Tanda-tanda ilmu memberi manfaat
Seorang ahli falsafah Islam menyatakan, tanda-tanda ilmu yang dipelajari oleh seseorang itu memberi manfaat ialah orang ramai akan menjadi khadam (orang suruhan) untuknya. Ada pula yang menyatakan bahawa setengah daripada syarat seseorang itu telah mendapat ilmu ialah, apabila sekalian manusia menjadi khadam baginya.
Maksudnya apabila ilmu pengetahuan itu telah dituntut oleh seseorang lalu disebarkan kepada orang ramai ia menjadi pegangan, ikutan serta amalan mereka. Maka itulah yang dikatakan orang ramai menjadi khadam kepadanya.
Selain itu, apabila dia dapat mengamalkannya secara lazim dan tetap. Misalnya seseorang itu belajar mengenai solat malam dan fadilatnya. Dia akan mendapat manfaat sekiranya ia bangun solat pada malam itu , ini menjadi amalan serta kegemarannya yang mana dilakukan setiap malam. Dia akan merasa amat kesal dan rugi jika tertinggal.
Sewaktu belajar sentiasa amati dan perhati dengan teliti kalimah tertentu yang mengandungi rahsia-rahsia pembuka ilmu. Ia memudahkan, syaratnya ia mengamalkan sehingga menjadi kelaziman. Menurut Sheikh Al-Kadhi Al-Imam Umar Ibni Abi Bakar Az-Zanji berkata : Bahawa kadar potongan bacaan (kitab) bagi orang-orang yang baharu belajar ialah sekira-kira dapat dihafaz dan dicatat, setelah ia membaca dua kali.
Wallahu a’alam.
( Kaedah mengaji agama; Penerbit Taha 1986 )
No comments:
Post a Comment