Sambutlah Aidil Fitri sebagai hari ibadah
Hari raya adalah hari yang sentiasa dinanti-nantikan oleh semua orang sama ada kanak-kanak maupun orang dewasa, lelaki maupun perempuan, kaya ataupun miskin, di Bandar atau di kota . Semua orang pasti bergembira kerana meraikan kejayaan menunaikan kewajipan berpuasa.
Hari raya dalam Islam sebenarnya bukanlah hanya semata-mata hari untuk bersuka ria bahkan hari raya merupakan hari ibadah yang diberi pahala jika disambut mengikut adab-adabnya.
Adab-adab berhari raya dalam Islam telahpun diajarkan oleh Rasulullah saw melalui sunnah baginda. Sambutan dimulakan oleh Rasulullah saw sebaik sahaja terbenam matahari pada hari akhir Ramadan. Ketika itu disunatkan bertakbir dan bertahmid, disunatkan juga kita banyak beribadat seperti menunaikan solat-solat sunat, bersedekah, bermaaf-maafan sesama kaum keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai.
Pada pagi hari raya disunatkan mandi sunat hari raya. Kemudian berpakaian dengan pakaian yang terbaik yang kita miliki tetapi tidak semestinya baru. Jika Hari Raya Aidil Fitri, makanlah terlebih dahulu sebelum menuju ke masjid untuk Solat Sunat Hari Raya. Jangan lepaskan peluang untuk Solat Hari Raya kerana ia adalah salah satu solat sunat yang digalakkan berjamaah. Bahkan bagi perempuan yang uzur, walaupun mereka tidak boleh untuk bersolat, namun mereka juga digalakkan untuk bersama kaum muslimin yang lain ke perkarangan masjid bagi mendengar khutbah dan meraikan hari yang mulia ini.
Ketika balik daripada Solat Hari Raya, disunatkan kita melalui jalan lain daripada jalan yang kita pergi. Ini bertujuan supaya kita dapat bertemu atau berziarah dengan rakan taulan dan bermaaf-maafan serta menghubungkan silaturrahim. Namun begitu, jangan bersalaman dengan orang yang bukan mahram ketika saling bermaaf-maafan kerana perbuatan itu diharamkan oleh Islam.Peliharalah aurat dan pergaulan, sambutlah hari raya dengan berhemah, jangan membazir makanan, jangan dilalaikan dengan hiburan.
Jika pergi berziarah atau bertamau di hari raya, pilihlah waktu-waktu yang sesuai atau sebagaimana yang diundang. Elakkan duduk berlama-lama kerana ia akan menganggu tuan rumah. Makanlah apa yang dihidangkan, jangan membazir.
Bagi pihak tuan rumah pula, hendaklah memuliakan tetamu yang datang, hormat tetamu dan pamerkan rasa gembira dengan kedatangan tetamu itu. Segerakan menghidangkan makanan kepada tetamu.
Sewaktu hendak pulang, tetamu hendaklah meminta izin atau memberitahu tuan rumah, menunjukkan wajah ceria sebagai tanda gembira dengan layanan tuan rumah. Sebaiknya tuan rumah hendaklah keluar mengiringi tetamu sampai ke pintu rumah dengan wajah gembira dan kata-kata yang manis.
Demikanlah antara adab-adab yang sepatutnya diamalkan sempena sambutan hari raya. Mudah-mudahan ianya akan menjadi amalan kita bersama. Sambutlah hari raya yang bakal menjelang tiba sebagai hari ibadah.
Wallahu a’alam.
No comments:
Post a Comment