Pintu neraka ditutup
Kemuliaan Ramadan bukan sahaja kerana pintu syurga dibuka bahkan pintu neraka turut ditutup sempena kedatangan Ramadan. Apa lagi yang lebih baik untuk kita harapkan daripada rahmat Allah SWT apabila pintu syurga dibuka manakala pintu neraka ditutup. Inilah kemuliaan Ramadan. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasullah saw bersabda:
Apabila Ramadan telah datang, maka dibuka pintu-pintu syurga, dikunci pintu-pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan.
(HR: Muslim)
Tertutupnya pintu neraka walaupun hanya sebulan di bulan Ramadan sudah menjadi satu rahmat dan anugerah yang besar. Bayangkanlah seandainya neraka yang mengerikan ini ditutup rapat buah selama-lamanya. Alangkah indah dan bahagianya hidup kita.
Namun begitu, nikmat ini hanya datang pada Ramadan al-Mubarak. Oleh itu, hargailah kehadiran Ramadan bukan hanya kerana nikmat yang diturunkan, tetapi juga kerana azab neraka yang ditarik. Biarpun seketika, namun keberkatan Ramadan mampu memupuk rasa insaf yang mendalam dalam setiap jiwa yang menghayatinya.
Sungguhpun kita tidak pernah melihat neraka, namun cerita mengenai kedahsyatan seksaan dan keperitan yang ada di dalam neraka amat mengerikan. Betapa ganasnya neraka digambarkan oleh Allah SWT melalui surah al-Mulk ayat 7 & 8 :
Apabila mereka (orang kafir) dilemparkan ke dalamnya, mereka mendengar suara neraka yang mengerikan, sedang neraka itu menggelagak, hampir-hampir (neraka) itu terpecah-pecah lantaran marah. Setiap kali dilemparkan ke dalamnya sekumpulan (orang-orang kafir), penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka, apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang pemberi peringatan?
Pada bulan Ramadan syaitan telah dirantaikan. Sepatutnya ketika ini kita lebih senang untuk beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah tanpa gangguan. Namun begitu, manusia masih perlu berjuang untuk melepasi rintangan nafsu demi mentaati Allah.
Rebutlah peluang dapat hidup pada bulan Ramadan ini untuk muhasabah diri sebelum berhadapan dengan mahkamah Allah di padang Mahsyar nanti ketika semua manusia dikumpulkan, tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya untung nasib diri sendiri sama ada akan dimasukkan ke syurga atau dicampak ke neraka. Masing-masing dengan keadaan diri sendiri. Sudah tidak mampu untuk bersoal jawab dan bertanyakan manusia lain sekalipun kepada ibu bapa sendiri, lantaran ketakutan menanti pengadilan Allah.
Mudah-mudahan dengan rahmat Ramadan, pintu neraka akan tertutup selama-lamanya buat kita. Hanya kepada Allah kita mohon pertolongan.
Wallahu a’alam.
( BPI KPM; 2008 )
No comments:
Post a Comment