk mencintai Ramadan.
Wallahu a’alam.
( Sektor Operasi Dakwah dan Kepimpinan, BPI KPM; 2008 )
No comments:
Post a Comment