Ya Allah bantulah kami beribadat kepadaMu
Ramadan adalah bulan yang penuh dengan janji-janji baik Allah, bulan rahmat, bulan keampunan, bulan digandakan amal ibadat hingga 1 000 kali ganda dan bulan yang penuh berkat. Namun begitu, tidak semua orang berjaya memimpin dirinya untuk menyahut seruan beribadat kepada Allah.
Ingatlah, bahawa manusia adalah milik Allah. Beriman adalah hidayah daripada Allah. Dapat melakukan amal ibadat adalah inayah (pertolongan) daripada Allah. Jika Allah bukakan pintu hati seseorang, akan mudahlah baginya melakukan kebaikan dan beramal ibadat. Oleh itu, berdoalah kepada Allah agar dipermudahkan kita untuk beribadat kepadaNya.
Nabi saw pernah mengajar seorang sahabatnya supaya berdoa kepada Allah memohon kekuatan untuk beribadat. Inilah doa yang diajarkan oleh baginda:
Ya Allah, bantulah aku untuk mengingatiMu, bersyukur kepadaMu dan memperelok amal ibadat kepadaMu.
Ingatlah, bahawa Allah yang memberikan keinginan kepada kita untuk melakukan sesuatu kebaikan. Orang yang diberikan taufik dan hidayah akan mudah untuk melakukan amal ibadat, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan dengan tawaran yang hebat dan besar. Amalan sunat diberikan pahala seperti amalan fardhu. Sembahyang sunat mendapat pahala seperti sembahyang fardhu. Betapa Maha Pemurahnya Allah yang telah menjanjikan pahala yang cukup banyak, berlipatganda untuk diraih oleh hamba-hambaNya.
Tanpa hidayah dan bantuan daripada Allah, manusia tidak akan dapat tunduk kepada Allah walaupun hanya untuk sekali sujud. Oleh itu, orang yang gagah dan sasa, mampu berlari berpuluh-puluh kilometer tanpa henti, mampu bekerja siang dan malam; belum tentu mampu untuk bangun di tengah malam bertahajjud mengabdikan diri kepada Allah. Semua kebaikan yang dilakukan oleh seorang hamba adalah atas inayah Allah.
Orang yang tidak mahu beramal ibadat pada bulan Ramadan akan menyesal di akhirat nanti. Mereka sentiasa disibukkan oleh urusan keduniaan sehingga meninggalkan peluang dan kesempatan beribadat walaupun di bulan Ramadan yang mulia ini. Kata Ibnu Muqaffa : Orang yang akan menyesal adalah orang yang kehilangan kesempatan untuk beramal. Ia mati sebelum sempat beramal.
Keinginan untuk beribadah adalah anugerah daripada Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih. Berdoalah kepada Allah agar kita termasuk dalam golongan orang yang terpilih sebagai ahli ibadat yang gigih, diberikan halawatul ibadah atau kemanisan dalam beribadah seperti yang telah diberikan kepada ahli ibadah terdahulu. Mereka menunggu-nunggu kehadiran Ramadan untuk melipatgandakan ibadat. Apabila munculnya Ramadan, mereka menunggu-nunggu malam untuk bermunajat dan bertahajjud. Apabila muncul malam, mereka mencari-cari malam Lailatul Qadar.
Mudah-mudahan, Allah membantu kita untuk mendekatkan diri kepadaNya. Berdoalah mohon pertolongan Allah untuk beribadat kerana doa pada bulan Ramadan mudah dimakbulkan Allah. Abdullah bin Umar berkata, Rasulullah saw bersabda: Bagi orang yang berpuasa ada (waktu) berdoa yang tidak akan ditolak. (HR: Ibnu Majah)
Wallahu a’alam.
( BPI KPM; 2008 )
No comments:
Post a Comment