Mendapat perhatian
Ayahandaku yang tercinta…!
Saya berhak memiliki seorang bapa yang dibanggakan.Itulah bapa yang saya rasa berbesar hati dengan kewujudannya dan kerana dapat berpaut kepadanya.
Apabila saya berada di sekolah, saya berangan-angan jika ayahanda menanyakan kepada saya tentang saya, lalu saya menjawab dengan penuh bangga. Nama saya menjadi perhatian di hadapan guru-guru dan teman-teman lantaran mempunyai seorang bapa yang menjadi contoh.
Apabila saya berada di masjid saya ingin sekali agar ayahanda bertanya banyak mana al-Quran yang saya hafal, bagaimana akhlak saya dengan Allah yang terpamer melalui perhatian berat yang saya berikan dalam menegakkan syiar-syiar Allah serta bagaimana akhlak saya dengan manusia yang terpamer melalui pergaulan saya dengan mereka. Dengan itu ayahanda juga tumpang berbangga dengan apa yang ayahanda dengar dan saya berbesar hati dengan apa yang saya tahu…..
Apabila saya berada di luar rumah, maka saya mengharapkan agar ayahanda bertanya tentang siapakah teman-teman yang saya dampingi. Lalu ayahanda memilih untuk saya teman-teman yang baik sehingga dapat menambahkan lagi kemuliaan saya di dunia dan dapat berbahagia di akhirat. Biarlah ayahanda melarang saya daripada bergaul dengan teman-teman yang tidak baik…
Sabda rasulullah saw :
Seseorang itu mengikut cara hidup teman rapatnya, maka perhatikan siapakah yang menjadi temannya.
( Riwayat daripada Abu Hurairah dengan sanad baik )
Jangan tanyakan tentang seseorang tetapi tanyakan tentang temannya kerana setiap teman akan mengikut siapa yang didampinginya.
(‘Addi bin Zaid al-‘Ibadi)
Apabila saya berada di dalam rumah, maka saya mengimpikan agar ayahanda mengajarkan saya bagaimana caranya memanfaatkan masa saya? Bagaimana saya mempraktikkan hobi saya? Bagaimana saya bergaul dan melayani bonda dan saudara-saudara saya?
Apabila saya berada di pasar, maka saya ingin ayahanda mempercayai saya. Tetapi bukannya dengan cara tidak mengambil peduli. Lantas ayahanda akan menunjukkan kepada saya bagaimana cara saya berurusan jual beli, bagaimana cara saya menerima dan memberi, dan bagaimana cara saya bersetuju dan menolak.
Namun di manakah bimbingan dan tunjuk ajar untuk jalan yang baik itu?
Di manakah pengawasan dan pemerhatian ayahanda kepada saya dalam hal-hal tersebut? Di manakah pemeriksaan, teguran dan tindakan?
Rasulullah saw bersabda:
Tiada seorang hamba yang Allah amanahkannya supaya menjaga orang bawahannya, lalu dia tidak memberikan nasihat melainkan ia tidak akan dapat mencium bau syurga.
(al-Bukhari)
Ayahandaku yang tercinta…..!
Di manakah kedudukan saya dalam pemerhatian dan tugasmu? Apakah yang ayahanda lakukan bersama saya dan untuk saya?
Wallahu a’alam.
(Kesilapan mendidik anak, JAKIM 2001)
No comments:
Post a Comment