Wednesday, August 15, 2012

Air kelemasan Hasan Bashri

Suatu hari di tepi sungai Dajlah, Hasan Bashri melihat seorang lelaki sedang duduk bersama dengan seorang wanita muda dan di sisi mereka ada sebotol arak. Terlintas dalam hatinya: Alangkah jahatnya orang ini dan alangkah baiknya kalau ia seperti aku.

Tiba-tiba kelihatan sebuah perahu tidak jauh dari orang itu. Perahu itu beransur-ansur tenggelam sehingga tujuh orng yang berada di dalamnya hampir mati kelemasan. Orang lelaki yang duduk di tebing sungai itu segera terjun ke sungai untuk menolong mereka dan berhasil diselamatkannya hanya enam orang.

Kemudian orang itu berpaling kepada Hasan Bashri dan berkata : Jika kamu lebih mulia dari saya, maka dengan nama Allah, selamatkanlah seorang lagi yang belum saya selamatkan. Kamu diminta hanya menyelamatkan seorang, sedang saya telah menyelamatkan enam orang.

Tetapi sayang, Hasan Bashri tidak dapat menyelamatkan seorang yang tinggal itu. Maka orang lelaki itu pun berkata kepada Hasan Bashri : Tuan, wanita yang duduk di samping saya tadi ialah ibuku dan botol itu hanya berisi air putih sahaja, bukan arak. Hal ini adalah untuk nenguji tuan.

Mendengar kata-kata itu, Hasan Bashri terpegun lalu berkata : Sebagaimana tuan telah menyelamatkan enam orang maka selamatkanlah saya dari tenggelam dalam air kebanggaan dan kesombongan.

Orang itu menjawab : Mudah-mudahan Allah kabulkan maksudmu.

Hasan Bashri berasa maksudnya telah terkabul. Sejak itu, beliau sangat merendah diri, bahkan menganggap dirinya lebih hina dari orang lain.

Wallahu a’alam.

( Rahsia kehebatan wali-wali Allah; Adil Akhyar 2012)


Allahumma ya Allah, berikanlah kepadaku cahaya dan tambahkanlah cahaya itu bagiku. Jadikanlah hatiku bercahaya, kuburku bercahaya, pendengaranku bercahaya, penglihatanku bercahaya sehingga rambutku, kulitku, dagingku dan tulangku seluruhnya bercahaya. Dan hari terbaikku ialah hari aku menemuiMu tidak dalam kesedihan dan kesesatan yang mendukacitakan.Ameen.

No comments:

Post a Comment