Berpuasalah seperti yang dikehendaki Allah
Berpuasa bukanlah satu perkara asing bagi manusia. Sesetengah agama mengamalkan puasa yang amat berat sehingga berhari-hari lamanya. Sementara bagi agama lain pula, puasanya amat ringan. Ada yang puasa hanya minum air, ada yang puasa daripada makan daging. Ringkasnya masing-masing agama ada cara tersendiri ketika mengamalkan puasa.
Bagi orang Islam, berpuasa bukanlah satu amalan budaya ataupun adat. Berpuasa bukan kerana rutin bulanan atau tahunan. Berpuasa adalah satu ketentuan ibadat oleh Allah. Kita berpuasa untuk Allah dan kerana Allah, sebagaimana niat kita pada malam hari, sahaja aku puasa esok hari fardhu Ramadan kerana Allah Taala. Jika begitu niat kita, maka wajiblah kita berpuasa seperti yang dikehendaki oleh Allah.
Berpuasa bukanlah hanya menahan diri daripada makan dan minum, lapar dan dahaga atau menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa tetapi berpuasa hendaklah seperti yang dikehendaki Allah. Rasulullah saw telah memberi ingatan kepada kita seperti yang diriwayatkan oleh an-Nasa’I & Ibnu Majah :
Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tiada apa yang diperolehi daripada puasanya itu kecuali hanya mendapat lapar dan dahaga.
Maksudnya orang yang berpuasa itu tidak memperolehi sebarang ganjaran pahala daripada Allah kerana amalan yang dilakukan tidak seperti yang dikehendaki Allah. Bagaimana jika seorang pekerja yang mengambil upah daripada seorang majikan, tetapi tidak melakukan kerja itu seperti yang dtetapkan. Apakah pekerja tu akan dibayar upahnya?Tentulah pekerja itu tidak akan diberikan apa-apa upah.
Demikian juga orang yang berpuasa tetapi bukan seperti yang dikehendaki oleh Allah. Justeru, bagi membolehkan kita mendapat ganjaran pahala puasa sebenar hendaklah kita menuruti kriteria-kriteria berikut ketika berpuasa :
a) Menahan diri daripada nafsu perut dan nafsu jantina
b) Menahan pancaindera seperti pendengaran, penglihatan dan anggota tubuh seperti kaki tangan daripada melakukan perkara yang haram.
c) Menjaga lidah daripada berkat-kata yang sia-sia, bercakap kotor, mencela, mencaci dan mengumpat
d) Memperbanyakkan ibadah khusus sama ada yang wajib atau yang sunat.
e) Memperbanyakkan berbuat kebajikan (ibadah umum) seperti menolong orang dan bersedekah.
Insya-Allah, jika kita berpuasa seperti yang dkehendaki Allah, kita bukan hanya akan mendapat ganjaran pahala bahkan akan mendapat dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Allah nanti. Oleh sebab itu, marilah kita berpuasa seperti yang dikehendaki oleh Allah. Mudah-mudahan Allah menerima ibadat puasa kita walaupun banyak kekurangan dan kecacatannya. Amin.
Wallahu a’alam.
( BPI KPM; 2008 )
No comments:
Post a Comment