Saturday, August 11, 2012

Bingkisan Ramadan 24

Lailatul qadar : tawaran hebat daripada Allah

Bulan Ramadan adalah bulan yang tiada tolok bandingannya. Dalam bulan ini terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam yang dinamakan Lailatulqadar. Hebatnya bulan ini seperi yang dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Qadr ayat 3 :

Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.

Ini bermakna beribadah pada malam itu dengan penuh ketaatan, solat dengan penuh khusyuk, membaca al-Quran sambil bertadabur merenung kalimah-kalimah dan makna, berzikir dan berdoa, sama seperti beribadah selama seribu bulan pada bulan-bulan yang lain. Seribu bulan adalah ganjaran yang sama dengan 83 tahun 4 bulan.

Kehebatan malam Lailatulqadar juga digambarkan oleh Allah sebagai malam keselamatan dan kebaikan seluruhnya, tiada keburukan sehingga terbit fajar. Malam itu para malaikat mengucapkan salam kepada orang-orang yang beriman. Allah menurunkan segala rahmat dan kesejahteraan pada malam Lailatulqadar. Tawaran Allah SWT terlalu hebat.

Nabi Muhammad saw sendiri menjelaskan bahawa malam itu penuh dengan kebajikan dan kasih sayang Saidatina Aisyah rha meriwayatkan bahawa : Kebiasaannya Rasulullah saw berusaha bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadah pada 10 malam terakhir daripada bulan Ramadan berbanding dengan malam-malam yang lain: Malam itu diisi dengan amal ibadat sepenuhnya kerana tiada lagi malam yang lebih baik untuk beribadat kecuali malam Lailatulqadar.

Hidupkanlah malam Lailatulqadar dengan amal ibadat, berdoa, berzikir dan bersungguh-sungguh untuk mencari keampunan dan keredhaanNya. Bertaubatlah sebanyak-banyaknya dengan taubat nasuha pada malam itu terhadap dosa-dosa yang dilakukan pada masa lampau. Ini bertepatan dengan sabda Nabi saw yang bermaksud : Sesiapa yang beribadah pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

Bangunlah mengisi 10 malam terakhir ini walau bertongkat sekalipun. Bangunlah untuk menebus kembali dosa silam yang dilakukan tanpa sedar  sama ada kepada Allah SWT, ibu bapa dan orang sekeliling kita. Kalaupun tidak ada dosa yang kita lakukan, bangunlah untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Kalaulah terasa berat dan sukar untuk bangun di tengah malam, beritahulah pada diri bahawa peluang ini tidak datang selalu dan selamanya. Peluang ini hadir hanya setahun sekali. Betapa ruginya orang yang menolak peluang yang berada di depan mata, hanya kerana kemalasan atau lebih mementingkan tidur. Hidupkanlah malam itu dengan amal ibadat yang menghidupkan hati dan nurani agar ia dapat membantu memperkuatkan iman kita. Sesungguhnya, Lailatulqadar adalah sumber kekuatan dalaman yang ampuh, latihan disiplin yang berkesan, pelita suluh untuk menerangi kehidupan serta penawar untuk mengubati hati dan jiwa yang resah.

Mohonlah kekuatan daripada Allah, agar dapat beribadah pada malam itu, dapat bermunajat dan menangis kerana takut dan harap kepada Allah. Mudah-mudahan Allah mendengar rayuan dan bisikan kita.

Wallahu a’alam.

 ( BPI KPM; 2008 )

No comments:

Post a Comment