Mengisi malam yang lebih baik daripada seribu bulan
Pada sepuluh malam yang terakhir di bulan Ramadhan, terdapat satu malam yang penuh dengan keberkatan. Malam tersebut dinamakan sebagai Lailatulqadar iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Tempoh waktu malam yang panjang itu teramat banyak untuk diisi dengan pelbagai amal ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Antaranya:
1. Melakukan Qiamullail. Gunakanlah kesempatan ketika bangun sahur untuk mengerjakan solat-solat malam sama ada sebelum bersahur atau selepasnya. Banyak solat malam yang boleh dilakukan seperti solat Tahajjud, solat Tasbih, solat Witir dan seumpamanya. Nabi saw pernah bersabda yang bermaksud : Sebaik-baik solat setelah solat fardhu ialah solat malam (Qiamullail). (HR: Muslim)
Qiamullail dapat mendekatkan diri kita kepada Allah dan menghapuskan kesalahan dan dosa kita. Selain itu, Qiamullail juga dapat memberi ketenangan jiwa kepada kita. Ketika bertahajjud, kita memohon keampunan Allah SWT seperti firman Allah Taala dalam surah al-Zaariyaat ayat 17-18:
Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah)
2. Selain itu, kita juga disunatkan supaya memperbanyakkan doa, beristighfar dan berzikir pada malam Ramadan. Ini kerana doa merupakan ibadat yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah Taala dan mendapat keampunanNya. Saidatina Aisyah rhn berkata : Aku bertanya, Ya Rasulullah! Apa pendapatmu jika aku bertemu malam Lailatulqadar? Apa yang harus aku ucapkan?. Rasulullah menjawab, ucapkanlah Ya Allah, Engkau Maha Pengampun dan suka mengampun, maka ampunilah aku. (HR : Tirmizi)
3. Pada malam itu juga, kita disunatkan memperbanyakkan bacaan al-Quran untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, mengharapkan redha dan pahala daripadaNya. Membaca al-Quran banyak kelebihnnya sepertimana sabda Rasulullah saw : Bacalah al-Quran, kerana ia akan datang pada hari Kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. (HR : Muslim)
Marilah kita bersama-sama mengisi malam-malam Ramadan yang penuh berkat dan mulia ini khususnya memanjangkan Qialmullail. Berdoalah kepada Allah SWT mudah-mudahan kita dapat bertemu dengan malam yang penuh berkat dan mulia ini. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Rebutlah peluang keemasan ini untuk mencapai makam yang terpuji sepertimana Firman Allah dalam Surah al-Israk ayat 79 :
Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah sembahyang Tahajjud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu (pada hari akhirat) di tempat yang terpuji.
Wallahu a’alam.
( BPI KPM; 2008 )
No comments:
Post a Comment