Bersahurlah
Berpuasa merupakan amalan umat-umat terdahulu. Ahli Kitab di kalangan orang Nasrani turut berpuasa. Namun begitu, puasa mereka berbeza dengan kita dalam beberapa perkara. Rasulullah saw bersabda yang mafhumnya : Perbezaan di antara puasa orang Islam dan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) adalah terletak pada pengambilan sahur kerana mereka tidak melakukannya.
Sahur bermaksud mengambil makanan ketika hampir waktu Subuh. Menurut Zamakhsyari, masa terbaik untuk bersahur adalah dua jam sebelum masuk waktu Subuh. Malah lebih hampir dengan waktu Subuh adalah lebih baik.
Alangkah beruntungnya orang yang bangun bersahur. Dia mendapat dua kebaikan. Pertama, dapat makan supaya tidak terlalu lapar pada siang hari. Kedua, dapat ganjaran pahala dan keberkatan. Rasulullah saw pernah bersabda:
Sahur itu berkat, maka janganlah kamu tinggalkannya walaupun seseorang kamu hanya minum seteguk air.
(HR: Ahmad)
1. Kita akan mendapat pahala apabila bersahur kerana ia merupakan sunnah Rasulullah saw.
2. Dengan bersahur kita juga mendapat keberkatan kerana ia menguatkan jasmani orang berpuasa untuk beribadat dan meningkatkan rohani orang yang berpuasa dari segi keikhlasan beribadat.
3.Bersahur dapat menolong mengurang dan menghilangkan perasaan marah yang disebabkan kelaparan.
4. Waktu sahur juga merupakan waktu doa mudh dimakbulkan Allah SWT.
5. Pada waktu dinihari ketika bersahur, seseorang itu mendapat lebih peluang untuk mengingati Allah SWT dengan cara berzikir dan berdoa.
6. Bersahur juga melatih kita menjaga kesihatan dari segi pemakanan kerana kita digalakkan bersahur dengan makanan yang mudah hadam, kurang atau tidak pedas serta diakhiri dengan susu.
7. Berkat bersahur di akhir waktu adalah supaya kita dapat mengekalkan keupayaan fizikal lebih lama sehingga waktu berbuka puasa.
8. Apabila kita bangun sahur, secara tidak langsung ia memberi kita peluang menikmati waktu terbaik menunaikan Qiamullail atau sekurang-kurangnya melatih kita bangun awal untuk terus menunaikan solat Subuh selepas bersahur.
Sesungguhnya, banyak hikmah dan kebaikan pada sahur. Jangan tinggalkan amalan bersahur kerana lebih mementingkan tidur. Bangunlah untuk mendapatkan pahala dan limpah kurnia Allah. Nikmatilah dua hidangan yang amat berkat di bulan yang penuh berkat ini, iaitu hidangan ketika berbuka dan hidangan ketika bersahur. Betapa malangnya orang yang diberi makan kemudian diberi pula pahala, lalu dia tidak mahu menerimanya. Bersahurlah.
Wallahu a’alam.
( BPI KPM; 2008 )
No comments:
Post a Comment