Friday, August 10, 2012

Bingkisan Ramadan 16

Solat Tarawih hanya pada Ramadan

Solat Tarawih merupakan keistimewaan yang dianugerahkan Allah hanya pada bulan Ramadan. Tiada Solat Tarawih pada bulan-bulan yang lain. Rasulullah saw pernah menceritakan kelebihan solat Tarawih kepada para sahabat. Apabila masuk sahaja bulan Ramadan, para malaikat yang berada di langit iaitu di Haziratul Qudsi,meminta izin kepada Allah untuk turun beribadat (solat Tarawih) di bumi bersama-sama umat Muhammad. Mendengar penjelasan itu, Saidina Umar lantas bangun sambil berkata : Kalau begitu wahai Rasulullah, kami lebih berhak(daripada malaikat) untuk mendapat kelebihan dan ganjaran itu.

Saidatina Aisyah rhn pernah bercerita kepada ‘Urwah mengenai sejarah solat Tarawih. Pada suatu malam Rasulullah saw dan para sahabat baginda ke masid untuk menunaikan Qiam Ramadhan. Pada malam kedua, bilangan sahabat yang berjemaah bersama Rasulullah semakin ramai. Kemudian pada malam ketiga, jumlahnya semakin bertambah ramai. Tetapi pada malam keempat, Rasulullah tidak menunaikan solat Tarawih seperti malam-malam sebelumnya.
 
Baginda hanya pergi ke masjid pada waktu subuh keesokan harinya. Apabila selesai sahaja solat Subuh, Rasulullah saw menerangkan kepada para sahabat mengapa baginda tidak hadir pada malam tadi. Baginda bimbang kalau-kalau solat Tarawih akan diwajibkan oleh Allah ke atas umat Islam dan mereka pula tidak mampu untuk menunaikannya.

Tarawih berasal dari Bahasa Arab iaitu Tarwih, manakala jamaknya ialah Tarawih yang bermaksud istirehat atau bersenang-senangan. Para sahabat yang berkumpul untuk menunaikan solat ini akan berhenti untuk beristirehat setiap kali selesai menunaikankannya empat rakaat dengan dua salam.

Semasa mereka berehat, mereka bertawaf dengan mengelilingi Baitullah sambil bertakbir dan bertasbih.

Pada zaman Rasulullah, solat Tarawih dikenali dengan nama Qiam Ramadhan. Pada peringkat awal, para sahabat para sahabat melakukan Qiam Ramadan secara bersendirian di rumah masing-masing sepertimana mereka mendirikan solat Tahajud.

Semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, beliau telah mengumpulkan para sahabat untuk menunaikan solat Tarawih dan melantik salah seorang di kalangan mereka untuk menjadi imam solat Tarawih.

Para ulama menyatakan hukum solat Tarawih adalah Sunat Tarawih adalah Sunat Muakkad iaitu sunat yang amat dituntut untuk ditunaikan sama ada secara bersendirian atau secara berjemaah. Namun begitu, mereka berpendapat bahawa ia disunatkan untuk dilakukan secara berjemaah, tidak seperti solat sunat yang lain. Oleh itu rebutlah peluang untuk menunaikan solat Tarawih secara berjemaah sama ada di masjid atau di surau.

Mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk menunaikan solat Tarawih kerana tiada lagi solat Tarawih setelah berlalunya Ramadan.

Wallahu a’alam.

( BPI KPM; 2008 )

No comments:

Post a Comment