Monday, August 6, 2012

Bingkisan Ramadan 2

Dapat hidup di bulan Ramadan adalah satu rahmat besar
 
Dapat melangkah masuk ke dalam bulan Ramadan adalah satu anugerah besar daripada Allah, satu peluang yang amat bermakna. Ramai juga orang yang tidak berpeluang dan berkesempatan seperti kita, dapat hidup dalam bulan Ramadan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan ini kerana mereka telah kembali kepada Allah.

Jika kita toleh ke belakang, di sebelah kiri dan kanan kita, siapakah di antara saudara mara, sahabat handai dan kenalan kita yang pada bulan Ramadan lalu, mereka bersama dengan kita tetapi Ramadan pada kali ini, mereka telah pergi menemui ilahi. Mereka telah berada di alam Barzakh dan akan bersemadi di sana sehingga hari kebangkitan nanti. Mereka tidak lagi mempunyai peluang  seperti kita. Mereka tidak dapat beribadat atau medapat ganjaran pahala berganda seperti kita tetapi kita masih diizinkan oleh allah bertemu sekali lagi dengan Ramadan. Kalaulah sahabat-sahabat kita yang berada di alam Barzakh dapat menyampaikan pesan mereka kepada kita, sudah pasti mereka akan berpesan kepada kita : Rebutlah peluang Ramadan ini, beribadatlah kerana ganjarannya amat besar.

Salman al-Farisi menceritakan bahawa pada akhir bulan Sya’ban Rasulullah saw pernah menceritakan kepada para sahabat mengenai kelebihan bulan Ramadan. Antaranya bulan yang penuh dengan keberkatan kerana ada padanya malam lalailatulqadar, satu amalan wajib bagaikan melalukan 70 kali amalan wajib di bulan lainnya, bulan bersedekah kerana memberi makan berbuka kepada orang yang berpuasa akan mendapat pahala seperti orang berpuasa dan berbagai-bagai lagi kelebihan. Oleh itu, rahmat di bulan Ramadan ini sangat banyak disediakan oleh Allah kepada hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Di antara rahmat Ramadan ialah :

1. Merapatkan hubungan dengan Allah. Pada siang hari berpuasa, manakala pada sebelah malam pula tekun mengerjakan solat tarawih dan solat-solat malam, membaca al-Quran, berzikir dan seumpamanya. Amalan-amalan itu mendekatkan seorang hamba dengan penciptanya.
.
2. Merapatkan hubungan sesama manusia. Di bulan ini diwajibkan zakat fitrah sebagai pelengkap kepada puasa. Zakat ini walaupun sekadar satu gantang beras atau senilai dengannya akan dapat menimbulkan perasaan belas kasihan terhadap fakir miskin. Manakala dengan berpuasa, kita dapat menyelami kesusahan dan kelaparan yang dialami oleh fakir miskin.

3. Meningkatkan kekuatan rohani. Walaupun orang yang berpuasa akan terasa lemah dari sudut fizikalnya, namun rohani orang yang berpuasa akan bertambah kuat. Kejayaan mengekang tuntutan hawa nafsu khususnya makan dan minum, semata-mata mematuhi kehendak Allah akan menjadikan jiwa tunduk kepada Allah. Jiwa yang tunduk kepada Allah adalah jiwa yang kuat.

Oleh itu gunalah peluang ini untuk mengutip, mengumpul dan mencari pahala sebanyak mungkin sebagai bekalan di hari kemudian. Marilah kita sama-sama memperbanyakkan amal ibadat kerana kita tidak tahu nasib kita pada Ramadan hadapan sama ada masih lagi diberi peluang atau tidak. Marilah kita paksakan diri beribadat kepada Allah dengan sebaik mungkin. Mohonlah kekuatan daripada Allah SWT untuk beribadat kepadaNya.

Wallahu a’alam.


( BPI KPM; 2008 )

No comments:

Post a Comment