Dari Abu Sa’id Al-Khadri ra katanya : Aku dengar Rasulullah saw bersabda : Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran berlaku, maka hendaklah ia mengubah dengan tangannya, jika ia tidak sanggup maka dengan lidahnya, jika ia tidak sanggup maka dengan hatinya, dan yang demikian itu adalah iman yang paling lemah.
( HR : Muslim)
Keterangan :
Dalam hadis ini Rasulullah saw memerintahkan kepada umat Islam supaya mengawal dari berlakunya kemungkaran. Baginda mengkehendaki supaya tiap-tiap seorang Islam itu menjalankan peranannya menurut kemampuan masing-masing dan itu juga dapat membayangkan kadar keimanannya.
Orang yang paling kuat imannya, mungkin bertindak menghalang berlakunya kemungkaran itu dengan tangannya. Ia juga boleh dimaksudkan oleh seseorang yang memegang kuasa. Mereka berpengaruh besar dalam masyarakat untuk melakukan perubahan atau menghalang dari berlakunya sesuatu kejahatan itu. Surat arahan dikeluarkan agar perkara itu dihentikan. Ini mampu dilakukan oleh ketua pejabat, Guru Besar dan sebagainya. Seorang bapa pula mampu mencegah anak-anak berbuat demikan.
Taraf kedua,merubah dengan lidah. Ini dengan memberi nasihat, teguran, tunjuk ajar, kecaman dan sebagainya menerusi lidah, mengikut yang mana berkesan dalam menghalang kemungkaran itu. Ini termasuklah menerusi tulisan.
Taraf yang paling rendah dan lemah (dha’if) ialah merubah dengan hati. Pilihan ini bila tiada kuasa atau tiada kemampuan merubah dengan lidah. Merubah dengan hati iaitu dengan membenci dan tidak redha sesuatu kejahatan berlaku serta berazam sekiranya terdaya suatu masa, ia tetap akan merubahnya.
Kesimpulan :
1. Rasulullah saw memerintahkan supaya tiap-tiap seorang muslim mestilah memainkan peranannya dalam mencegah dari berlakunya sesuatu kemungkaran atau kejahatan.
2. Orang yang kuat imannya akan merubahnya dengan tindakannya dengan berani untuk menjalankan perintah Rasullah saw ini.
3. Orang yang berilmu dan mampu bercakap, berhujah, menulis dan sebagainya hendaklah menggunakan kepandaiannya itu bagi mencegah kemungkaran.
4. Jika kita tidak berkesanggupan menghalang dengan tangan dan lidah, hendaklah kita membenci sesuatu kejahatan itu dilakukan.
5 Orang yang hanya sanggup merubah dengan hatinya itu, adalah orang yang paling lemah imannya.
( Mengenal Islam)
No comments:
Post a Comment