Thursday, August 23, 2012

Suara hati anak 4

Kenapa tidak seperti yang ayahanda tuturkan

Ayahandaku yang tercinta…

Aku hidup dalam suasana penuh kebingungan dan kehairanan….
Lantaran melihat ayahanda menyuruhku melakukan perkara yang ayahanda sendiri tidak melakukannya. Ayahanda melarangku daripada melakukan perkara yang ayahanda sendiri melakukannya…..

Apakah ayahanda mahu saya mengikut kata-katamu atau mengikut tingkah lakumu yang berbeza seperti timur dan barat…..
Ayahanda menyuruhku supaya bercakap benar. Ayahanda sering menggalakkan saya berbuat demikian. Ayahanda memberikan peringatan kepadaku agar jangan bercakap bohong….

Namun pada banyak tempat saya melihat ayahanda sendiri melakukan apa yang ayahanda larang dan berikan peringatan kepada saya…Adakalanya ayahanda berbohong, malah adakalanya ayahanda menyuruh saya berbohong….

Ingatkah ayahanda…suatu hari seseorang mengetuk pintu rumah kita kerana mencari ayahanda barangkali disebabkan sesuatu hajat keperluan. Ingatkah bahawa di saat itu ayahanda menyuruh saya berkata : Bapa tidak ada di rumah….

Ayahanda memaksaku supaya mengucapkan dengan lidah ini perkara yang tidak dapat diterima oleh pandangan mataku. Saya mengucapkan sesuatu yang dibantahi oleh hati ini…dan dimurkai oleh Tuhanku.......

Janganlah kamu melarang manusia tetapi kamu melakukannya. Keaibannya ke atasmu apabila berbuat demikah adalah besar.

                                                (Al-Mutawakkil al-Laithi)

Ayahanda menyuruhku supaya memakan makanan yang halal, jauh daripada sebarang yang diharamkan. Ayahanda peringatkan saya bahawa rasulullah saw bersabda :

Setiap jasad yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka nerakalah lebih utama untuknya.

                                    ( Diriwayatkan daru Abu Bakar dengan sanad yang sohih)

Tiba-tiba ayahanda menyuruh saya pergi ke kedai untuk membeli sebungkus rokok untukmu.

Kalau tuan rumah sendiri yang memalu gendang. Tentulah isi rumah semuanya akan menari.
                                    (Ibn al-Ta’awidzi)

Ayahanda telah menjadi idola dan suri tauladan yang pada saya ia adalah kota-kata yang berbentuk teori tetapi tiada kaitannya dengan reality. Ayahanda menyusun kata-kata yang memberikan pengajaran kepada saya pada waktu pagi, tetapi pada petangnya saya melihat perbuatan-perbuatan yang menyanggahinya.

Jadi manakah yang patut saya ikuti? Patutkah saya mengikut kata-katamu atau mengikut tingkahlakumu? Tutur bicaramukah atau akhlakmu? Omonganmukah atau sifatmu?

Izinkanlah anakmu ini untuk membisikkan di telingamu, firman Tuhanku dan Tuhanmu :

Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebencianya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
                                                            (al-Saff:3)

Duhai orang yang mengajar
Bukankah pengajaran itu terlebih dahulu untuk dirimu
Kau sifatkan penyakit kepada pesakit
Bagaimana ia dapat sembuh sedang awak sendiri orang yang sakit
Mulakan dengan dirimu sendiri
Cegahlah kejahatannya
Apabila tiada lagi kejahatan itu
Maka kamulah orang yang bijaksana
Di sana nanti nasihatmu diterima dan diikuti
Melalui ilmumu dan pengajaran pun menjadi berguna.

                                    (Abu al-Aswad al-Duali)

Ayahandaku tercinta…..

Kiranya aku tidak menemuimu pada hari kiamat termasuk dalam golongan yang disabdakan oleh  rasulullah saw :

Seorang lelaki dibawa datang pada hari kiamat lalu dicampakkan ke dalam neraka. Lalu terburailah tali perutnya lalu ia berpusing-pusing dengan tali perut itu sebagaimana keldai yang berpusing dengan pengisarnya. Lalu ahli neraka pun mengerumuni dan berkata : Hai si fulan, mengapa kamu menjadi begini? Bukankah kamu menyuruh orang berbuat baik dan melarang dari kemungkaran?, Dia menjawab : Aku hanya menyuruh mereka berbuat baik sedangkan aku sendiri tidak mengerjakannya, dan aku melarang mereka daripada berbuat jahat tetapi aku yang mengerjakannya.

                                    ( Diriwayatkan dari Usamah bin Zaid dengan sanad sohih)

Saya memohon perlindungan daripada Allah agar ayahanda tercinta tidak termasuk di kalangan mereka.

Wallahu a’alam.

 (Kesilapan mendidik anak, JAKIM 2001)

No comments:

Post a Comment